Friday, July 3, 2009

PELAJAR PERANCHIS DI SMI (EXCHANGE STUDENT AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)



Ipoh, Jumaat (3 Julai 2009)

Romain Maillard. Pelajar yang berasal dari Bordeaux, Peranchis mula menyertai kelas LA3 di SMK St Michael, Ipoh setelah hampir enam bulan ditempatkan di SMK Simpang Pulai. Romain menguasai serba sedikit pertuturan bahasa Melayu. Katanya, setakat membeli barang di kedai tiada masalah.

Romain juga sedar bahawa tempat asalnya disebut sebagai "bodo", tetapi bukan sama dengan "bodoh". Dia juga cepat menyesuaikan diri dengan rakan sekelas baharunya di sini. Romain akan berada di SMI sehingga hujung tahun 2009.

Romain sebenarnya pelajar jurusan sains dan berharap dapat mengikuti pengajian perubatan di negara kelahirannya. Namun, dia masuk ke jurusan kemanusiaan di SMI untuk lihat-lihat sahaja. Penulis blog mendapati bahawa bahasa Inggeris yang dituturkannya bukan Queen's English, sebaliknya macam kita, manglish!

Romain teruja dengan musim durian sekarang dan menyukainya. Selain itu, dia menggemari roti canai dan sate. Romain boleh dihubungi menerusi laman sosial facebook.

Semasa kelas ekonomi, kadang kala dia memberi perhatian, tetapi kadang kala mengeluarkan bahan bacaan yang lain. Sebab itu, apabila ada masa terluang, penulis blog akan menghampirinya untuk berbual ringkas, memberi motivasi dan berkongsi maklumat.

Romain bukanlah pelajar asing pertama di SMI, dan bukan juga pelajar asing pertama bagi penulis blog. Ketika bertugas di SMK Seri Perak, Teluk Intan (penulis blog juga alumni di situ), terdapat pelajar dari Australia, anak pemilik restauran terkenal di Adelaide, jika tidak silap ingatan. Ketika ditanya jika orang Malaysia menyebut subtle tanpa huruf b yang disenyapkan (silent sound), dia berpendapat bahawa hal itu tidak menimbulkan masalah, sebab variasi pertuturan atau slanga adalah perkara biasa di serata dunia. Cuma yang pasti, orang yang menyebut subtle dengan huruf b yang tidak disenyapkan menunjukkan bahawa individu berkenaan bukanlah penutur jati bahasa Inggeris!

Program pertukaran pelajar dan pegawai antara negara membawa implikasi tersendiri. Pelajar terbabit dapat mempelajari budaya negara asing, di samping membuat perbandingan dari segi aspek teknikal dan tatacara kerja. Pelajar negara maju dari Barat seperti Romain dapat melihat sendiri realiti negara kita yang baru bebas daripada belenggu penjajahan 52 tahun yang silam. Mereka juga dapat menilai imej umat Islam Malaysia berbanding dengan gambaran yang sengaja diada-adakan oleh media negara mereka.

Begitulah harapan kita hendaknya...

No comments:

Post a Comment