Era “Anak Laut” berakhir sesudah sedekad mewarnai pembelajaran komponen sastera Bahasa Melayu (komsas) tingkatan empat. Mulai tahun 2010, antologi “Harga Remaja” diperakukan sebagai teks yang baharu. Judul itu diangkat daripada sajak nukilan Rahman Shaari, seorang profesor pengajian media, Universiti Malaya, yang juga dikenali sebagai hafiz sastera.
Murid tingkatan lima sedia ada masih menggunakan antologi “Anak Laut” judul yang juga diangkat daripada sebuah sajak karya Rahimidin Zahari. Kebetulan, soalan 2(d) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November 2009 menggunakan sajak “Anak Laut” yang ringkas dan jelas, tetapi sarat dengan mesej insan budiman. Selamat tinggal “Anak Laut”. Selamat datang “Harga Remaja”.
Edisi murid “Harga Remaja” dijual dengan harga RM9.80 (tanpa diskaun). Naskhah setebal 270 halaman itu, tidak termasuk lapan halaman pengenalan, memaparkan kulit hadapan dengan lukisan sepasang remaja, mewakili si uda dan si dara, bersekali dengan kelopak bunga dan empat ekor rama-rama. Tidak diketahui motif pelukisnya, Meor Kamarudin bin Meor Ismail hanya mevariasikan warna rerama sahaja.
Kulit belakang antologi “Harga Remaja” dibiarkan 90 peratus kosong. Yang ada hanya kelopak bunga dan bebayangnya, selain kod bar dan harga buku. Sekali imbas, wajah si uda mirip Dr. Sheikh Muzaffar, pakar ortopedik UKM yang menjadi angkasawan pertama negara (bakal berumah tangga pada 10.10.(20)10 (Ahad). Si dara tidak dapat dikenal pasti justeru agak terlindung di balik kelopak bunga. Kelihatannya si dara sedang membetul-betulkan rambut atau sekadar bergaya di hadapan lensa kamera. Wallahu a’lam bi’s-sawab.
Antologi “Harga Remaja” diselenggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, sebuah agensi bertaraf autonomi di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Editor yang bertanggungjawab terhadap antologi ialah Rosmani binti Omar. Perbezaan yang ketara dengan “Anak Laut” ialah ketiadaan biodata pengkarya setiap genre, tetapi menampilkan lebih banyak ilustrasi hingga dua halaman. Contohnya, halaman 148 – 149 yang menggambarkan dikotomi sebuah keluarga pencandu papan dan bidak catur dengan si ibu yang sedang terlantar di ranjang sambil diperiksa oleh seorang daripada dua orang doktor yang diupah khas oleh keluarga berada itu. Karya Zaharah Nawawi itu pasti menarik untuk disoroti oleh murid remaja yang masih dalam proses memahami cabaran yang dihadapi oleh institusi kekeluargaan sejak zaman berzaman.
Penulis blog (PB) percaya bahawa murid tingkatan empat akan segera jatuh hati terhadap antologi “Harga Remaja”. Semua karya yang dimuatkan berupa titipan mutiara dan pedoman yang sangat bermutu buat mematangkan para remaja dalam meniti cabaran semasa dan cabaran mendatang. Antologi “Harga Remaja” bagaikan jalan pintas untuk remaja mengungkapkan rona-rona kehidupan diri sendiri dan orang lain di sekeliling atau yang jauh laksana.
Pengukuhan jati diri selaku remaja asertif (tegas diri) akan lebih mudah menjadi kenyataan. Di samping mementingkan hak diri sendiri, remaja juga mementingkan hak orang lain. Ciri remaja agresif (mementingkan diri sendiri sahaja) mungkin lebih sesuai di gelanggang dan di padang permainan berprestasi tinggi. Ciri remaja pasif atau permisif (sentiasa mengalah, mementingkan hak orang lain semata-mata) mungkin boleh dipertimbangkan untuk situasi yang benar-benar genting sahaja.
Karya yang paling ringkas ialah “Seloka Emak Si Randang” yang hanya menampilkan sejumlah 29 patah perkataan, dan lapan baris tanpa selang. Kedua ringkas ialah “Gurindam 12 Fasal yang Keenam” dengan 33 patah perkataan, juga dengan lapan baris empat rangkap: setiap satu rangkap mengandungi dua baris. Kedua-dua karya puisi tradisional itu walaupun ringkas, tetapi sarat dengan kebijaksanaan dan peringatan buat remaja.
Karya yang paling panjang ialah “Gelanggang Tuk Wali” yang mewakili genre drama. Keseluruhannya terdapat lima babak pementasan dalam skrip yang mengisahkan seorang guru silat yang berhadapan depan cucu tirinya, Piee, seorang penagih tegar yang tidak mengenal erti belas dan nilai khazanah bangsa. Jumlah muka suratnya... 52! Namun, jangan gusar. Kata bualnya menyebabkan pembaca sentiasa teruja!
Karya kedua terpanjang pula ialah “Hikayat Khoja Maimun” yang diselenggara oleh Abdul Rahman Kaeh. Genre prosa klasik itu memenuhi sejumlah 27 halaman antologi. Hikayat berbingkai yang penuh teladan itu mengisahkan kebijaksaan si burung bayan melekakan Bibi Zainab yang berniat curang semasa suaminya, Khoja Maimun belayar atas urusan perniagaan.
Pengajaran paling berharga daripada hikayat berbingkai empat bab dengan tiga cetera itu ialah kita hendaklah berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Si burung bayan telah menyaksikan temannya si burung tiung kehilangan nyawa akibat berterus terang tidak pada masa, orang, dan tempatnya. Si bayan sebaliknya bukan sahaja berjaya menyelamatkan dirinya, bahkan menyelamatkan Bibi Zainab daripada terjebak dalam kancah maksiat dengan si anak raja yang baru berbalas pandang hingga berpotensi mencetuskan geruh tatkala suaminya pulang kelak. Pendek kata, mulut tidak betah lebih laju daripada otak!
PB juga tertarik dengan sajak “Di Perpustakaan” nukilan Shafie Abu Bakar di halaman 18 – 19. Pemilihan kata (diksi) oleh penyajak, mantan profesor persuratan Melayu nuansa Islam UKM itu membawa pembaca mengembara dalam gedung ilmu konvensional yang tidak bersempadan. Terlintas pula PB dengan ungkapan Kubuku Buku (baca: kubu aku buku) yang pernah terpampang di Pusat Sumber, Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Murid sekarang mungkin berasa asing dengan istilah perpustakaan atau kutub khanah ala-ala dahulu.
Menyingkap helaian demi helaian naskhah antologi “Harga Remaja” membibitkan keinginan bagi melaksanakan projek bilik darjah sebagai pengisian pembelajaran komsas. Hubaya-hubaya murid akan memiliki entusias (antusias - ejaan Kamus Dewan) dan hasrat yang sama. Tentulah menyeronokkan jika aktiviti pembelajaran komsas Bahasa Melayu (dicatat sebagai “Bahasa Malaysia” dalam teks antologi) menjadi meriah, happening, dan seterusnya menjadi kenangan murid yang paling indah semasa di bangku persekolahan...
Selamat membaca. Kita boleh berbincang dengan lebih lanjut apabila tiba masa yang sesuai.
Assalamualaikum....
ReplyDeleteBagaimana pandangan sdr. tentang bahasa dan diksi dalam pantun berkenaan?
Salam
ReplyDeleteOrang yang bertanya lebih tahu daripada orang yang bertanya...
"Doktor Muda" ada dalam koleksi saya.
Pantun selenggaraan Dr Anwar Ridhwan dan Harun Mat Piah rasanya tiada komen dari segi bahasa dan pemilihan kata (diksi).
Pembayang pantun sama ada unsur alam atau karenah manusia memang menjadi syarat utama pantun yang asli dan bermutu. Walaupun rima awal dan tengah sukar disamakan, namun pantun masih mantap.