Peperiksaan tetap merupakan instrumen pengukuran dan penilaian yang utama dalam sesuatu sistem pendidikan. Walaupun terdapat bantahan meluas terhadap konsep orientasi peperiksaan, obses atau perhatian berat ibu bapa terhadap pencapaian anak mereka dalam peperiksaan tidak pernah berkurangan. Sebenarnya semua peringkat pengajian tidak boleh terlepas daripada peperiksaan sebagai penanda aras yang meletakkan diskriminasi terhadap pelajar cemerlang dengan pelajar aras sederhana dan lemah.
Hari ini keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang melibatkan lebih setengah juta murid tahun enam telah diumumkan. Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh (SKSA) mengambil peluang pada hari kedua terakhir persekolahan tahun 2009 bagi meraikan murid cemerlang UPSR sekolah itu, di samping penyampaian anugerah kecemerlangan kepada murid prasekolah hingga tahun enam. Majlis di dewan terbuka itu dihadiri penerima anugerah, ibu bapa, guru dan jemputan khas.
Acara dimulai dengan bacaan doa, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu sekolah yang dipimpin oleh pasukan koir sekolah. Lantunan vokal yang harmonis membuktikan hasil sebuah latihan yang bersungguh-sungguh dan terancang. Kepuasan terpancar pada wajah hadirin.
Guru Besar SKSA mengundang rasa teruja hadirin apabila menyebut bahawa SKSA menerima pengiktirafan lonjakan saujana oleh Jabatan pelajaran Negeri Perak justeru mencatat peningkatan besar, iaitu 23 orang calon meraih 5A, berbanding tahun sebelumnya 14 orang. SKSA berjaya menyelit dalam kelompok sekolah dominasi murid perempuan seperti Convent, malah mengatasi saingan terdekat, SK Sungai Rokam (38 calon 5A dengan jumlah enam buah kelas,; SKSA hanya tiga kelas).
Anugerah disampaikan secara berbahagi antara penolong-penolong kanan SKSA, YDP PIBG dan Profesor Ainuddin (NYDP PIBG). Sejumlah kira-kira 50 orang murid prasekolah menerima sijil tamat pengajian mereka. Bagaikan seorang siswazah, mereka melangkah penuh bergaya.
Majlis diserikan dengan persembahan murid yang dilatih khusus dengan keberanian menampilkan diri di pentas dan di hadapan khalayak. Pendedahan sedemikian memberikan pengalaman bagi menempuh alam pascapersekolahan kelak. Syabas kepada murid dan jurulatih mereka!
Hadiah yang dianugerahkan amat signifikan dari segi pengiktirafan dan sejarah pencapaian seseorang murid untuk mencapai "bintang yang tinggi". Apatah lagi anugerah disampaikan dalam sebuah majlis yang gilang-gemilang, serta disaksikan sejumlah hadirin yang dijemput khas. Majlis anugerah kecemerlangan merupakan salah satu daripada empat program wajib tahunan bagi semua sekolah di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Hadiah yang diterima boleh menjadi dorongan kepada rakan yang masih bersaing dan kepada anggota keluarga yang lain. Persaingan harus dilihat secara positif, untuk kebaikan masyarakat dan ummah. Akhirnya, semua pihak akan beroleh manfaat yang melimpah ruah...
Generasi dewasa tumpang bangga bahawa anak cucu mereka bakal melunaskan impian menyambung cita-cita yang tiada penghujungnya. Di majlis SKSA ini, kelibat Tan Sri Tajuddin Ali, (seorang tokoh korporat dan akrab dengan keluarga Dato' Seri Lee Ooi Hian, Ketua Pegawai Eksekutif KL-Kepong Berhad) kelihatan hadir memberi sokongan kepada cucu beliau yang turuh meraih 5A dalam UPSR. Dengan berkerusi roda, serta ditemani Puan Seri, beliau dengan sabar menunggu hingga akhir majlis...
selamat maju jaya kepada semua calon stpm 2009
No comments:
Post a Comment