Itulah contengan atau grafiti yang saya masih ingat sewaktu di sekolah rendah. Saya tidak mengerti apa-apa ketika itu. Namun, ia tersimpan kemas bagaikan data dalam pemacu D komputer, tidak padam walau diformat semula. Kini, setelah menjadi orang dewasa, barulah saya agak faham!
Bagi pelajar remaja, sudah pasti bahawa persoalan cinta kepada negara (patriotisme), cinta alam sekitar, cinta kedamaian, dan yang seumpamanya tidak bisa menangkap imaginasi mereka. Itu cinta mat skema, kata mereka. Kalau cinta kasih sayang, baru kami mahu dengar!
Baiklah kalau begitu. Memang dalam karya klasik Melayu misalnya terdapat kisah Uda dan Dara, naskhah Romeo and Juliet dalam sastera Inggeris, dan lain-lain. Bahkan sepasang manusia pertama, Adam dan Hawa juga dikaitkan dengan naluri yang normal, iaitu keinginan untuk hidup berpasang-pasangan.
Maka tidak hairanlah bahawa kisah cinta mudah meraih perhatian pelajar remaja. Novel remaja yang dipersembahkan dengan gaya bahasa yang melankolik dan puitis laris di pasaran. Segala imaginasi indah dan bait-bait lara dimanipulasikan dengan bijak sekali oleh sang pengarang.
Seseorang pelajar remaja yang terkena panahan cinta asmaradana akan dibuai perasaan dan khayalan. Maka, apa-apa jua bentuk ancaman terhadap cinta yang berputik akan ditentang habis-habisan. Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan! Kalau ini terjadi, ia sudah masuk dalam fasa bahaya.
Jika bertepuk sebelah tangan alamatlah merana, jika cinta bersambut dikhuatiri akan membibitkan pergaulan bebas. Lalu, apakah jalan penyelesaiannya? Facebook? e-mel? friendster? sms? mms? kaunseling? solat istikharah?
Tunggu jawapannya dalam posting akan datang...
** terdapat lagu Inggeris yang menggunakan tajuk contengan (grafiti) berkenaan!
No comments:
Post a Comment