Ipoh: Jumaat, 7 Ogos 2009 (16 Syaaban 1430)
Sejak tahun 2006 pencapaian mata pelajaran Ekonomi STPM di SMK St Michael, Ipoh (SMI) mencatatkan peningkatan yang berterusan dari segi peratusan calon yang memperoleh prinsipal penuh. Sebagai contoh, pada tahun 2008, peratusan yang dicatat ialah 76 peratus, jauh mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan. Bilangan yang mendapat prinsipal A ialah 20 orang daripada 75 orang calon, atau kira-kira 28 %.
Namun demikian, sesuai dengan prinsip kualiti, iaitu "maraton tanpa garis penamat" atau "quality never ends", sasaran seterusnya ialah untuk mensifarkan gred F. Hal ini kerana gred F menandakan seolah-olah proses pembelajaran mungkin sekali tidak berlaku. Calon yang mendapat F juga mungkin mencatat 0 markah. Jika bilangan calon yang meraih F masih tinggi, reputasi SMI mungkin terjejas.
Penulis blog ialah ketua panitia Ekonomi, di samping menjalankan tugas Guru Kanan Vokasional dan Teknik, di samping sebagai penyelaras mata pelajaran Ekonomi Tingkatan Enam. Sejak bertugas di SMI mulai 2005, penulis blog memasang impian supaya mata pelajaran Ekonomi STPM mampu mencapai tahap 100%. Hal itu bukanlah sukar justeru penulis blog juga pernah menjadi ketua panitia Ekonomi di Sekolah Menengah Teknik, Ipoh dan untuk beberapa tahun berturut-turut mencatat 100 peratus, serta "Sifar F".
Maka, pada setiap kali mesyuarat panitia, projek Sifar F diberi penegasan. Selain rutin pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, program nilai tambah perlu dilaksanakan. Antaranya bengkel, seminar dan ceramah pakar. Mulai tahun lepas, panitia telah memutuskan untuk menganjurkan Kem Jaya Diri yang menjurus kepada motivasi kendiri.
Kem Jaya Diri kali ini disertai oleh sejumlah 32 orang pelajar Ekonomi yang terpilih, tidak termasuk beberapa orang pelajar yang mendaftar sebagai peserta secara sukarela. Kali ini kem dianjurkan secara bersama oleh Panitia Ekonomi dan Panitia Pengurusan Perniagaan yang diterajui Puan Azura binti Abdul Rahim. Moderator dan pemudah cara kem ialah Cikgu Maulid bin Ismail yang berpengalaman berkhidmat sebagai personel sumber manusia dan latihan di sekor swasta selama tujuh tahun sebelum menceburi kerjaya keguruan.
Peserta kem diminta menilai kembali matlamat mereka membuat keputusan menyambung pengajian prauniversiti di SMI. Peserta juga didedahkan dengan graf masa bagi mengimbas kembali profil keseronokan belajar sejak di bangku sekolah rendah. Mereka dikehendaki memberi justifikasi turun naik "mood" belajar.
Di samping itu terdapat aktiviti fizikal seperti senaman jari, laungan suara, dan pergerakan berkumpulan. Peserta juga membentangkan hasil perbincangan untuk melakukan perubahan momentum pembelajaran menjelang peperiksaan percubaan pada awal September, dan seterusnya untuk STPM yang bermula pada pertengahan bulan November ini.
Berdasarkan keceriaan di wajah semua peserta, interaksi dengan pemudah cara, dan kerancakan aktiviti berkumpulan, kem yang dianjurkan kelihatan berjaya mencapai semua objektif yang digariskan. Antara lain, peserta dapat membuat analisis SWOT, iaitu analisis kekuatan, kelemahan, peluang, dan ancaman terhadap proses pembelajaran. Di samping itu para peserta memperbaharui sasaran pencapaian STPM 2009, dan menyenaraikan tindakan segera yang menjurus terhadap pencapaian gred prinsipal yang tertinggi.
Motivasi secara umum tidaklah memadai. Justeru, Encik Maulid turut membimbing peserta mengenal pasti bidang dan tajuk dalam kedua-dua mata pelajaran (Ekonomi dan Pengajian Perniagaan) yang boleh diberi tumpuan untuk markah lulus, kepujian dan cemerlang. Penulisan jawapan dalam persekitaran dewan peperiksaan juga turut disentuh.
Berdasarkan pengalaman penganjuran kem jaya diri calon STPM kohort 2008, kem kali ini dijangka memberi impak besar terhadap peningkatan peratusan prinsipal dalam STPM 2009. Calon yang berisiko kecundang telah berjaya dimasukkan dalam kelompok prinsipal. Data pencapaian itu mendapati bahawa gabungan antara motivasi kendiri dengan bimbingan guru menjadi resepi pencapaian kecemerlangan. Mudah-mudahan begitulah hendaknya...
No comments:
Post a Comment