Monday, March 31, 2025

CORAT CORET 1 SYAWAL 1446 H (SIGNIFICANT FESTIVE SEASON IN MALAYSIA)

Berlalu sudah bulan Ramadan, suatu perjalanan jasmani dan rohani sebagai madrasah memupuk amal soleh menuju taqwa. Alhamdulillah, tiba hari kemenangan mengekang hawa nafsu yang cenderung ke arah kelazatan duniawi yang bersifat sementara. Kini, ujian istiqamah terhadap amalan terbaik kehidupan kembali mengambil tempat setelah lulus mod latihan yang berteraskan disiplin dan keikhlasan yang tuntas.

Di Malaysia amalan saling menziarahi jiran tetangga dan sanak saudara memang sudah sinonim dengan musim raya. Masing-masing mengenakan persalinan pakaian tercantik yang ada pada hari pertama sebelum bertukar kepada gaya santai harian selepas tengah hari. Dalam era digital kini, kesempatan berkumpul terus dirakam dan dikongsi dalam pelbagai aplikasi media sosial.

Amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak dan warga emas masih dapat dilihat tetapi langsung tidak membabitkan duit syiling. Penggunaan duit syiling semakin terhad disebabkan galakan pembayaran secara imbasan kod qr, dompet elektronik dan pindahan akaun. Lama-kelamaan, kita tidak akan memegang wang tunai penuh untuk pendapatan melainkan pergerakan angka RM dalam butiran perbankan menerusi telefon pintar masing-masing ...

Tuesday, March 18, 2025

AMALAN MULIA MADRASAH RAMADAN KARIM (CHASING THE MOST SACRED NIGHT)

Alhamdulillah, bersyukur ke Hadrat Ilahi justeru diberi kesempatan memasuki separuh kedua bulan Ramadan 1446 Hijriyyah dengan hasrat bertemu lailatul qadr, malam kemuliaan yang lebih baik daripada seribu bulan, atau 83 tahun. Berdasarkan saranan ulama muktabar, tumpuan terarah kepada 10 malam terakhir, khususnya malam ganjil. Minimum amalan terbaik ialah mendirikan solat isyak dan subuh secara berjemaah pada malam tersebut

(https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1811-lailatulqadar)

Bulan puasa ialah suatu proses penyucian jiwa, iaitu tazkiyyah an-nafs, membina kekuatan rohani agar terbiasa dengan amalan terpuji dan menjauhi perbuatan tercela. Kebaikan yang dilakukan umpamanya memberi makan orang berpuasa, iaitu bersedekah, kemudian menjadi sebati dan istiqamah sepanjang kehidupan yang masih berbaki. Matlamat menuju kejayaan (al-falah) dan meninggalkan perkara sia-sia lagi merugikan (al-khusran) menjadi ketetapan setiap masa.

Kitab suci al-Quran bukan sekadar lantunan bacaan, tetapi disusuli tadabbur, lalu diinstitusikan dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan umat. Kecemerlangan generasi al-Quran yang unik, iaitu pada zaman awal para sahabat, sebagai bukti sejarah penanda aras umat terbaik rujukan. Semoga kita beroleh kesempatan bertemu lailatul qadr bagi menikmati perubahan yang unggul ke arah kemenangan, rahmat dan taqwa.


اللهم امين  يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ