Demam bola sepak Piala Dunia Afrika Selatan 2010 sudah bermula. Semua kejohanan sukan yang lain akan tenggelam dek penangan temasya sukan terbesar itu. Sebahagian besar penghuni planet bumi bakal bersengkang mata menonton siaran langsung pasukan kegemaran.
Dalam Sukan Olimpik dan Sukan Asia, sebutir pingat emas daripada acara bola sepak dianggap lebih bermakna dibandingkan dengan ratusan pingat emas daripada acara lain. Malah dalam Sukan Asia Tenggara, Thailand pernah kecewa apabila pasukan bola sepak mereka sekadar muncul sebagai pemenang pingat perak walaupun memiliki kilauan lebih seratus pingat emas dalam acara lain. Majoriti pencandu sukan di Malaysia juga meletakkan bola sepak sebagai sukan nombor satu negara walaupun skuad kebangsaan menghuni kedudukan ke-150 dunia.
Keadaan yang serupa berlaku di sekolah. Hanya pemain bola sepak dianggap glamor. Jaguh pecut, juara memanah, pemain kriket dan atlet olah raga tidak menjadi sebutan. Nasib baik pihak sekolah memberi pengiktirafan sempena anugerah Hari Kokurikulum.
Hakikatnya sukan dapat dikategorikan kepada sukan popular, sukan berprestasi tinggi dan sukan berpotensi. Di samping itu, konsep “Sukan Untuk Semua” sedang dipromosikan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan menjana modal insan holistik. Generasi muda pelajar remaja dikatakan memiliki tahap kecenderungan dan kepedulian yang rendah terhadap aktiviti sukan. Kalau dahulu murid berebut-rebut untuk mewakili pasukan sekolah, sekarang terpaksa dipujuk-pujuk pula!
Natijahnya, muka yang sama akan mewakili sekolah dalam pelbagai acara. Majoriti murid lebih senang menjadi penonton atau tukang “kutuk”. Daripada bermandi peluh di tengah padang , mereka rela menghadap skrin komputer atau televisyen melayan permainan simulasi sukan (PS2), sambil mengunyah makanan ringan dan meneguk minuman bergas. Ancaman obesiti tidak berbekas buat mereka.
Penubuhan sekolah akademi sukan dan sekolah projek khas juga menyebabkan murid sekolah harian menganggap penyertaan mereka tidak akan sampai ke mana-mana. Di peringkat zon (misalnya Kinta Utara ada 6 zon), pun sudah kecundang. Kalau sekadar melengkapkan senarai, buat menghabis beras sahaja, dakwa mereka.
Persepsi sedemikian sungguh tidak sihat. Sesuatu perlu dilakukan segera. Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) harus mengkaji semula falsafah, matlamat, objektif dan modus operandi penubuhannya. Jika hanya berfokus kepada sukan berprestasi tinggi dan tertumpu kepada sekolah yang meletakkan niche area sukan tertentu, lebih baik sebuah organisasi sukan tahap pertengahan diwujudkan secara berasingan.
Potensi kemajuan seseorang berkembang dengan kadar kecepatan yang berlainan. Sesetengah bakat hanya dapat dicungkil di peringkat yang lebih lewat dan hanya dapat dikesan oleh jurulatih yang berpengalaman. Tidak ketinggalan juga kemungkinan berlaku diskriminasi menyebabkan jagoan sebenar tersisih.
Sekolah bandar seperti SMK St Michael, Ipoh (SMI) sangat hampir dengan pusat kegiatan sukan peringkat negeri dan kebangsaan. Ibu bapa yang berkemampuan sanggup mengupah jurulatih peribadi untuk anak-anak mereka. Pihak Majlis Sukan negeri juga bersedia menerima pelajar berbakat untuk bernaung di bawah sistem kejurulatihan mereka secara percuma.
Saban tahun memang ada murid SMI menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Contohnya, sukan menembak dan ekuin. Murid SMI mewakili Malaysia di kejohanan dunia. Sayangnya, tidak beberapa lama kemudian bakat SMI berkenaan disambar oleh sekolah akademi sukan. Namun, SMI merelakannya jika itu pilihan murid dan ibu bapa mereka.
Kecemerlangan pembelajaran menerusi sukan tetap perlu diteruskan kendatipun SMI kehilangan tonggak untuk bersaing di peringkat tertinggi. Maka, sasaran pencapaian yang lebih munasabah perlu digariskan semula. Dalam masa yang sama, aspek sains sukan yang lain seperti pengurusan pertandingan, perkhidmatan kecemasan dan kewartawanan sukan boleh didedahkan kepada murid SMI justeru bidang-bidang berkenaan juga mempunyai prospek kerjaya yang cerah.
No comments:
Post a Comment