Alhamdulillah, calon bimbingan spm 2024 yang lalu menepati sasaran beroleh gred tertinggi menerusi keputusan yang diumumkan semalam. Pengalaman pertama di teknik brash (kini kolej vokasional), 90 peratus calon ekonomi asas mencatat gred A. Memang jika baca buku teks, laras ayat ekonomi kelihatan sangat abstrak dan langsung tidak menarik.
Hakikatnya, mata pelajaran ekonomi paling dekat dengan kegiatan harian murid, serta sudah membentuk pengetahuan sedia ada mereka. Cuma sejumlah peristiwa dan tingkah laku manusia disebut dalam ringkasan fenomena yang saling berkait. Maka, tugas kritikal guru ekonomi ialah memanfaatkan segala pengalaman kontekstual murid dalam proses pembelajaran dengan aplikasi pedagogi yang paling menarik.
Sesuai dengan anggapan awam bahawa ekonomi bermaksud jimat cermat, murid ekonomi dibimbing untuk menjelaskan sesuatu peristiwa atau tingkah laku dengan konsep dan prinsip yang ringkas tetapi tuntas. Sembang kedai kopi atau tepi jalan tentang sesuatu isu mungkin memakan masa berhari-hari, namun hanya memerlukan dua tiga patah perkataan dalam ilmu ekonomi. Bagi keadaan tertentu, murid mungkin terpaksa menghafal sahaja dahulu dengan medium muzik, mnemonik atau analogi ...