SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, November 30, 2013

ADILA DAN AISHAH HANYA SECEBIS KISAH (TO WHOM IT MAY CONCERN)

Minggu terakhir bulan November dihangatkan dengan kisah dua orang wanita Melayu Islam nun jauh di benua Amerika Utara dan Eropah. Walaupun banyak cerita cuba disingkap, banyak lagi cerita yang masih tidak diketahui. Kebenaran lazimnya memakan masa yang panjang hingga melangkau beberapa generasi.

Adila binti Hussin (McGhee, nama suami baharu), 43, siswazah pengajian Islam UKM, berasal dari Ipoh dan kini menetap di sebuah pekan kecil dalam daerah Richmond, Amerika Syarikat. Adila menyangkal khabar angin yang mengatakan dirinya sudah murtad gara-gara penyebaran artikel sebuah gereja yang memanipulasi keadaan. Adila memiliki tiga orang anak hasil perkahwinan pertama di Malaysia (klik di sini).

Siti Aishah binti Abdul Wahab, 69, bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Seremban dan London School of Economics, diberitakan terkurung dalam sebuah rumah pangsa di Brixton, London bersama sepasang suami isteri keturunan India kerana terpengaruh dengan aliran Mao (komunis) sejak lebih empat dekad. Berita terkini bersumber daripada Kamar Mautum, 79, kakaknya antara lima beradik (daripada 12 orang) yang masih hidup. Mereka bertemu di sebuah lokasi rahsia menerusi kerjasama Scotland Yard, sebuah agensi perisikan Britain (berita selanjutnya klik di sini).

Umat Islam memang prihatin tentang saudara seagama yang teraniaya, dizalimi atau tersalah haluan. Harapan mereka sentiasa berbunga agar apa-apa jua khabar buruk yang disampaikan sebagai palsu belaka. Bagi umat Islam, aqidah ialah perkara paling utama dalam kehidupan mereka dan tidak dapat dikompromi sedikit pun.

Maka, pengakuan Adila bahawa dirinya tetap berpegang teguh terhadap syahadah, malah berterusan membimbing suami tentang Islam sangat melegakan. Demikian juga berita yang dibawa balik oleh Kamar Mautum yang ditemani oleh Hishamuddin Rais (yang juga pernah beberapa dekad menetap di England) bahawa adiknya itu bersetuju untuk pulang ke tanah air dalam tempoh sembilan dan membaca al-Quran. Walaupun Aishah sudah tidak boleh berbahasa Melayu, jika dia berada dalam persekitaran tempatan, perkara itu mudah sahaja sebagaimana yang dibuktikan oleh pendatang Bangladesh dan Nepal yang langsung tidah pernah bertutur bahasa Melayu sebelumnya.

Masyarakat Islam betapa pun telah jauh daripada amalan kehidupan yang dikehendaki dalam syariat, di hati mereka masih bersemi cahaya iman walaupun mungkin malap sahaja. Rakyat Bosnia Herzegovina tidah ubah seperti masyarakat Barat yang lain dari segi luaran, tetapi apabila dizalimi oleh puak Serbia yang pernah berjiran dan berbaik dengan mereka, telah berpaling semula kepada ajaran Islam dan saudara seagama. Cahaya yang malap tadi mula bersinar dan menjadi terang semula.

Sejak kejatuhan empayar Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924, nasib umat Islam menjadi terumbang-ambing. Kekuatan kesarjanaan, politik, ekonomi, sosial dan dakwah umat Islam menghadapi cabaran getir fahaman sekular dam proses pembaratan. Rejim boneka di rantau strategik umat Islam berjaya muncul sebagai pencatur agenda Barat yang menaruh dendam kesumat terhadap umat Islam rentetan kekalahan mereka dalam beberapa siri Perang Salib.

Barat juga berasa cemas dengan perkembangan pesat Islam di negara masing-masing, lalu mengenakan pelbagai tekanan yang tidak masuk akal dan bertentangan sama sekali dengan pendirian hak asasi yang mereka sendiri perjuangkan. Amerika Syarikat, Australia dan negara-negara Eropah juga semakin bimbang dengan profil demografi di sana yang menunjukkan bahawa dominasi kaum kulit putih kian lemah. Barat mungkin berjaya menafikan mega trend 2000 yang diramalkan oleh John Naisbitt atau East West Pendulum oleh Robert Lyod George (klik di sini) menerusi serangan mata wang dan permainan licik globalisasi, tetapi sejarah tajdid setiap 100 tahun tidak mampu disekat.

...

...

Friday, November 29, 2013

PENEMPATAN SISWAZAH PENDIDIKAN DAN URUSAN PERTUKARAN GURU (LATEST NEWS ABOUT TEACHING SERVICES)

Sidang Dewan Rakyat pada hari Selasa, 26 November yang lalu diberitahu bahawa Kementerian Pendidikan tidak menjanjikan penempatan kepada siswazah sarjana muda perguruan, termasuk lulusan institut pengajian tinggi awam seperti Upsi, UKM, UM, UPM, USM, UTM, UTHM, UUM, UiTM dan lain-lain. Lulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang dikhususkan untuk pengajian sekolah juga tidak lagi ditempatkan secara automatik. Mereka perlu membuat permohonan secara atas talian menerusi portal www.jobsmalaysia.com (sila klik pada nama portal) bagi tujuan panggilan temu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP, klik di sini untuk maklumat lanjut). 

Amalan penempatan guru secara sandaran terlatih sebelum pelantikan tetap sebelum tahun 2012 telah dimansuhkan. Di bawah amalan itu, siswazah ditempatkan di sekolah terlebih dahulu sebelum dicalonkan untuk menghadiri temu duga pihak SPP. Perbezaan tarikh penempatan sandaran terlatih boleh jadi antara sebulan hingga setahun, bergantung kepada tarikh lulus temu duga, serta perakuan norma dan vot perjawatan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Konsep penempatan guru secara sandaran terlatih diganti dengan penempatan secara interim sebelum layak dipertimbangkan untuk lantikan tetap. Pada amnya hanya siswazah perguruan yang mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas sahaja diberi pertimbangan untuk lantikan secara automatik. Namun, terma dan syarat penempatan guru berkenaan dijangka berbeza dari tahun ke tahun berdasarkan keperluan. 

Kriteria penempatan guru baharu ialah kekosongan perjawatan di sekolah dan keperluan opsyen mata pelajaran. Menerusi pangkalan data secara berpusat, maklumat tentang permintaan dan penawaran guru baharu lebih cepat dapat diproses. Pada bulan Januari tahun lalu, kira-kira 5,000 orang siswazah pendidikan IPTA diambil bagi mengisi kekosongan jawatan di sekolah menengah.

Isu pengangguran siswazah pendidikan berlaku justeru peningkatan tempat pengajian diploma pendidikan pascasiswazah dan pengajian prasiswazah di IPTA, lebih-lebih lagi setelah Upsi ditubuhkan. Sebelum itu, lulusan Diploma Pendidikan UKM, UM, UPM, USM, UIAM dan UTM tidak menghadapi masalah penempatan walaupun mereka bukan pemegang biasiswa Kementerian Pendidikan. Selain Upsi, beberapa universiti komprehensif yang lain seperti UUM turut menawarkan program pengajian pendidikan.

Pemohon jawatan guru perlu membuat persiapan rapi apabila menerima surat panggilan temu duga (menerusi portal KPM atau SPP), serta mentelaah pelaksanaan dasar dan pendekatan pendidikan terkini seperti PPPM, NKRA, NBOS, MMI, PBS dan banyak lagi. Calon yang dipanggil juga harus membaca tentang fungsi dan struktur pentadbiran SPP, termasuk pengerusi barunya, Dr. Haili Dolhan dari Sarawak. Beliau mantan rektor IPGM.

Tujuan paling utama temu duga ialah untuk melihat calon secara fizikal (in person) bagi melihat kesesuaian tampang mereka sebagai bakal guru, di samping tahap kenyaringan suara, etika dan tingkah laku yang menepati piawaian (standard) guru Malaysia. Hal berkenaan selaras dengan dasar pengambilan kakitangan awam yang baharu dalam kalangan bakat terbaik. Calon guru perlu datang dengan pakej pencapaian akademik, ikhtisas, kemahiran insaniah, kepimpinan dan sahsiah yang mulia. 

Sementara itu, dalam isu pertukaran guru, pihak kementerian mendapati jumlah permohonan melebihi kekosongan yang terdapat di beberapa buah negeri, terutama Kelantan, Kedah dan Terengganu. Keutamaan diberi kepada guru yang mengikut pasangan masing-masing untuk bertugas di sesuatu kawasan. Buat masa ini, tidak semua permintaan untuk bertugas di negeri masing-masing dapat dipenuhi walaupun pemohon mempunyai alasan yang kukuh untuk berdekatan dengan anggota keluarga, khususnya ibu bapa yang lanjut usia.

Sebagai contoh, Kelantan memiliki norma perjawatan guru sebanyak 28,054 orang, tetapi jumlah guru yang berasal dari negeri itu di seluruh negara ialah sebanyak 57,740 orang. Hal itu bermakna hampir 30,000 orang guru dari Kelantan harus berkhidmat di perantauan dan kena terus berdoa agar beroleh kesempatan pulang bertugas di kampung halaman sebelum bersara. Antara opsyen mata pelajaran yang paling banyak permintaan bertukar ialah Pendidikan Islam, iaitu ustaz dan ustazah.

Terengganu mencatat 1,267 permohonan, tetapi hanya terdapat 169 kekosongan. Kedah pula mempunyai 274 kekosongan berbanding dengan jumlah permohonan sebanyak 1,523. Terdapat pemohon yang menolak untuk ditempatkan di negeri berdekatan, sebaliknya mahu menunggu sehingga dapat balik mengajar di negeri asal masing-masing.

Dalam jangka panjang, pihak kementerian membuat unjuran supaya pengambilan guru dilaksanakan menurut keperluan sesebuah negeri supaya calon guru dapat terus ditempatkan di negeri asal masing-masing. Pihak kementerian juga prihatin tentang guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan hidup masing-masing. Kebajikan dan kesejahteraan para guru sentiasa diberi perhatian demi kepentingan pembelajaran di sekolah.

Sumber maklumat:
1   Kosmo, 27/11/13. ms 5: Kementerian Pendidikan tak janji penempatan graduan.
2   Berita Harian, 28/11/13. ms 16: Permohonan pertukaran guru melebihi kekosongan ditawar.
3   Ibid: Halili Dolhan dilantik Pengerusi SPP.

Thursday, November 28, 2013

PERANCANGAN BELANJAWAN KELUARGA 2014 (ESTIMATING INCOME AND SPENDING ACCORDINGLY)

Setiap organisasi yang rasmi dan membabitkan kepentingan banyak pihak wajib membentangkan belanjawan tahunan yang berupaya penyata anggaran pendapatan dan perbelanjaan untuk tempoh setahun berikutnya. Belanjawan boleh disemak semula berdasarkan keperluan, tetapi tertakluk kepada tatacara kelulusan pembentangan yang asal. Pendek kata, pengurusan kewangan sesebuah organisasi tidak boleh bercanggah atau melencong daripada belanjawan yang diluluskan.

Bagaimanakah pula sesebuah keluarga merancang belanjawan masing-masing walaupun hakikatnya dilakukan secara sukarela? Perbelanjaan keluarga secara berhemah yang sejajar dengan jumlah pendapatan ketua keluarga dapat mengelakkan pembaziran dan beban hutang keliling pinggang. Tanggungjawab menyara keluarga terpikul di atas bahu bapa, dan boleh dibantu oleh ibu yang memiliki pendapatan sendiri.

Di negara maju, sesebuah keluarga boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dalam penyediaan belanjawan isi rumah. Pelbagai agensi awam dan organisasi sukarela menawarkan bantuan merancang belanjawan yang seimbang dan selamat (klik di sini). Jika anggaran perbelanjaan melebihi pendapatan sedia ada,ketua keluarga kena mencari jalan bagi memperoleh pendapatan tambahan, atau memotong perbelanjaan kurang mustahak, atau jika masih tidak boleh dielakkan juga, menjadualkan pembayaran hutang kepada institusi kewangan yang sah.

Pecahan butir belanjawan harus merangkumi jumlah pendapatan boleh guna isi rumah, iaitu setelah ditolak cukai pendapatan. Perincian slip gaji boleh menjadi panduan kasar tentang baki pendapatan yang boleh dibawa balik kerana masih ada bayaran tunai bulanan yang perlu dibuat. Contoh jadual belanjawan secara atas talian boleh dimanfaatkansepenuhnya  (klik di sini).

Di Malaysia, nisbah hutang isi rumah terhadap pendapatan bulanan dianggarkan mencecah angka 60:40. Sesebuah keluarga harus menanggung hutang pembelian rumah sehingga ketua keluarga bersara, atau jika berlaku kematian sebelum tamat tempoh bayaran. Selain itu, terdapat hutang kenderaan, pinjaman peribadi dan pembelian barang secara ansuran (bayaran tertangguh).

Dengan baki pendapatan yang tidak seberapa bagi keluarga kelas pertengahan, ketua keluarga perlu merancang perbelanjaan keperluan asas, iaitu makanan, pakaian, bil kemudahan rumah dan telekomunikasi, serta kos bahan api kenderaan. Semua perbelanjaan pembelajaran anggota keluarga juga mesti dimasukkan. Pendidikan anak menjadi tanggungjawab wajib para ibu bapa, bukan satu pilihan.

Tabungan minimum sebanyak 10 peratus daripada pendapatan ketua keluarga juga perlu diperuntukkan dalam jadual belanjawan untuk pelbagai tujuan, misalnya untuk menunaikan ibadah haji, melancong dan luar jangka (urusan kecemasan). Simpanan tunai juga merupakan satu bentuk kuasa beli yang luar biasa apabila terdapat tawaran pembelian hartanah yang memerlukan bayaran pendahuluan tunai. Tabiat menabung memerlukan disiplin yang tinggi dan sukar dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai wawasan.

Bagi orang Islam, kekayaan bukan diukur dengan menghitung jumlah wang di tangan, atau akaun simpanan bank, tetapi terhadap perbelanjaan yang menjurus kepada konsep kebajikan, kebaktian, tolong-menolong dan taqwa. Setiap sen perbelanjaan yang dikeluarkan untuk keluarga dikira sebagai infaq fi sabilillah dan sedekah jika diniatkan kerana Allah. Begitu juga dengan pertolongan kewangan, jika mampu, kepada sanak saudara terdekat, jiran tetangga dan masyarakat yang memerlukan selain bayaran zakat yang wajib.

Kad kredit ialah kemudahan belanja dahulu, bayar kemudian. Namun, penggunaan kad kredit hendaklah dikawal mengikut belanjawan keluarga yang ditetapkan dengan sejumlah peruntukan wang yang disediakan terlebih dahulu. Maksudnya, kad kredit hanya patut digunakan berdasarkan jumlah wang sebenar di tangan (atau dalam akaun simpanan khas) dan bukan mengakibatkan pendapatan bulan akan datang habis begitu sahaja sebelum dapat dinikmati.

Begitu banyak kebijaksanaan dan pesanan generasi dahulu boleh dijadikan pedoman dalam proses penyediaan belanjawan keluarga yang berhemah, bijak dan berimbang. Ukur baju di badan sendiri; jika melihat bintang di langit jangan lupa rumput di bumi; mendengar guruh di langit, air tempayan jangan dicurahkan dan sesenarai panjang peribahasa yang seumpamanya. Paling penting ialah peruntukan belanjawan yang dibuat mempunyai nilai ibadah dan akur terhadap segala prinsip yang digariskan ...

Wednesday, November 27, 2013

PANTAI REMIS MILIK ORANG (FALLS IN THE SAME HOLE)

Pertama kali berkunjung ke pekan berasaskan kegiatan perikanan dalam pentadbiran daerah Manjung itu ialah ketika menghadiri program anjuran sebuah jabatan kerajaan dekat Akademi Segari. Di kiri dan di kanan jalan menuju Pantai Remis ialah pemandangan kampung dengan saiz keluasan pemilikan tanah mencecah sepuluh ekar bagi setiap keluarga. Namun, kewujudan rumah colok di setiap lot tanah yang diperhatikan menjadi saksi betapa hampir seluruh kampung tradisional Melayu di situ sudah bertukar tangan.
premis peniagaan hasil laut milik bumiputera di Pantai Remis

Pemilikan ke atas tanah merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat, daerah, negeri dan negara. Jika tanah milik penduduk asal sesebuah kawasan terlepas kepada orang lain dengan saiz keluasan yang besar, maka secara tidak langsung, penduduk asal akan terusir. Ke manakah perginya penduduk asal kampung tradisional Melayu di situ?

Nampaknya pengalaman sejarah Palestin belum cukup untuk menjadi iktibar. Pendatang yahudi yang tidak lagi disenangi di negara-negara Barat berkelana ke wilayah Palestin dengan tidak mempunyai tempat tinggal, tetapi mereka berbekalkan sejumlah wang yang banyak. Mereka melakukan pembelian tanah milik penduduk asal Palestin secara sedikit demi sedikit.

Lama-kelamaan, kaum pendatang Yahudi sudah menguasai sejumlah besar kawasan tanah di Palestin dan menjemput lebih ramai pendatang Yahudi ke sana. Setelah memiliki kekuatan dari segi pemilikan tanah dan masyarakat, pendatang Yahudi mula merampas tanah penduduk Palestin tanpa belas kasihan, lalu pada akhirnya dengan dukungan Barat, membentuk negara dan rejim haram Tel Aviv. Kesilapan yang berlaku telah mengakibatkan penduduk Palestin hidup dalam kesengsaraan dan terdedah kepada serangan tentera jahat yang asalnya pembeli tanah yang sangat licik.

Dalam konteks tempatan, sejarah Temasek dan Pulau Pinang terbentang di hadapan mata. Sekali pemilikan tanah terlepas, maka sukar untuk ditebus kembali. Kelak anak cucu hanya mampu menangis tidak berlagu sambil menyalahkan sikap haloba nenek moyang mereka yang cepat gelap mata dan cuai.

Kejahilan, manipulasi, sistem riba dan kegiatan ekonomi moden boleh dijadikan alasan penyusutan saiz tanah milik orang Melayu, termasuk di kawasan strategik. Perbuatan menyalahkan pihak ketiga, tetapi dalam masa yang sama enggan mengaku kecuaian diri sendiri ialah tanda kecelaruan fikiran. Pemimpin yang peka terhadap kekuatan umat mesti melakukan sesuatu supaya kesedaran tentang peri pentingnya mempertahankan pemilikan tanah kembali berputik dan bersemi dalam kalangan orang Melayu.

Kefahaman terhadap Kanun Tanah Negara 1965 dengan pindaan  (klik di sini)  perlu disampaikan kepada pemilik tanah dengan laras bahasa mudah difahami. Data terkini tentang status pemilikan tanah di seluruh negara juga patut didedahkan. Ruang untuk amalan rasuah dalam urusan jual beli tanah sama ada oleh pihak broker atau kakitangan pihak berkuasa negeri hendaklah ditutup rapat.

Isu tanah terbiar dan tanah simpanan kekal orang Melayu juga harus ada jalan keluar. Di kawasan sawah padi Kampung Gajah dan Sungai Manik sebagai contoh, sudah diusahakan oleh orang lain walaupun hak milik tanah masih di tangan pemilik asal. Orang Melayu lebih rela berpeluk tubuh, berpangku tangan dan goyang kaki untuk menikmati hasil yang tidak seberapa berbanding dengan pulangan moncah yang dikaut oleh orang lain yang mengerjakan sawah secara komersial.

Keadaan yang sama berlaku di sebelah pantai timur. Orang Melayu lebih rela menjadi kuli menangkap ikan berhari-hari di laut dengan bot kepunyaan taukeh luar daripada bersatu di bawah naungan koperasi nelayan tempatan misalnya. Ketika mereka dilambung ombak dan memerah keringat, taukeh bot bergelak ketawa di rumah masing-masing, atau melilau di gedung beli-belah berhawa dingin.

Tidak dinafikan sudah banyak tokoh korporat dalam kalangan orang Melayu bergelar yang telah berjaya membina empayar perniagaan yang bertapak kukuh dalam ekonomi hingga tersenarai di bursa saham. Namun, mereka juga harus sanggup berkorban dengan margin keuntungan yang relatif lebih rendah demi memastikan bahawa saudara serumpun mereka juga mampu memiliki hartanah di kawasan segi tiga emas yang mereka bangunkan. Semoga kisah Pantai Remis akan sentiasa mengingatkan orang Melayu supaya bangkit daripada dibuai mimpi yang panjang dan bersegera mengembalikan kekuatan umat ...

MEMARTABATKAN EKONOMI UMMAH (THE WISDOM AND VIRTUE PARADIGM)

Umat Islam akhir zaman menghadapi cabaran getir bagi menjaga kekuatan aqidah, syariat dan akhlaq, tetapi tetap dengan kewajipan misi risalah dakwah, iaitu menyebarkan ajaran tawhid kepada sekalian insan.

seterusnya

selanjutnya

maka

sesungguhnya

natijah besar

tuntas

kepimpinan

kesegeraan

kesimpulan

Tuesday, November 26, 2013

KENAIKAN HARGA BERLELUASA SERLAH WAJAH KAPITALISME (THE EVIL RULES WITHOUT EMPATHY)

Isi rumah berusaha memaksimumkan kepuasan, firma berusaha memaksimumkan keuntungan, dan kerajaan berusaha memaksimumkan kebajikan. Teori tentang peranan pelaku ekonomi menyebut demikian. Isi rumah membentuk bilangan pelaku ekonomi yang paling ramai, tetapi mereka sukar sekali utnuk bersepakat dalam konteks membuat keputusan dan agihan sumber sehingga menjadikan kuasa tawar-menawar mereka menjadi sangat lemah.

Isi rumah ialah pemilik sebenar faktor pengeluaran, iaitu buruh, tanah, modal dan usahawan. Mereka bersaing di pasaran faktor untuk memperoleh pendapatan bagi setiap faktor tadi, iaitu upah, sewa, bunga (dalam sistem muamalat: dividen, nisbah perkongsian risiko) dan untung. Dalam proses itu (model pusingan aliran pendapatan), segelintir isi rumah akan muncul sebagai usahawan kaya raya yang menguasai sumber, manakala majoriti isi rumah berkongsi baki sumber yang ditinggalkan menerusi persaingan sengit sebagai pengguna biasa.

Pengguna tidak bersatu padu untuk membentuk kuasa tawar-menawar atau memberi tekanan kepada penjual (usahawan). Pengguna juga terperangkap dalam budaya utilitarian (mementingkan faedah terhadap diri sendiri) dan mudah dieksploitasi menerusi strategi pemasaran yang licik. Pengguna seolah-olah rela menjadi mangsa kepada sifat tamak usahawan yang tidak berhati perut.

Keuntungan ialah pendapatan kepada usahawan atas sebab kesanggupan menanggung pelbagai jenis risiko dan kos lepas. Menerusi jumlah jualan secara besar-besaran usahawan yang mengendalikan sesebuah firma dapat menikmati faedah ekonomi bidangan. Kos pengeluaran per unit (kos purata) dapat diturunkan bagi membolehkan firma menawarkan harga keluaran yang lebih rendah kepada pengguna.

Masalah yang dihadapi oleh pengguna ialah kenaikan harga yang berleluasa, dan mereka langsung tidak berdaya untuk membuat bantahan yang berkesan atau signifikan. Barang keperluan asas, iaitu makanan, pakaian dan rumah mengalami peningkatan harga yang luar biasa dari masa ke masa. Demikian juga dengan harga kenderaan persendirian yang menjerut leher isi rumah apabila terpaksa menanggung beban hutang yang tidak berkesudahan.

Peranan kerajaan dalam ekonomi ialah untuk memaksimumkan kebajikan, sama ada kebajikan pengguna mahupun kebajikan pengeluar (biasanya firma kecil dalam pasaran persaingan sempurna). Kerajaan campur tangan menerusi pelbagai dasar makro, terutama dasar fiskal dan dasar kewangan. Kerajaan juga membiayai pengeluaran barang awam menerusi sistem agihan semula pendapatan faktor supaya matlamat kebajikan dapat tercapai.

Dengan pengecualian kepada sekumpulan usahawan budiman, sebahagian besar usahawan menjadi semakin rakus dan tamak mengumpul timbunan harta kekayaan seperti kisah Qarun yang akhirnya ditelan bumi akibat keangkuhan dan kufur. Usahawan rakus yang membentuk kaum pemodal (kapitalis) memang licik untuk menyembunyikan wajah jahat mereka menerusi aktiviti yang bersifat murah hati. Mereka muncul dalam majlis amal tertentu yang mendapat liputan media, serta menaja program kebajikan yang terpilih.

Usahawan kapitalis seperti itu tidak ubah seperti raja dadah Colombia yang berjaya mengeksploitasi kejahilan dan kemiskinan hampit dua juta orang pengikut mereka sehingga muncul bagaikan dewa pujaan dalam sebuah wilayah jajahan autonomi yang sukar didekati oleh pihak berkuasa. Kaum kapitalis hidup serba mewah atas susah payah dan keringat orang bawahan dan suruhan mereka yang sampai ke peringkat bersabung nyawa. Kegagalan untuk memulau kegiatan kaum kapitalis menyebabkan pengguna terus tertindas dan menjadi mangsa.

Teguran terhadap kaum kapitalis tidak bermakna bahawa seseorang itu sudah menjadi sosialis atau lebih teruk sebagai pendukung komunisme yang menuntut kesamarataan. Jari di tangan dan di kaki pun tidak sama besar dan panjang setiap satu, melainkan dalam watak kartun Nancy dan Slugo. Harta kekayaan tidak patut berlegar dalam kalangan segelintir orang kaya supaya sesebuah ekonomi tidak mengalami kemusnahan akibat kejatuhan perbelanjaan agregat dalam jangka panjang.

Negara maju mempunyai peraturan dan sekatan terhadap pemilikan harta kekayaan dan amalan monopoli. Sudah sampai masanya kegilaan usahawan yang rakus dan tamat mengekploitasi kejahilan pengguna yang enggan bersatu padu dikenakan kawalan yang tertentu. Jika dibiarkan, peranan kerajaan untuk memaksimumkan kebajikan akan dipandang sepi dan kegiatan ekonomi terus menjadi tidak sihat ...

Monday, November 25, 2013

PENDIDIKAN YANG LESTARI (THE HIGHEST QUALITY OF HUMAN CAPITAL)

Visi, iaitu wawasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berbunyi Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera. Misi KPM pula ialah Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara (klik di sini). Perbincangan ini menjurus kepada konsep lestari dalam pendidikan, tetapi lebih bersifat ringan.

Lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal, atau tetap, iaitu keadaan atau persekitaran yang terpelihara seperti asal dan asli (klik di sini). Kosa kata lestari ialah kata serapan daripada bahasa Indonesia yang setara dengan maksud everlasting dan sustainable (mampan) dalam bahasa Inggeris. Perkataan lestari sudah lama popular dalam bidang alam sekitar dan pembangunan, tetapi boleh dikatakan masih baharu untuk digandingkan dengan dunia pendidikan di sekolah. 

Pada asasnya lestari merujuk kepada status quo, iaitu bertentangan dengan proses kemajuan atau perubahan. Jika demikian, mengapakah KPM memilih istilah melestarikan dalam pernyataan misi yang terbaharu? Tidakkah pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bernaung di bawah KPM tampil memberi penjelasan (pencerahan?)?

Usah terlalu cepat menjatuhkan hukuman sebelum selesai memastikan duduk perkara sebenar. Pernyataan misi KPM perlu dibaca secara keseluruhan dan tuntas, bukan sekerat-sekerat. KPM hendak melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti. Ertinya, pendidikan yang bermutu sebagaimana konsep pendemokrasian pendidikanlah yang mahu dikekalkan, dipelihara, tetap dan tidak berubah. 

Kualiti atau mutu ialah pencapaian darjah kecemerlangan yang tertinggi. Begitulah penanda aras yang ditetapkan oleh KPM terhadap sistem pendidikan negara. Segala perancangan dasar dan pelaksanaan pendidikan menjurus terhadap pembangunan potensi individu murid, atau dalam kata lain proses penjanaan modal insan minda kelas pertama bertaraf dunia.   

Pelestarian sistem pendidikan yang berkualiti itu pada akhirnya bertujuan bagi memenuhi aspirasi negara, iaitu pencapaian status negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri menjelang tahun 2020. Rakyat sesebuah negara maju bukan sahaja memiliki akses terhadap tahap pendidikan tertinggi, bahkan berdaya saing dan mesra pembaharuan. Rakyat yang produktif berhak memperoleh pendapatan yang tinggi dan kuasa beli yang tinggi, tetapi dalam masa yang sama sentiasa menyumbang terhadap kemakmuran dan kesejahteraan insan secara istiqamah.

Pendidikan yang bermutu ialah reka bentuk proses pembelajaran yang serasi dengan konsep penyampaian ilmu pengetahuan yang sah dan benar. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam naskhah The Concept of Education in Islam mentakrifkan ilmu sebagai ketibaan makna (klik di sini). Hakikat bahawa kerjaya keguruan termasuk dalam kategori perkhidmatan menolong bermaksud peranan guru lebih banyak menjurus terhadap proses membimbing murid untuk meneroka ilmu pengetahuan yang tertentu bagi mengembangkan potensi dan fakulti  mereka secara optimum.

Pelaksanaan konsep pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) bertujuan melengkapkan amalan pengukuran pembelajaran menerusi sistem peperiksaan berpusat. Kemajuan dan pencapaian murid dilonjakkan menerusi kemahiran projek, tugasan dan aplikasi komputer supaya mereka muncul sebagai insan yang berdikari dan berkeyakinan diri apabila menceburi urusan mencari rezeki dan bermasyarakat kelak. Isu teknikal seperti kesesakan masukan data dalam sistem pelayan atas talian tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kembali kepada sistem pengukuran pembelajaran secara tradisional sepenuhnya.

Sistem pendidikan yang bermutu tidak seyogia tersekat, terhenti atau berakhir pada satu-satu tahap keseimbangan yang tertentu, sebaliknya sentiasa terbuka kepada penambahbaikan, pembaharuan dan perubahan secara berterusan. Tamadun gemilang yang pernah muncul di timur dan barat merupakan rentetan keberhasilan sistem pendidikan terancang dan sudah tentu menuntut pengorbanan semua pihak yang berkepentingan. Proses perubahan bererti kehilangan status quo yang tertentu, misalnya kedudukan, keselesaan, peraturan lama dan kebiasaan.

Kesimpulannya, pendidikan yang lestari merujuk kepada usaha mengekalkan, menetapkan dan tidak mengubah tujuan utama tentang sistem pendidikan yang bermutu. Kebijaksanaan dari segi kaedah, pendekatan dan pelaksanaan sentiasa mengalu-alukan dapatan amalan yang terbaik. Sekolah dan guru perlu mencari jalan supaya murid hanya bakal menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik ...

SUKA DUKA ORANG BERNIAGA (LESS PAIN LESS GAIN?)

Perniagaan, iaitu urus niaga jual beli barang dan perkhidmatan merupakan kegiatan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Malah, Imam al-Ghazali menulis dalam kitab Ihya' Ulummudin bahawa terdapat sebuah hadith tentang 9/10 rezeki datang daripada perniagaan (klik di sini). Walaupun terdapat perbincangan tentang status hadith berkenaan (klik di sini), hakikatnya dalam lembaran al-Quran dan catatan sirah, perniagaan sangat diberi perhatian.

Kita serahkan sahaja urusan perbincangan ilmiah tentang isu sanad hadith, sama ada mursal atau daif dan lain-lain kepada sarjana ilmu hadith. Perbincangan ini hanya bersifat ringan, iaitu berkisar tentang rezeki dan juga risiko apabila seseorang itu menceburi bidang perniagaan secara serius. Pengalaman sebenar beberapa orang kenalan mungkin berguna sebagai dorongan, pedoman, atau iktibar.

Model Pareto (20:80) barangkali dapat menjelaskan tentang 20 peratus ahli perniagaan yang benar-benar berjaya, manakala 80 peratus lagi sama ada bertahan atau sama keadaannya dengan peribahasa seperti telur di hujung tanduk. Permintaan untuk pengajian sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) di sekolah siswazah perniagaan (GSB) begitu tinggi dan universiti boleh 'buat duit' kerana yuran yang dikenakan jauh lebih tinggi daripada program sarjana yang lain. Buku-buku motivasi perniagaan juga memenuhi rak kedai buku utama seperti di MPH dan Popular.

Memang benar bahawa teori perniagaan di bilik kuliah dan input pengalaman dalam buku motivasi perniagaan tidak sama dengan dunia perniagaan sebenar. Namun, belajar sejumlah teori yang kuat adalah lebih baik daripada masuk dalam dunia perniagaan secara jahil. Pencapaian dalam bidang perniagaan dipengaruhi oleh pelbagai sebab yang boleh diringkaskan dalam satu patah perkataan, iaitu 'rezeki' atau dalam dua patah perkataan, iaitu 'nasib baik'.

Antara rezeki dan nasib baik yang dimaksudkan ialah masa yang tepat (timing, right time). Seorang kenalan mula menceburi bidang keusahawanan ladang kelapa sawit dengan membuat pinjaman bank bernilai jutaan RM. Ketika itu, harga kelapa sawit melonjak tinggi, bagaikan bullish run dalam urus niaga saham. 

Sayang sekali bahawa apabila ladang yang diusahakan mula mengeluarkan hasil, harga kelapa sawit jatuh merudum. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hutang mesti dilunaskan mengikut jadual walaupun pihak bank menggunakan budi bicara supaya hutang dapat distrukturkan semula supaya tidak sampai ke peringkat permohonan perintah muflis di mahkamah.

Seorang lagi peniaga yang banyak kali berjaya memenangi tender sajian makanan sekolah berasrama mengatakan bahawa petua untuk membuat keuntungan ialah dengan melakukan sendiri segala urusan penting, terutama kewangan dan mutu perkhidmatan. Beliau (kini sudah kembali ke Rahmatullah) dalam usia yang relatif muda, mengelolakan sendiri hal pembelian bahan mentah di pasar justeru dapat melakukan tawar-menawar menerusi pembelian secara pukal, di samping memastikan kesegaran bahan. Pembantu atau pekerja tidak boleh diharapkan sangat kerana mereka lazimnya hanya membuat kerja asal siap sahaja.

Mutu makanan yang disajikan dan budi bahasa pekerja yang melayan penghuni asrama dan warden bertugas harian harus sentiasa dipantau supaya tidak terpacul perkataan dan tingkah laku yang tidak layak di sebuah institusi pendidikan. Apabila penghuni asrama dan warden berpuas hati, pengendali sajian makanan akan menerima maklum balas yang baik dan sokongan untuk menyambung perkhidmatan atau dilamar oleh sekolah lain. Kerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan juga dijalinkan suapaya isu kebersihan dan keracunan makanan tidak timbul.

Perniagaan barangan elektrik dan elektronik nampaknya menjadi monopoli satu kaum sahaja yang telah memiliki rangkaian bekalan dan pemasaran, di samping sentiasa sepakat dalam penetapan harga dan taktik jualan. Monopoli berkenaan hanya mampu dipecahkan menerusi kegiatan koperasi dan secara atas talian. Jika tidak, peniaga bumiputera hanya mampu berniaga di warung tepi jalan, kedai makan dan kedai runcit.

Peribahasa Melayu mengatakan bahawa besar periuk maka besarlah keraknya. Perniagaan yang berskala besar memerlukan suntikan modal yang tinggi menerusi pinjaman bersindiket oleh institusi kewangan. Maka, jatuh bangun sesuatu perniagaan sangat bergantung kepada permintaan pasaran, serta unjuran keberkesanan kos dan nilai pulangan menerusi pentadbiran kajian kemungkinan (feasible study) yang signifikan ...

Sunday, November 24, 2013

KELEBIHAN BELAJAR DI SEKOLAH HARIAN (DISCIPLINE OF LEARNING)

Murid cemerlang UPSR kini sedang berdebar-debar menunggu keputusan pemilihan kemasukan tingkatan satu ke sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), sekolah menengah agama negeri (SMA), sekolah kawalan negeri dan rancangan khas (RK). Sebahagian pemohon SBP telah pun selesai menjalani ujian kemasukan dan temu duga di bawah kuota pengetua. Pencalonan dibuat oleh pihak kementerian berdasarkan kriteria tertentu.

SBP biasanya mendahului dari segi pengambilan murid tingkatan satu, diikuti oleh MRSM dan seterusnya. Bagi memenuhi hasrat yang pelbagai, SBP dan MRSM turut menawarkan pengkhususan seperti agama, bahasa Inggeris dan umum. Terdapat SBP integrasi, SBP agama, MRSM Ulul-Albab, MRSM Bahasa Inggeris (IGCSE), selain pengajian sains tulen.

Terdapat juga ibu bapa yang terus fokus terhadap SMKA dan SMA kerana kedua-dua jenis sekolah berkenaan juga menawarkan jurusan sains tulen, tetapi mempunyai tambahan mata pelajaran bahasa Arab dan pendidikan Islam tinggi. Program RK ditawarkan di sekolah harian biasa, biasanya sekolah kawalan negeri. Murid RK ditempatkan di asrama sekolah dan berpeluang mengkhusus dalam bidang agama, bahasa Inggeris dan sains tulen, sama seperti di SBP dan MRSM.

Jumlah pengambilan murid tingkatan satu SBP dan MRSM dianggarkan 15,000 orang, manakala SMKA dan SMA dianggarkan separuh daripada angka berkenaan. Andai kata RK menyediakan 5,000 tempat, maka keseluruhan murid tingkatan satu yang mengikuti program murid cemerlang berjumlah 27,000 orang, iaitu memenuhi permintaan murid bumiputera yang diberi keutamaan untuk akses pendidikan terbaik itu. Jumlah calon 5A UPSR ialah sebanyak 42,000 orang.

Calon near miss dengan pencapaian UPSR 4A, 1B atau 3A, 2B juga masih berpeluang memasuki  SBP, MRSM, SMKA, SMA dan RK dengan syarat kemasukan khas. Jika masih harus akur untuk ke sekolah harian biasa, mereka akan membentuk kumpulan 400,000 orang murid tingkatan satu yang masih ditawarkan dengan program pembelajaran terbaik oleh guru-guru terbaik untuk membimbing mereka menuju kecemerlangan. Maka, apakah kelebihan belajar di sekolah harian biasa?

Kebanyakan murid sekolah harian tinggal di rumah dengan keluarga masing-masing. Hanya segelintir murid yang berpeluang atau sanggup tinggal di asrama sekolah yang tertentu. Maka, murid perlu ke sekolah dengan menggunakan pengangkutan sendiri atau awam. 

Jika penghuni asrama harus berkongsi kemudahan kamar, bilik air dan sebagainya secara beramai-ramai, murid di sekolah harian menikmati keselesaan di rumah. Pengalaman yang berbeza sudah tentu membawa natijah yang juga berbeza. Dengan itu, murid sekolah harian tidak perlu berasa rendah diri atau terkilan kerana tidak merasa pengalaman di sekolah berasrama.

Di rumah, murid sentiasa bersama anggota keluarga yang lain dan meniti usia remaja di bawah bimbingan orang tua masing-masing. Mereka mempunyai kesempatan yang lebih kerap untuk melakukan kegiatan keluargaan bersama, termasuk di meja makan, solat berjemaah, menonton rancangan televisyen yang bermanfaat, riadah dan menziarahi jiran tetangga atau sanak saudara tanpa terikat kepada sekatan masa. Tempat meluahkan perasaan, terutama dengan ibu, sentiasa ada.

Ibu bapa bukannya tidak percaya kepada proses pembelajaran di sekolah, tetapi mereka mahu mengekalkan momentum pembelajaran itu di luar sekolah, lalu berhabis wang ringgit, masa dan tenaga untuk menghantar anak mengikuti kelas tuisyen. Perkara sedemikian mungkin tidak boleh dilakukan oleh murid di asrama, melainkan pada musim cuti sekolah. Keserasian pembelajaran juga mungkin juga diperoleh di luar sekolah. 

Persaingan menuju kecemerlangan juga wujud di sekolah harian, justeru pelbagai program pembelajaran bestari telah direka bentuk oleh pihak sekolah. Murid cemerlang juga memiliki kesempatan yang luas untuk membimbing murid lain yang berpencapaian sederhana di bawah konsep pengajaran sebaya. Pada akhir nya, walau di mana-mana juga murid bersekolah, pencapaian kecemerlangan tetap ada, dengan syarat terdapat kemahuan yang kuat di dalam diri masing-masing, serta disiplin kendiri yang istiqamah ...

Saturday, November 23, 2013

NILAI MURNI MASYARAKAT KAMPUNG (HELPING OTHERS F.O.C.)

Pada hari Jumaat yang lalu, ketika berada di Kampung Changkat Panchor, tiga kilometer dari pekan kecil Bota Kanan, kenderaan penulis blog (PB) tersangkut di dalam tempat becak dan tidak mampu bergerak. Kawasan di situ tiada rumah berdekatan dan PB orang asing. Jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari dan tiada kelibat manusia yang melintas di situ.

Dalam keadaan genting begitu, petua watak James Bond 007, iaitu jangan tunjuk cemas, cari jalan keluar dan bertindak cepat boleh dibuat panduan. Dalam ayat seribu dinar (at-Talaq: 2-3) menegaskan bahawa barang siapa yang bertaqwa, Allah akan tunjukkan jalan keluar, beroleh rezeki dari arah yang tidak diduga dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya ... Telefon bimbit juga sangat membantu kerana sahabat mungkin bersedia membantu walaupun mereka berada jauh, sekurang-kurangnya dari segi idea.

PB menghubungi Encik Muri, petugas kantin sekolah di Ipoh yang mempunyai keluarga dan rakan di kawasan berhampiran Parit, kira-kira lima kilometer dari tempat kereta tersangkut. Alhamdulillah, dia menjawab panggilan dengan cepat dan menyuruh PB menunggu abang dan kawannya yang akan datang membantu. Sementera itu, PB dan orang rumah berjalan dalam jarak 200 meter untuk mendapatkan bantuan penghuni rumah yang paling dekat.

Penghuni rumah itu serta-merta datang bersama anak dan jiran mereka yang masih dalam lingkungan usia sekolah rendah. Mereka membawa dua keping papan dan terus menolak kereta beramai-ramai, tetapi kudrat kanak-kanak kecil agak terhad walaupun telah mencuba sedaya upaya. Sepuluh minit kemudian, lima buah motosikal yang ditunggang oleh orang muda dan dewasa yang dihantar oleh Encik Muri pun tiba.

Gabungan kanak-kanak, orang muda dan dewasa ibarat lidi yang sudah diikat menjadi berkas yang tidak lagi mudah dipatahkan. Dalam tempoh tidak sampai seminit, kereta berjaya dikeluarkan dari kawasan becak berkenaan. PB berasa lega justeru dapat meneruskan perjalanan balik ke Ipoh dan singgah di mana-mana masjid untuk solat Jumaat.

PB telah menyediakan beberapa keping wang kertas nominasi RM10 untuk diagihkan kepada penduduk kampung yang budiman itu. Namun, semua sekali bergegas pergi sambil berteriak, "kami ikhlas menolong." Kanak-kanak yang berbasikal tadi juga menolak sebarang imbuhan walaupun untuk membeli minuman kerana mereka berasa seronok kerana mendapat pengalaman yang baharu agaknya.

PB menghubung Encik Muri semula untuk memaklumkan masalah telah selesai, mengucapkan terima kasih dan memberitahu perihal mereka yang menolak pemberian wang walaupun satu sen. Encik Muri hanya gelak sambil menganggap hal itu sebagai biasa sahaja di kawasan kejiranan kampung. PB juga pernah melalui zaman kanak-kanak di kampung, tetapi pada zaman generasi X

Hakikatnya nilai pertolongan pada detik genting sebegitu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Bayangkan tiada siapa yang sudi menghulurkan bantuan di kawasan yang sunyi seperti itu. Khidmat kereta tunda mungkin mengambil masa untuk tiba dan caj yang dikenakan tentu sangat tinggi.

PB meneruskan perjalanan ke pekan Parit untuk mencari kedudukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sana justeru akan berurusan di sana pada 9 Disember kelak. PB terlajak empat kilometer kerana kampus MRSM kedalam sedikit dan tidak kelihatan dari jalan besar. Penduduk kampung berhampiran Serapoh dengan ramah memberi maklumat terperinci tentang tempat yang dituju itu.

PB singgah solat Jumaat di Masjid Jamek pekan Parit dan mengikuti khutbah yang disediakan oleh Jakim yang bertajuk pengisian cuti sekolah untuk remaja Muslim. Hujan turun renyai dan PB beredar pulang kira-kira pukul dua petang. Budi baik orang kampung di sana memang sangat berharga buat PB ...

Friday, November 22, 2013

DI SEBALIK KISAH VILLA NABILA (JUMPING THE CONCLUSION)

Tidak semena-mena, remaja kelainan upaya (bermasalah pembelajaran), Mohd Izzat Izzudin bin Hussin, 16, menjadi perhatian media tradisional dan mencetuskan viral media sosial maya. Tanpa usul periksa, banyak pihak melemparkan kata nista yang tidak berasas terhadap Izzat dan keluarga (klik di sini). Pengamal rawatan tradisional juga mempamerkan kesilapan yang ketara apabila begitu yakin bahawa Izzat telah disorok makhluk halus di villa seluas 2.6 hektar  (hampir 6 ekar) milik warga Singapura di kawasan peranginan Danga Bay, Johor Bahru.

Hussin Md Tap, 61, memberitahu Izzat ialah anaknya yang ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Seorang adik Izzat yang berusia 15 tahun juga remaja kelainan upaya dengan usia akal yang dianggarkan tiga tahun sahaja. Mereka tinggal di sebuah rumah kampung yang serba kekurangan.

Norhayati Mohamad, ibu Izzat, pula menafikan Izzat menumpang di rumah pangsa teman wanitanya. Izzat bukan remaja biasa, sebaliknya tidak mampu ke villa berkenaan seorang diri melainkan terikut ajakan kawan. Pendek kata, Izzat ialah mangsa yang hilang, bukan mahu menonjolkan diri seperti kaum selebriti.

Reaksi lampau (overreact) masyarakat dalam kejadian yang menimpa Izzat hanya mengukuhkan teori falasi, iaitu tanggapan masyarakat terhadap sesuatu perkara disandarkan kepada maklumat yang belum tentu hujung pangkal, atau lebih keras kalau disebut sebagai berita palsu. Bijak pandai menganggarkan kira-kira 80 peratus tema perbualan harian masyarakat termasuk dalam kategori itu.

Kebenaran sesuatu perkara hanya dapat ditentukan menerusi siasatan yang mendalam. Jika tidak, sesuatu maklumat yang diterima lebih bersifat dakwaan (claim) semata-mata. Bidang penyelidikan dan tubuh ilmu pengetahuan yang sah tidak membenarkan perkara sedemikian berlaku.

Pepatah Perancis mengatakan jangan percaya langsung kepada apa-apa yang anda dengar, dan percaya separuh sahaja terhadap apa-apa yang anda lihat. Peribahasa Melayu mengatakan 'percaya cakap enggang makan buah beluluk, percaya cakap orang terjun masuk lubuk'. Al-Quran (surah al-Hujarat, 49:6) dengan tegas mengingatkan supaya menyelidiki kebenaran berita yang disebarkan oleh orang fasik (klik di sini).

Walaupun sebahagian besar masyarakat kita mempunyai akses pendidikan tinggi, dalam hal ehwal maklumat dan tanggapan masih mudah dimanipulasikan. Pengaruh propaganda dan perang saraf masih berbekas dan kuat. Sisi jahil tentang tapisan kebenaran masih berleluasa.

Musuh tersembunyi manusia yang paling jahat ialah iblis dan syaitan (disebut dalam kitab suci sebagai musuh yang nyata, 'aduwwummubin, klik di sini). Iblis dan syaitan sentiasa membisikkan perkara dusta dan menghembus hasutan yang menjurus kepada kesesatan dan kebinasaan. Dalam konteks penyebaran berita, iblis dan syaitan mahu melagakan sesama masyarakat supaya berpecah belah dan bermusuhan.

Isu Villa Nabila juga membongkar hakikat betapa warga asing begitu mudah memiliki sebidang hartanah yang agak luas di kawasan peranginan tempatan yang strategik. Dengan nilai mata wang yang lebih tinggi, kuasa beli rakyat negara jiran menjadi punca harga rumah melambung tinggi walaupun mereka dikenakan sekatan bayaran levi yang tinggi. Selain di negara kita, warga Singapura telah membeli begitu banyak hartanah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan Kanada.

Akhirnya, marilah kita menghulurkan perasaan empati terhadap remaja kelainan upaya seperti Izat. Keluarga Pak Husin dan Puan Norhayati begitu tabah menempuh dugaan menjaga insan istimewa dalam kalangan keluarga mereka. Keperluan terhadap pendidikan khas bagi golongan istimewa, sama ada bermasalah pembelajaran, kurang upaya atau pintar luar biasa bukan lagi suatu pilihan ...

Wednesday, November 20, 2013

HAD USIA KENDERAAN 12 TAHUN DIBATALKAN (TESTING IDEAS?)

Meskipun niat sesuatu perubahan itu menjurus kepada kebaikan, tetapi proses pelaksanaannya perlu bijaksana dan halus. Pelaksanaan secara mendadak atau tergesa-gesa akan hanya mengundang resah gelisah, krisis dan kerosakan status quo yang berat. Kesediaan untuk menerima pembaharuan sangat dipengaruhi oleh keperluan yang tepat, keupayaan masyarakat dan keadilan yang tuntas.

Maksudnya, jika dasar pelupusan kenderaan yang mencapai usia 12 tahun hendak dikuatkuasakan, pertimbangan terhadap perniagaan kenderaan terpakai, kuasa beli dan pendapatan boleh guna isi rumah, serta struktur cukai automatif mesti diambil kira. Nisbah hutang terhadap pendapatan bulanan isi rumah di Malaysia sudah sangat tinggi sehingga mencecah 60 peratus. Harga kenderaan di negara kita relatif mahal justeru pembeli harus menanggung pelbagai bayaran dan cukai, serta bayaran khidmat hutang secara ansuran.

...

...

...

...

...

...

...

...

Tuesday, November 19, 2013

KEMASUKAN SBP, MRSM, SMKA: IBU BAPA YANG TERUJA, ANAK BUAT SELAMBA (ENTHUSIASISM ABOUT THE LEARNING CHOICE)

Dengan pengecualian kepada sekumpulan kecil murid dan pelajar, kebanyakan budak sekarang seperti tidak kisah tentang bidang pengajian dan kerjaya yang bakal diceburi. Mereka tidak peduli terhadap hakikat persaingan sengit dalam kalangan rakan sebaya yang mencecah angka jutaan orang. Setiap peperiksaan awam bermula dengan UPSR, PMR, SPM dan STPM membabitkan puluhan dan ratusan ribu orang calon setiap tahun.

Sama ada ibu bapa yang terkongkong dengan kerangka pemikiran lama (the old school) atau anak-anak yang tidak ambil kisah, kita serahkan kepada bijak pandai untuk melaksanakan penyelidikan skala besar. Perkara yang jelas ialah setiap kali permohonan kemasukan ke sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, sekolah kawalan negeri, rancangan khas dan yang seumpamanya, ibu bapa yang lebih sibuk mencari maklumat di laman sesawang dan mengumpul dokumen yang berkaitan. Anak pula hanya menunggu untuk menurunkan tandatangan pada borang permohonan itu.

Seorang profesor pendidikan pernah bercerita betapa anaknya sendiri tidak berusaha untuk mengisi borang kemasukan ke universiti dan langsung tidak memberi kredit atas status bapanya itu. Lebih kurang si anak mengungkapkan: di universiti memang bapa profesor, tetapi di rumah tiada apa-apa! Kalau digesa lebih-lebih, si anak akan hanya menduga kesabaran si bapa dengan soalan provokatif: mengapakah saya dilahirkan ke dunia ini?

Barangkali model piramid susun lapis masyarakat yang meletakkan hanya lima peratus golongan pemimpin, 90 peratus golongan awam dan baki lima peratus lagi golongan bertingkah laku lencongan juga sesuai untuk menghuraikan isu anak-anak yang tidak kisah. Majoriti anak umpama 90 peratus orang awam yang bergantung kepada pengaruh persekitaran. Mereka tidak mempunyai kekuatan yang ampuh bagi menetapkan hala tuju yang jelas dalam perjalanan pembelajaran dan bidang mencari rezeki yang bakal ditempuhi.

Maka, hendak tidak hendak, ibu bapa terpaksa berkorban dan bersaing dengan ibu bapa yang lain supaya anak yang dikasihi tidak ketinggalan dalam proses merebut peluang pembelajaran dan laluan kerjaya yang terbaik. Anak mungkin tidak bersedia untuk berpisah dengan segala keselesaan di rumah dan persekitaran bandar yang canggih untuk menghuni kamar asrama yang harus dikongsi secara beramai-ramai. Keseronokan yang bersifat jangka pendek dan di depan mata lebih menangkap imaginasi mereka daripada memilih untuk berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Sebagai insan yang lebih dewasa dan matang, ibu bapa tidak seyogia berasa kecewa dengan sikap anak-anak zaman sekarang. Ibu bapa perlu menggunakan segala hikmah dan kebijaksanaan bagi memupuk kesedaran kendiri yang utuh dalam jiwa anak-anak mereka perihal pentingnya bekalan ilmu dalam mengharungi kehidupan hari muka yang penuh pancaroba. Jika guru kaunseling berdaftar pun pening kepala untuk memikirkan kaedah terapeutik terbaik untuk membimbing klien meneroka potensi diri dan melakukan muhasabah, maka ibu bapa sudah tentu lebih berat lagi keadaannya.

Kisah Nabi Nuh yang berharap anak dan isterinya ikut serta dalam bahtera penyelamat patut menjadi iktibar kepada semua ibu bapa yang meletakkan jangkaan yang sangat tinggi kepada anak masing-masing. Sebaliknya, terdapat banyak juga anak yang lebih cerdas dan pintar daripada ibu bapa sepertimana yang terungkap dalam catatan sejarah dan kitab suci. Maka, ibu bapa perlu mengimbangi impian mereka sendiri dengan dunia anak mereka yang sudah berbeza zaman supaya ikatan kasih sayang yang dibina atas dasar iman dan taqwa dapat disuburkan secara berterusan.

Peranan ibu bapa ialah membimbing anak membuat keputusan yang betul dalam hal ehwal kehidupan yang kritikal, terutama proses pembelajaran dan mencari rezeki yang berkat lagi halal. Proses pertumbuhan jasmani dan akal anak menjadikan mereka mengurangkan pergantungan kepada ibu bapa, sebaliknya meningkatkan autonomi dalam proses membuat keputusan. Mereka melihat ibu bapa sebagai masa silam dan sejarah, sedangkan rakan sebaya sebagai masa hadapan dan impian.

Berbalik kepada isu kemasukan ke sekolah pilihan bagi lepasan UPSR. Di samping memberi ruang kebebasan untuk anak membuat pilihan, sebagai pemimpin, ibu bapa perlu menunjuk jalan dan mempengaruhi anak supaya tetap berada pada landasan kecemerlangan. Hakikatnya anak seperti tidak kisah, tetapi mahu pendirian mereka dihormati.

Kesimpulannya, jika anak-anak buat selamba terhadap pilihan laluan pembelajaran dan mencari rezeki, ibu bapa perlu bertindak lebih pantas. Sementara itu, ibu bapa hendaklah terus berdoa supaya akan segera berputik kesedaran dan kesungguhan dalam diri anak mereka terhadap tanggungjawab insan yang mukalaf. Biarlah nampak seperti kalah dahulu, asal sahaja tidak dipersalahkan pada belakang hari sebagaimana nenek moyang kita yang terlepas sekian banyak kekayaan yang sepatutnya diwariskan kepada generasi kemudian, justeru alpa terhadap jerat yang dipasang oleh orang asing ...

Monday, November 18, 2013

HASHIM YAACOB MESTIKA EMBUN INSAN SERIBU DAYA (UNIQUE BIOGRAPHICAL OF AN INTELLECTUAL LEADER)

Ketika singgah di Pekanbuku, Universiti Malaya (UM) petang semalam, terdapat sebuah buku baharu yang dipamerkan di rak paling hadapan pintu masuk kedai buku berkenaan. Kulit hadapan buku memaparkan wajah Hashim Yaacob, mantan naib canselor (ke-8) UM. Judul buku ialah 'Hashim Yaacob Mestika Embun Insan Seribu Daya.

Kulit belakang naskhah biografi tokoh terbitan Utusan Publications itu memetik pandangan empat orang kenamaan terhadap kebolehan istimewa Hashim Yaacob, profesor pembedahan pergigian dan penggiat seni budaya Melayu yang sangat disegani. Bahagian utama buku mengandungi 450 halaman, manakala bahagian pengenalan merangkumi 17 muka surat. Harga buku RM72.00 memang berbaloi kerana cetakan menggunakan kertas bermutu tinggi, sambil dimasukkan begitu banyak gambar berwarna.

...

...

...

...

...

...

...

...

Sunday, November 17, 2013

SEPETANG DI TERATAK MALAYA, JANDA BAIK (SUMMER CAMP HOLIDAY)

Terletak bersebelahan dengan stadium akademi bola sepak Frenz United, resort yang diberi nama Teratak Malaya menjadi tumpuan para penganjur program kem bina semangat dan motivasi. malah, pihak Telaga Biru, penerbit majalah Solusi yang diketuai oleh Ustaz Dr. Zahazan juga memilih Teratak Malaya sebagai tapak kem cuti sekolah Tahfiz Madani dan Super Aulad. Pengurus Teratak Malaya, Encik Kamarul memberitahu bahawa keluasan kawasan resort ialah 7 ekar dan jumlah pekerja pula ialah 15 orang.
Teratak Malaya ialah salah sebuah resort yang terdapat di kampung Janda baik dalam pentadbiran daerah Bentong. Jalan masuk ke sana ialah melalui susur keluar Genting Sempah sejauh kira-kira 15 kilometer. Walaupun laluan harus menempuh pendakian yang sedikit berliku di lereng gunung, namun kedaan tidaklah berbahaya kecuali beberapa runtuhan tanah kecil berhampiran gaung dan tanah tinggi yang diceroboh oleh pekebun sayur keturunan Cina.
Teratak Malaya lebih mirip sebuah kawasan rumah kampung yang mempunyai latar belakang tumbuhan menghijau dan anak sungai yang mendamaikan jiwa. Sejajar dengan sasaran perniagaan untuk menarik penyewa dalam kalangan penganjur acara kem dan percutian, reka bentuk resort dilengkapi dengan kemudahan dewan besar dan mini, padang dan laluan trek. Sebelum kem anjuran Telaga Biru, penganjur kem dari UiTM dan majlis Daerah Bentong baharu usai angkat kaki.

Tidak lama lagi, sekumpulan warga emas pula akan berhimpun di Teratak Malaya. Mereka memilih untuk menghuni kamar secara berkongsi (dorm) berbanding dengan chalet yang ditawarkan. Boleh dikatakan jadual tempahan program kem di Teratak Malaya agak padat, terutama pada musim cuti dan hujung minggu.
Di samping menerima tempahan program berkumpulan seperti kem dan kursus, pihak Teratak Malaya juga mengalu-alukan tempahan perseorangan dan keluarga untuk tujuan penginapan biasa. Chalet biasa yang tidak menyediakan televisyen dan peti ais dikenakan kadar sewa sebanyak RM150.00.

Dengan kedudukan pada aras ketinggian (altitud) 1,800 meter, keadaan di Janda Baik agak dingin. Kemudahan alat pendingin hawa dan kipas angin bukanlah peralatan kritikal, melainkan untuk menghalau nyamuk yang berbuat bising di kuping telinga. Kesunyian malam dihiasi dengan bunyi cengkerik dan unggas kampung yang lain.

Chalet yang dilengkapi dengan kemudahan televisyen saluran Astro dikenakan sewa penginapan antara RM180.00 hingga RM250.00. Penyewa masih boleh melakukan tawar-menawar harga dengan pengurusan resort dan melanjutkan tempoh penginapan tanpa bayaran tambahan. Bagi kaki pancing, mereka boleh membawa kelengkapan memancing dari rumah, justeru pelbagai jenis ikan darat terdapat di sekitar Teratak Malaya. 

Pihak Teratak Malaya tidak menyediakan kafe dan restoran, tetapi penghuni hanya perlu memandu kenderaan dalam tempoh tidak sampai lima minit untuk menikmati makanan di kedai makan berdekatan. Jika sanggup bersenam dan mendaki, terdapat jalan singkat untuk ke sana. Kedai runcit dan pasar mini juga dibuka hingga pukul 10 malam.
Resort persendirian milik bumiputera Islam seperti Teratak Malaya wajar mendapat sokongan padu daripada pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkuasa tempatan. Pengusaha resort perlu meningkatkan kecekapan pengurusan dan melaksanakan idea-idea yang diperbaharui supaya tidak semata-mata kekal di takuk lama. Walaupun bersaing untuk merebut pelanggan, usahawan resort bumiputera Islam perlu bergabung dalam sebuah organisasi yang kuat supaya konsep tolong-menolong (taawun) bagi memperoleh barakah dalam bidang perniagaan.

Pengalaman sehari semalam di Teratak Malaya boleh dikatakan sebagai menariklah juga. Peserta program dan kursus yang sempat ditemui telah memberikan maklum balas yang memberangsangkan walaupun mereka mengharapkan akan ada usaha penambahbaikan secara berterusan. Syabas diucapkan kepada pemilik Teratak Malaya yang egitu peka terhadap cita rasa dan saranan pelanggan ...

Wednesday, November 13, 2013

KEPUTUSAN UPSR PAGI INI (ROAD TO SUCCESS)

Debaran hampir setengah juta calon (478,848 orang) Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bakal berakhir kira-kira pukul 10 pagi ini apabila keputusan peperiksaan berkenaan diumumkan. Perasaan yang sama dikongsi oleh keluarga masing-masing, serta seluruh warga sekolah. Selain datang sendiri mengambil slip keputusan ke sekolah, calon juga boleh mengetahui keputusan masing-masing menerusi mesej pesanan ringkas 15888 mulai masa yang sama.

Analisis keputusan UPSR yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan bahawa sejumlah 42,646 orang calon mencatat semua A dalam peperiksaan berkenaan. Daripada jumlah itu, 25,685 ialah calon kawasan bandar, manakala selebihnya (16,960 orang) calon luar bandar. Pencapaian calon UPSR 2013 merupakan prestasi terbaik dalam tempoh empat tahun (klik di sini dan di sini).

Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh (SKSA) yang berstatus sekolah kluster kecemerlangan berbangga dengan 31 orang calon semua A, berbanding dengan 24 orang pada tahun sebelumnya. SKSA berjaya mengatasi SK Sungai Rokam, SK Rapat Setia dan SK Raja Perempuan. SKSA hanya ketinggalan sedikit sahaja di belakang kedudukan rangkaian sekolah Convent.

...

...

...

...

...

...

...

Tuesday, November 12, 2013

PERANCANGAN TUGAS PERSEKOLAHAN 2014 (MEASURE TWICE, CUT ONCE)

Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal. Si jaguh datang dengan perancangan, si corot datang dengan alasan. (Pihak) yang batil dengan perancangan dapat mengalahkan (pihak) yang benar tanpa perancangan.

Demikian antara maksim tentang kepentingan proses merancang dalam kehidupan insan sama ada sebagai individu, masyarakat, organisasi, pemimpin dan negara. Falsafah tukang kayu mengatakan bahawa ukur dua kali, potong sekali sahaja. Peribahasa Melayu juga mengungkapkan kebijaksanaan perancangan, iaitu ukur baju di badan sendiri; jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga; jika memandang bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi, dan banyak lagi.

Sekolah sebagai organisasi yang mempupuk pembelajaran sudah pasti meletakkan proses perancangan sebagai keutamaan kritikal dan teratas. Sering disebut bahawa perancangan mewakili 80 peratus komponen kejayaan. Teori pengurusan klasik yang begitu dikenali dengan singkatan POSdCorb telah dipopularkan oleh Luther Gulick dan Lyndall Urwick, 1937 (klik di sini) meletakkan perancangan sebagai komponen pertama.

Jumlah minimum hari persekolahan di Malaysia ialah 190 hari, termasuk kelayakan cuti peristiwa sebanyak empat hari yang tidak perlu diganti. Jumlah minggu persekolahan pula ialah 42 minggu, termasuk peperiksaan awam yang dijalankan dalam musim persekolahan. Pihak sekolah juga perlu mengambil kira peristiwa luar jangka (ad-hoc) yang mungkin menjejaskan pelaksanaan dasar melindungi masa instruksional murid (MMIM), iaitu mengoptimumkan keberadaan guru di sekolah.

Salah satu dokumen tatacara rasmi operasi sekolah (SOP) ialah manual takwim persekolahan dan direktori pengurusan yang memperinci agihan tugas guru dan tarikh yang perlu dipatuhi. Antara dokumen rujukan penting dalam merancang tugas persekolahan sesuatu tahun ialah kalendar lengkap, senarai cuti kelepasan am persekutuan, cuti negeri dan cuti peristiwa sekolah (klik di sini dan di sini). Pelaksanaan aktiviti kurikulum di bilik darjah juga mesti akur dengan keputusan mesyuarat jawatankuasa kurikulum yang dianggotai oleh pentadbiran sekolah dan semua ketua panitia yang mengambil kira peruntukan hari ujian dan peperiksaan dalaman. 

Mesyuarat guru dan mesyuarat teragih (dalam kumpulan yang lebih kecil) perlu diatur dengan cekap supaya sentiasa bersifat adil dan produktif. Maksudnya, pelaksanaan mesyuarat dibuat secara profesional dan terancang sehingga tidak berlaku pembaziran masa dan tenaga yang meningkatkan bacaan meter tekanan dalam kalangan ahli mesyuarat. Tujuan mesyuarat ialah untuk memenangi kerjasama dan sokongan demi menjayakan sesuatu projek, program dan sistem yang dikehendaki.

...

...

...

...

...

...

Monday, November 11, 2013

SOALAN HANGAT TEORI PENGELUARAN, STRUKTUR PASARAN (WRITING THE ECONOMICS ESSAY ACCORDINGLY)

SMK ST. MICHAEL, IPOH, LA1:
 SOALAN PERSEDIAAN AKHIR STPM
EKONOMI 1 @  BAB 3, 4 (12112013)


1
(a)  Jelaskan maksud keluaran purata dan keluaran sut.
[4 markah]

(b)  Dengan bantuan gambar rajah, terangkan hubungan antara jumlah keluaran,
       keluaran purata dan keluaran sut.

[6 markah]



2
(a)  Bezakan kos eksplisit dengan kos implisit.
(b)  Jelaskan hubungan antara kos purata, kos berubah purata dan kos sut.
[4 markah]
[6 markah]



3
(a)  Berikan maksud kos pengeluaran jangka panjang.
(b)  Jelaskan perkaitan antara keluk kos purata jangka panjang
       dengan keluk kos purata jangka pendek.
[2 markah]

[8 markah]



4
Titik penentuan tutup firma persaingan sempurna berlaku apabila jumlah hasil hanya dapat menampung kos berubah.

Huraikan pernyataan di atas dengan bantuan gambar rajah.



[10 markah]



5
Terangkan empat faktor yang boleh mewujudkan monopoli.
[10 markah]



6
(a)  Mengapakah firma monopoli beroleh untung lebih normal
       dalam jangka panjang?

[2 markah]

(b)  Bandingkan penyesuaian keseimbangan firma monopoli
       dalam jangka panjang.
[8 markah]



7
Bandingkan pasaran monopoli dengan pasaran persaingan sempurna berdasarkan
(a)  syarat keseimbangan
(b)  harga dan kuantiti
(c)   untung
(d)  lebihan pengguna dan lebihan pengeluar
(e)  kecekapan pengeluaran dan kecekapan peruntukan sumber





[10 markah]



8
Terangkan kawalan monopoli menerusi dasar:
(a)  optimum sosial
(b)  pulangan adil

[5 markah]
[5 markah]






9
(a)  Berikan takrif monopoli semula jadi.
[2 markah]

(b)  Bagaimanakah tingkat harga dan keluaran seimbang monopoli semula jadi
       ditentukan?

[8 markah]


©  Azhar bin Mohd Rodzi, SmEkon (UKM), Dip.Ed(UIAM), M.Ed(Distinction)(Malaya)

Sunday, November 10, 2013

ANCAMAN JENAYAH KEKERASAN MENJADI-JADI? (THE CHALLENGE OF PUBLIC SAFETY)

Kes terbaharu yang meragut nyawa pegawai tinggi penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang petang Ahad (10/11/13) tadi sekali lagi menggemparkan masyarakat. Kebetulan, pihak polis memaklumkan bahawa suspek pembunuhan pegawai Ambank sudah berjaya diberkas di Johor, diikuti dengan perintah tahanan reman selama seminggu. Tindakan nekad penjenayah belakangan ini mengundang kebimbangan yang serius dalam kalangan orang ramai betapa nyawa mangsa jenayah seperti tidak mempunyai sebarang nilai.

Teori jenayah menyebut bahawa tiga unsur asas yang mendorong perlakuan jenayah, iaitu niat, mangsa dan peluang. Niat penjenayah mungkin sahaja untuk membalas dendam peribadi, melaksanakan tugas pembunuh upahan atau untuk menghapuskan saksi mata. Penjenayah sudah menjalani indoktrinasi untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang paling buruk, termasuk hilang nyawa.

Mangsa yang dikenal pasti akan diperhatikan dari segi pergerakan dan rutin harian mereka. Berdasarkan jadual mangsa yang dilihat, penjenayah akan mengatur rencana jahat mereka. Modus operandi kumpulan penjenayah memang sangat licik untuk dikesan secara pandangan mata kasar.

Peluang untuk melaksanakan rancangan jenayah terbuka kerana mangsa tidak menyedari niat penjenayah, terdedah kepada kecuaian atau diperangkap dengan cara yang tidak disangka-sangka. Penjenayah mencipta peluang untuk mencapai tujuan jahat mereka dengan pelbagai pelan luar jangka. Jika pihak keselamatan mempunyai pasukan risikan dan pemberi maklumat, maka demikian juga dengan kumpulan penjenayah.

Ancaman jenayah senjata api sukar dibendung secara konvensional justeru proses pembuatan senjata api boleh dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk secara atas talian. Kumpulan penjenayah juga menggunakan komunikasi maya atas talian dengan menggunakan kod sekatan capaian yang tertentu. Kegiatan jenayah dadah di Colombia sebagai contoh, telah memanipulasikan golongan miskin sebagai penyokong dan benteng manusia bagi mengelakkan dalang jenayah sebenar ditangkap.

Kini, pakar pengajian jenayah (kriminologi) perlu membuka dimensi baharu dalam konsep perlakuan jenayah, mengenal pasti langkah pencegahan paling berkesan berasaskan teknologi semasa dan amalan perundangan yang benar-benar menggerunkan penjenayah.

...

...

...

...

...