Saturday, December 31, 2022

MUHASABAH DIRI DI AMBANG 2023 MASIHI (NEW YEAR DEAL & HOPE)

Alhamdulillah, bersyukur kita ke Hadrat Ilahi justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya kita masih memiliki kesempatan masa dan rezeki di dunia fana ini. Betapa sebentar kita bermusafir menuju pengakhiran, namun lebih ramai yang baru bermula mengorak langkah. Sentiasa kita berdoa agar segala urusan dipermudah, serta beroleh kejayaan yang dihasratkan. Amin

Takwim hijrah pun sudah menginjak tanggal 7 Jamadil Awal 1444, iatu sudah masuk bulan ke-5. Hanya tiga bulan menanti kemunculan semula Ramadan ak-Mubarak. Semoga Allah mengurniakan kita umur dan kesihatan untuk kesekian kalinya bagi merebut tawaran amal soleh sepanjang bulan yang berkat itu. 

Hakikatnya setiap waktu keberkesanan madrasah ramadan saban tahun sebelum ini harus menjadikan kita insan yang bertambah baik hari demi hari. Sifat mahmudah (terpuji) diperkukuh, manakala sifat mazmummah (tercela) dihindari. Maka, azam tahun baharu masihi 2023 pun mengambil semangat yang sama.

Lazimnya, penanda aras pencapaian mengenal pasti ralat antara sasaran yang ditetapkan dengan skor sebenar. Analisis SWOT organisasi juga boleh digunakan untuk individu. Bak kata pakar motivasi (Allahyarham Prof Izudin Ali), cermin diri dan renung selamat beramal ...

Kebetulan berada di Bandar Baru Bangi, malam hadir program munajat tahun baru 2023 bersama perdana menteri, tpm, menteri kabinet dan jemaah Masjid Putra. Kehadiran ramai menyebankan oetak parkir penuh. Pertama kali perutusan tahan baru dari masjid.

Alhamdulillah, masuk pukul 12.00 tengah malam. Di Bangi kedengaran letupan mercunmenyambut ketibasn 2023. Harap tidak tersasul masih menulis tarikh 2022.

SELAMAT TAHUN BARU 2023. 

Semoga kita sentiasaa dirahmati Allah. amin ...

Monday, December 26, 2022

ANWAR IBRAHIM PM10 (CLEAR MANDATE TO LEAD THE COUNTRY)

Tanggal 24 November 2022 mencatat lembaran baharu sejarah tanah air apabila akhirnya sosok hebat yang menerajui Pakatan Harapan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Tiada gabungan politik mencatat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan usai pilihan raya umum ke-15 pada 19 November 2022. Buat julung kali berlaku kemelut parlimen tergantung.

Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan DYMM Yang Dipertuan Agung, as-Sultan Abdullah, yang menitahkan penubuhan kerajaan perpaduan. Kecuali keengganan Perikatan Nasional (PN) untuk turut serta, Pakatan Harapan yang beroleh kerusi terbanyak (82) bersama Barisan Nasional (30), GRS, GPS, dan parti kecil lain, serta bebas bersetuju untuk bersama-sama membentuk majoriti utuh 2/3 dengan 148 kerusi. PN (gabungan Pas dan Bersatu, 74 kerusi) terpaksa menerima hakikat sebagai blok pembangkang meskipun gelombang hijau begitu kuat hingga menyapu bersih kerusi parlimen di Kelantan, Terengganu dan Perlis. 

PN yang diketuai mantan PM8, Mahiadin Yasin, dalang Langkah Sheraton bersama Haji Abdul Hadi Awang, terlebih dahulu mendakwa telah cukup jumlah. Malah, mereka mendahului keputusan rasmi apabila mengadakan sidang media dini hari, iaitu pukul 3 pagi. Keyakinan itu disandarkan kepada sokongan blok Borneo dan akuan bersumpah (SD) 10 ahli parlimen BN.

Namun, istana tidak menerima SD individu yang menyalahi keputusan (presiden) parti. BN yang pada mulanya mahu berkecuali berubah pendirian setelah dipanggil menghadap. GRS dan GPS juga membatalkan sokongan terhadap PN, bermaksud menyertai kerajaan perpaduan.

Konspirasi Tun Mahathir, PM4 dan PM7 untuk berterusan menyekat Anwar selamat 24 tahun kecundang. Malah, beliau sendiri diaibkan oleh pengundi Langkawi apabila tewas teruk sehingga hilang deposit. Dengan usia menghampiri 100 tahun, Tun Mahathir masih cuba meninggalkan legasi (anak beliau) dalam saf kepimpinan politik arus perdana, tetapi tidak kesampaian.

Anwar mula menonjolkan bakat, serta potensi kepimpinan sejak di bangku sekolah, terutama semasa di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Kemudian, menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Melayu. Menyerlah sebagai Presiden Persatuan Bahasa Melayu UM, memperjuangkan nasib golongan kurang beruntung, contohnya menerusi demonstrasi Baling.

Ekoran itu, beliau ditahan (tanpa bicara) di Kamunting di bawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA) selama dua tahun. Anwar (bersama rakan) menubuhkan Yayasan Anda Akademik di Pantai Baru berdekatan UM sebagai usaha membantu pelajar kurang berkemampuan ke arah laluan pengajian tinggi. Sambil berperanan sebagai guru, Anwar menyambung pengajian ijazah tinggi (sarjana persuratan melayu) secara separuh masa di UKM. 

Anwar dilantik sebagai Presiden Angkatan Belia Islam (Abim) kedua sehingga pertubuhan itu sinonim dengan gelaran jurubicara umat. Antara timbalan beliau ialah Allahyarham Fadil Noor yang kemudiannya menjadi Presiden Pas.  Demikian juga Allahyarham Profesor Dr Siddiq Fadhil, ayahanda Menteri Pendidikan kerajaan perpaduan.

Anwar menyertai Umno pada tahun 1982 dan merampas kerusi parlimen Permatang Pauh, kubu kuat Pas sekian lama. Beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kabinet Tun Mahathir.  Antara kejayaan beliau ialah penubuhan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM). 

Kemudian dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Di situ, Anwar mengilhamkan Sukan Malaysia (Sukma). Seterusnya sebagai Menteri Pertanian dengan idea pasar tani bagi melepaskan cengkaman orang tengah yang memanipulasi pengeluar kecil seperti petani dan nelayan. 

Jawatan kanan jemaah menteri ialah di Kementerian Pendidikan. Anwar memperkenalkan falsafah pendidikan kebangsaan dan konsep bersepadu dalam pendidikan. Zaman murid lelaki berseluar pendek dan murid perempuan berskirt diganti dengan seluar panjang, serta baju kurung dan bertudung.

Dalam hierarki Umno, Anwar melonjak daripada kedudukan ketua pemuda kepada naib presiden dan seterusnya timbalan presiden. Rentetan itu, Anwar dilantik selaku timbalan perdana menteri, merangkap menteri kewangan. Antara kejayaan utama Anwar ialah belanjawan lebihan yang disifatkan sebagai era keemasan pertumbuhan ekonomi negara selain memperkenalkan RM bagi menggantikan $.

Anwar membayar harga yang tinggi kerana ketegasan beliau menentang rasuah. Beliau dipecat daripada semua jawatan parti dan kerajaan pada 2 September 1998 atas komplot tuduhan liwat dan salah guna kuasa. Anwar ditahan ala gestapo dan disumbat ke dalam penjara tanpa ikat jamin, seolah-olah penjenayah yang sangat berbahaya.

Anwar disabitkan kesalahan dalam suatu perbicaraan yang sangat kontroversi. Penulis buku 50 dalil mengapa anwar tidak boleh jadi pm, hakim bicara, serta pendakwa (peguam negara), serta beberapa orang konspirator tidak lama kemudian meninggal dunia. Setelah mendekam di sebalik tirai besi selama 2/3 tempoh hukuman, Anwar kembali ke parlimen pada zaman PM5, Pak Lah.

Meskipun Pak Lah pernah melabelkan Anwar ancaman keselamatan negara, Anwar tidak diapa-apakan. Hanya ketika era PM6, Najib sekali lagi Anwar ke penjara (hukuman 9 tahun) dalam konspirasi liwat 2. Pakatan Harapan memenangi PRU 14 membolehkan proses pengampunan Anwar oleh YDPA ketika itu, Sultan Kelantan.

Sejak dipecat dan dipenjarakan, penyokong tegar Anwar memulakan gelombang reformarsi. Walaupun berlaku turun naik dan penyokong berpaling tanah, ketentuan Ilahi menghendaki semua seteru Anwar akhirnya berputih mata. Percubaan 'jahat' Tun Mahathir yang kemudian disambung oleh pakatan Pas & Bersatu juga gagal ...