Tanggal 29 Mei 2009 (Jumaat) memang dinanti sakan oleh budak-budak sekolah (pengecualian kepada 50 orang pemilik motosikal dalam kalangan pelajar SM Teknik Lebuh Cator Ipoh yang dikhianati semalam, moga mampu bersabar dan tabahkan hati!). Setelah berpenat lelah belajar (ewah, ewah!), cuti 16 hari ini bolehlah balas dendam untuk tidur, menghadap Astro, atau mengemas kini blog. Namun, kewajipan asas seperti solat berjemaah, membaca al-Qur’an, menolong ibu bapa dan mengemas rumah jangan pula dilupakan. Untuk meningkatkan kecergasan fizikal, turunlah bermain di padang atau gelanggang. Jangan hanya asyik memerap hingga pipi naik tembam dan mata kuyu semacam.
Tidak sangka bukan, setengah tahun pertama 2009 sudah menjadi sejarah! Kalau rajin, ambil pen dan senaraikan pencapaian anda dalam tempoh itu. Mungkin proses muhasabah diri (introspektif) sedemikian membantu anda supaya lebih bersemangat untuk menghabiskan cuti panjang kali ini.
Ke mana budak-budak SMK St Michael, Ipoh (SMI) bercuti? Ke Eropah, Australia, China, Indonesia, Jepun, Hong Kong atau Amerika? Mexico? Bukankan pendemik influenza A H1N1 (selesema babi) masih mengganas dan kini menular ke hemisfera selatan? Begitu juga dengan laptospirosis yang menyerang mangsa andai kata lemah pertahanan antibodinya.
Apa kata cuti-cuti Malaysia sahaja? Kita ada produk pelancongan tersohor dunia seperti taman geologi Langkawi, Bandaraya Warisan Melaka dan Pulau Pinang, Serambi Makkah (Kelantan), lokasi skuba di Sipadan, Tioman dan Redang. Atau menaiki keretapi laju Ipoh – Kuala Lumpur sambil menikmati panorama pinggir landasan yang penuh misteri? Singgah di gedung Jakel di Jalan Tuanku Abdul Rahman?
Lupakan dunia buku buat seketika? Mendaftar untuk kursus kepimpinan? Semua pilihan di tangan anda. Asal sahaja ongkosnya mampu dibayar. Dalam pengajian ekonomi disebut bahawa kehendak hanya dapat diubah kepada permintaan (berkesan) menerusi kesanggupan membayar sesuatu barangan (barang dan perkhidmatan) pada tingkat harga, kuantiti, jangka masa dan pasar yang tertentu. Maka, ukurlah baju di badan sendiri.
Apa-apa pun yang kalian lakukan, diucapkan selamat bercuti, jaga diri, jangan lupa diri, banyakkan berbakti, hindari perbuatan keji, dan bla bla bla… Macam pesan mak nenek pulak. apa salahnya, kan? Sekali sekala kita kena diberi peringatan dan amaran. Jika tidak, macam orang yang duduk diam dalam sebuah rumah yang senget. Dia tidak sedar sehinggalah orang yang berada di luar rumah memaklumkan bahaya yang dahsyat itu. Sekali lagi, salam percutian.
Jumpa lagi 15 Jun 2009 (Isnin) di SMI. Layan…
Slm. Mcm mn cara nk mohon untuk mengajar murid tingkatan 6? Sy lulusan ijazah sarjana muda dengan kepujian kaunseling.. Teringin nk ajar subjek pengajian am atau b.m..sy jg dlu pernah bljr tingkatan 6 mendapat result 3.3 pointer, 5 principles...
ReplyDelete