Kebanyakan orang berpendapat bahawa bahasa Melayu mudah dipelajari. Hujah mereka, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang baru tiba ke Malaysia dapat bertutur dalam bahasa Melayu dalam tempoh yang singkat. Maka, sudah tentu ada satu ciri bahasa Melayu yang unik.
Secara mudah, sistem ejaan dan sebutan dalam bahasa Melayu berdasarkan prinsip fonemik, iaitu "sebut sebagaimana yang dieja, eja sebagaimana yang disebut, dan tiada huruf yang disenyapkan".
Prinsip fonemik ini jugalah yang menjadi asas bahasa baku yang pernah dipertikaikan oleh kalangan yang tidak sudi merujuk pakar bahasa. Kini, bahasa baku hanya dikhususkan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, sedangkan mata pelajaran lain menggunakan bahasa standard berasaskan sebutan Melayu Johor-Riau.
Prinsip fonemik ini jugalah yang menjadi asas bahasa baku yang pernah dipertikaikan oleh kalangan yang tidak sudi merujuk pakar bahasa. Kini, bahasa baku hanya dikhususkan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, sedangkan mata pelajaran lain menggunakan bahasa standard berasaskan sebutan Melayu Johor-Riau.
Fonem merujuk kepada sebutan setiap aksara, sama ada vokal (a, e, i, o, u) dan konsonan. Apa masalahnya untuk menyebut "ada", bukan "ade"?
Pernahkah anda menyebut ande (untuk anda), bece (untuk beca), bole (untuk bola), pole (untuk pola), tuale (untuk tuala), dan wanite (untuk wanita). Jadi, apa masalahnya? Tambahan pula, penyanyi Malaysia dan Indonesia biasanya mematuhi prinsip fonemik dalam sebutan lirik lagu.
Terdapat juga segelintir orang yang sinis terhadap bahasa tentang beza sebutan bau dengan kerbau. Begitu juga kata mereka, mengapa dia disebut sebagai diya, dan buaya disebut sebagai buwaya? Mengapa bilik disebut sebagai bilek?
Dalam semua hukum dan peraturan semestinya terdapat beberapa pengecualian, termasuklah prinsip fonemik. Antara lain ialah:
1. gelunsuran y dan w sepertimana dalam sebutan dia, bau dan buaya;
2. elemen diftong (gabungan vokal) "au" dalam sebutan kerbau, "ai" (balai), "oi" (berbaloi), "ui" (kelui), dan lain-lain;
3. elemen digraf (gabungan konsonan) "kh" (khas, akhir, tarikh), "ng" (ngaum, bengang, menang), "ny" (nyiru, tanya), "sy" (syurga, kusyuk, skuasy), "gh" (ghazal, baligh), dan lain-lain.
4. penyengauan (sebutan sengau untuk m, n, y, ng,ny): maya, menang, nganga, nyonya.
Selain itu, terdapat prinsip hentian glotis (glotal stop) yang membawa implikasi bahawa perlunya kesederhanaan dalam sebutan.
Bunyi konsonan r dalam perkataan ular perlu dizahirkan dengan jelas, supaya tidak kedengaran seperti ula. Namun, tidak pula perlu dilebih-lebihkan dengan menggetarkan sebutan r secara keterlaluan sehingga berbunyi ularrrrrrrr..
Demikian juga perkataan seperti itik, bilik, cilik, dan licik boleh disederhanakan sedikit supaya lebih dekat dengan sebutan penutur jati bahasa Melayu tempatan sekian lama (seperti dalam kajian sosiolinguistik).
Seterusnya, jika anda berminat untuk membincangkan 18 pola keselarasan vokal dalam sistem ejaan dan sebutan bahasa Melayu, kita akan berbuat demikian dalam tempoh yang terdekat.
Sesungguhnya benarlah pantun bestari bahawa yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Maka, konsep bahasa sebagai pancaran akal budi insan yang dimasyhurkan oleh Profesor Doktor Awang Sariyan, penyandang kerusi pengajian bahasa Melayu di Universiti Beijing hendaklah diperkukuhkan ke seantero dunia!
salam sejahtera...
ReplyDeletehmm...ilmu disampaikan dslam ayat yang bederet-deret...tiada ruang antara ayat menghapuskan keinginan untuk membaca...seakan-akan tiada beza dlm buku tatabhs dewan...
sekadar memberi komen...harap maaf sekiranya menyinggung perasaan cikgu...slmt berpuasa...
salam..
ReplyDeleteterima kasih atas perhatian dan maklum balas saudara.. tiada masalah tentang komen.. lebih banyak teguran lebih baik supaya maksud komunikasi maya (internet) sebegini mencapai matlamatnya.. saya akan mencari jalan untuk mengatasi kelemahan yang disebutkan itu...
selamat berpuasa..
Assalamualaikum,
ReplyDeletebagi saya ilmu yang disampaikan cukup berguna dan saya sebagai pelajar IPG dapat memahami dengan lebih jelas. Justeru, saya harap cikgu dapat menambahkan lagi maklumat yang ada.
Assalamualaikum,
ReplyDeletebagi saya ilmu yang disampaikan cukup berguna dan saya sebagai pelajar IPG dapat memahami dengan lebih jelas. Justeru, saya harap cikgu dapat menambahkan lagi maklumat yang ada.
salam
ReplyDeletekalau boleh harap nyatakan bidang maklumat yang perlu perbincangan lanjutan...
Salam..
ReplyDeleteContohnya pasangan minimal.ini kerana maklumat mengenainya kurang dan jika adapun ianya dlm bahasa Indonesia.
Pasangan minimal (PM) sangat berkaitan dengan teori pemerolehan (pembelajaran) bahasa yang begitu kuat dipengaruhi aliran struktural (Bloomfield). PM bertujuan membuat kontras (diskriminasi) terhadap kemiripan bunyi. Misalnya pola dengan pula, barang dengan parang, garam dengan geram, dan lain-lain.
ReplyDeleteSkema tatacara bunyi yang diperoleh daripada penutur jati ini menekankan pertuturan terlebih dahulu sebelum beralih kepada pembelajaran membaca dan menulis.
Apabila digandingkan dengan aliran transformasi generatif (Noam Chomsky) yang lebih formal, maka muncul disiplin psikolingustik yang mula berpengaruh sejak dekad 1950-an.
Ringkasnya, kajian tentang pasangan minimal juga teraqngkum dalam analisis fonologi, khususnya fonemik.
Wallahu a'lam...
Salam,
ReplyDeletesaya agak kurg faham mgenai pengecualian keselarasan huruf vokal...blh trgkan dgn lebih rgkas & padat x????
Pengecualian keselarasan vokal berlaku terhadap ejaan kata pinjaman atau kata serapan.
ReplyDeleteMisalnya pola a-i, bukan a-e: habis, kacip, banding, agih, pahit, sakit, alih, malim, kancing, khatib, sawit.
Pengecualian: aneh, aneka, kaget, pamer.
Huraian lanjut dalm "posting" khas tidak lama lagi...
salam.saya sedang mendekati bahasa yg berkaitan dgn sebutan baku dan sebutan biasa johor-riau terutamanya dr segi fonologi. harap dapat membantu.
ReplyDeletesalam...
ReplyDeletesdra dots kena beritahu secara khusus perkara yang hendak dikongsi.
saya fikir idea yang dikemukakan pasti membuka jalan kepada wacana bahasa yang lebih autentik...
Assalamualaikum cikgu Azhar, saya ingin mendapat penjelasan untuk membuat assigment saya tentang
ReplyDeletea) perbezaan sebutan baku dengan sebutan johor-riau dari segi fonologi
b) kebaikan dan keburukan sebutan baku bahasa melayu.
Semuga cikgu dapat menolong saya. Terima kasih.
Soalan a) agak teknikal sedikit untuk dijelaskan. secara amnya, sebutan johor-riau boleh dikatakan lebih bersifat kolokial (pengaruh dialek dan slanga), manakala sistem sebutan baku memiliki struktur hukum yang lebih jelas, tekal dan seragam;
ReplyDeleteb) Sebutan baku lebih menjurus kepada wacana rasmi dan sebagai sarana diskusi tahap tinggi. Sebutan baku berupaya menghindarkan kecelaruan sebutan yang timbul akibat perbezaan latar belakang dialek, etnik dan geografi. Sebutan baku dapat menjadi benteng daripada pengaruh sosiolinguistik yang pada asasnya mengalah dan tunduk kepada kebiasaan masyarakat. Hanya bahasa yang memiliki sebutan baku seperti Queen's English mampu diangkat sebagai bahasa ilmu dan bahasa saintifik. Sebutan Johor-Riau bukan tidak baik, tetapi dari segi sejarahnya banyak dipopularkan oleh juruhebah RTM. Mengapa kita harus mengambil model penyiar RTM yang bukan ahli bahasa?
Keburukan sebutan baku? Tiada keburukan sebenarnya. Kalau ada pun ialah kekliruan pengguna bahasa yang tidak khatam ilmu sebutan baku: prinsip dan pengecualian. Penambahbaikan mungkin lebih kepada aspek ejaan, misalnya untuk kata pinjaman bahasa Arab: reda, saleh, zalim. Sistem transliterasi perlu penambahan simbol tertentu...
assalamualaikum cikgu Azhar...ingin penjelasan tentang bahasa baku untuk assignment saya...harap dapat membantu..
ReplyDeletea) maksud sebutan baku
b) mengapakah sebutan baku wajar diamalkan dalam urusan rasmi