Saturday, May 16, 2009

HARI PERTAMA LA3 BELAJAR EKONOMI

Tanggal 15 Mei 2009 (Jumaat) buat pertama kalinya pelajar LA3 beriteraksi secara langsung dengan guru Ekonomi, mereka, tidak lain tidak bukan, penulis blog inilah. Seperti biasa dalam pertemuan pertama, semua sekali memakai topeng, tunjuk skema, dan serba serbi formal. Keadaan begitu tidak akan bertahan lama, justeru true colours masing-masing, sama ada murid dan guru, tidak boleh disembunyikan dalam tempoh yang lama.

Untuk memecahkan perisai pertahanan (helah bela diri, defence mechanism), rasa curiga, dan terlalu berhati-hati, guru memilih pendekatan pecah ais (ice-breaking). Tiga aktiviti dijayakan, iaitu nombor ajaib, petak segi empat sama tersembunyi, dan rantai nama. Berdasarkan penglibatan pelajar, beberapa kesimpulan telah dibuat, dan dikaitkan dengan pemupukan kemahiran generik pembelajaran aras tinggi. Tahap kenyaringan suara pelajar, perasaan dan perhatian pelajar juga dapat diukur menerusi tanggapan pertama (first impression).

Aktiviti nombor ajaib telah menunjukkan bahawa perbezaan cara, latar belakang dan stail pembelajaran boleh dikekalkan tanpa menjejaskan pencapaian matlamat kecemerlangan. Pelajar juga mengakui bahawa kepekaan terhadap keperluan tugasan yang ditetapkan (masing-masing mesti memilih tiga digit 1 – 9 dengan susunan tertib yang besar dahulu) ialah sine qua non kepada aktiviti bersifat kumpulan. Mungkin ada yang pernah melakukan aktiviti yang sama, namun diberi sentuhan yang baharu, sesuai dengan tahap pelajar prauniversiti.

Aktiviti hidden squares menyerlahkan sikap bertindak tanpa berfikir dua kali sering mengakibatkan kesilapan yang teruk. Dalam kebanyakan kes dan situasi, kita seharusnya memberi ruang untuk fikiran kedua. Selain itu, bagi mencapai tahap persis (jitu), kaedah tertentu hendaklah digunakan. Jika hendak meyakinkan orang lain terhadap sesuatu dapatan dan penemuan kita, penerangan langkah demi langkah wajib dipersembahkan dengan jelas dan mudah difahami. Maknanya, proses ke arah pencapaian sesuatu hasil yang diharapkan adalah lebih penting daripada pernyataan hasil itu sendiri.

Aktiviti rantai nama membangkitkan kelucuan dan rasa bangga apabila rakan yang baru dikenali dapat menyebut nama rakan yang lain secara separuh betul. Ikatan kumpulan (group binding) menjadi prasyarat kejayaan sesuatu organisasi selagi mana tidak wujud penyelewengan, atau pelakuan berakhlak rendah. Aktiviti rantai nama boleh dijadikan titik tolak kaedah pengajaran sebaya (peer teaching) bagi mengimbangi penyampaian guru yang mungkin sekali sipi dengan laras bahasa remaja. Gabungan kehebatan pelajar dan guru Ekonomi memungkinkan rekod baru pencapaian STPM kohort sebelum ini dipecahkan saban tahun, insya-Allah.

Hari Isnin (18 Mei 2009), aktiviti melukis lambang (siling dan unsur alam), rebut 400 akan dibuat. Lembaran pandang seluruh (bird’s view) bidang pembelajaran Ekonomi STPM juga bakal diedarkan. Kepada semua 16 orang pelajar LA3, selamat maju jaya. Ingatlah bahawa, SMI ialah teman kecemerlangan anda!

No comments:

Post a Comment