Klang, Ahad 26 Julai 2009
klik foto untuk paparan lebih jelas
(click photo to enlarge)
Bandar ini bukanlah asing bagi penulis blog justeru pernah bekerja sementara di Raliegh Cycle usai STPM suatu ketika dahulu. Penulis blog menghuni sebuah rumah bujang di Padang Jawa, berhampiran kampus induk UiTM. Dahulu bandar ini turut mendapat jolokan bandar gagak. Kini, imej berkenaan sudah luput memandangkan burung gagak dikhuatiri menjadi perumah virus yang berpotensi menyebarkan penyakit seperti selesema burung yang masih menjadi pandemik di seluruh dunia.
Sebagai penjawat awam, penulis blog pernah menghadiri enam kali mesyuarat dalam tahun yang berbeza-beza di Klang. Antara hotel yang menjadi penginapan ialah Hotel B, Hotel Mutiara dan terbaru, Gold Course. Uniknya bandar Klang ialah keadaan bulatannya (roundabout) yang berbeza daripada bandar lain di Malaysia. Setiap bulatan ada lapan laluan, dan dikawal dengan lampu isyarat. Masalahnya, papan tanda.
Arah ke Klang yang mana satu? Pelabuhan Klang hanya dibezakan dengan simbol kapal layar!
Bagi penduduk tempatan mungkin tiada masalah. Namun, kepada orang luar Klang sangat mengelirukan. Bukan luar biasa jika kita selalu terlajak dan tersilap masuk lorong. Papan tanda selalu sahaja terlindung oleh bangunan dan pokok, bahkan maklumat yang dipaparkan kadang-kadang tidak membantu. Contohnya,tiba-tiba anda perlu membelok walaupun sebelum itu arahannya terus.
Diharapkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (Majlis Perbandaran Klang) sensitif akan perkara ini dan membuat perubahan dalam kadar yang segera. Jika sebaliknya, banyak pengunjung yang akan mengeluh dan tercangak-cangak sehingga menyumbang kepada kesesakan jalan raya yang seharusnya boleh dielakkan. Dari segi ekonomi, keadaan ini dianggap sebagai ketidakcekapan kos, atau pembaziran!
No comments:
Post a Comment