Tuesday, June 23, 2009
HOKI SEKOLAH PREMIER: SMI LAYAK KE SEPARUH AKHIR (PREMIER SCHOOL’S HOCKEY: MICHAELIANS SET CLASH WITH ANDERSON)
Kuala Kangsar, 23 Jun 2009 (Selasa)
Bagaikan ulangan skrip perlawanan ketika menentang Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR) tempoh hari, skuad hoki SMK St Michael, Ipoh (SMI) berjaya melakar kemenangan ke atas pasukan tuan rumah suku akhir kedua, iaitu Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Perlawanan yang dijadualkan pukul empat petang tertunda selama sejam ekoran hujan lebat dan masalah teknikal. Disebabkan pihak MC tidak menyediakan pasukan sorak mereka sebagaimana lazim, padang MC seakan-akan milik penuh SMI. Hanya suara penyokong SMI yang kedengaran.
Turun sebagai pilihan, MC tidak menunggu lama. Seawal minit kedua, MC berjaya menyumbat gol pendahuluan dengan satu tolakan kencang dalam kawasan D. MC memperoleh lima pukulan sudut penalti, namun tiada satu pun yang berhasil. Permainan separuh masa pertama lebih banyak berlegar di kawasan SMI. Penjaga gawang SMI sibuk sekali memastikan tiada lagi bola menerjah jaring.
Pasukan ‘lambat panas’ SMI bagaikan menyedari bahawa mereka mesti cepat-cepat mencari gol penyamaan supaya moral pasukan tuan rumah dapat dipudarkan. SMI memperkemas kawalan bola dan membuat umpanan-umpanan cantik untuk memperdaya pertahanan lawan. Pada pertengahan separuh masa kedua, Matthews Jude, kapten SMI berjaya menghadiahkan jaringan yang ditunggu-tunggu. Kemudian, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Perlawanan sepenuh masa berakhir dengan kedudukan seri 1 – 1. Justeru perlawanan timbal balik tidak jadi dilaksanakan, maka penentuan pemenang perlu dibuat menerusi tolakan penalti. Pengalaman SMI mencatat kemenangan ke atas STAR dengan cara yang serupa memberi sedikit kelebihan. Dua tolakan awal MC tersasar dan dapat ditampan oleh penjaga gawang SMI, sedangkan SMI berhasil dengan kedua-dua pukulan. MC merapatkan jurang menerusi pemain ketiga. SMI kemudian berjaya menjadikan kedudukan 3 – 1. Kegagalan pemain keempat MC menolak tepat ke gawang mengakibatkan tuan rumah kecundang.
Pengadil perlawanan ialah guru SMK Clifford, dan seorang lagi guru dari Sungai Siput Utara. Tiada insiden kecederaan yang berlaku. Hanya dua orang pemain (masing-masing satu SMI, satu MC) mengalami kekejangan otot. Setelah diberi bantuan oleh pegawai perlawanan, kedua-dua mereka dapat meneruskan saingan.
SMI akan bertemu dengan SMK Anderson pada peringkat separuh akhir hujung minggu ini. Anderson ialah salah satu pasukan elit dan mengambil bahagian dalam Liga Hoki Malaysia. Tahun lalu di peringkat awal, SMI berjaya mencemaskan Anderson dengan hanya melepaskan satu gol. Di atas kertas, Anderson pasti jadi pilihan. Namun, perlawanan akan berlangsung di padang, bukan di atas kertas. Selamat berusaha mencipta kejutan, Michaelians!
No comments:
Post a Comment