Friday, January 8, 2010

KEPERLUAN PEMBANTU GURU DI SEKOLAH (THE WAY TO EASE THE TEACHER'S WORKLOAD)

Saranan supaya jawatan pembantu guru diwujudkan di sekolah bukanlah perkara baharu. Sejak dahulu lagi kaum pendidik sudah terbiasa dengan kerja perkeranian. Ditambah pula dengan konsep mengurangkan penggunaan kertas dan teknologi komputer, semakin banyak pula maklumat dalam talian yang perlu diberesi.

Sekolah perlu melayani arahan  PPD, JPN, KPM dan beberapa agensi kerajaan yang lain. Semuanya bertujuan untuk melicinkan proses pembelajaran budak sekolah. Sistem pendidikan berpusat bermakna bahawa pemantauan dan penyeliaan amat dipentingkan.

Beberapa bidang tugas yang sebelumnya dilakukan oleh pejabat sekolah berpindah kepada guru. Misalnya segala butiran perkhidmatan guru kini diserahkan kepada seorang guru data. Selain itu terdapat lantikan guru media, guru stok dan mungkin pelbagai jawatan khas bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah.

Guru lantikan khas berkenaan diberi kelonggaran waktu mengajar, misalnya antara lapan ke dua belas waktu seminggu. Namun, justeru urusan yang membabitkan guru-guru lain, kadang-kadang kelibat mereka tidak begitu dialu-alukan. Apatah lagi untuk mendapatkan kerjasama individu yang berasa kedudukan mereka lebih tinggi.

Apabila takwim sekolah menyenaraikan agihan tugas guru, ternyata bahawa tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (p & p) di bilik darjah tampak begitu mencabar untuk dioptimumkan. Masing-masing guru menanggung antara 10 hingga 30 tugas selain p & p. Jumlah itu belum ditambah dengan tugas ad-hoc dan sampingan yang lain.

Sekolah menjadi sasaran idea yang berbaris panjang untuk masuk. Idea yang dilontarkan  pula datang daripada pelbagai penjuru. Sekolah digesa supaya tidak berkubu dengan idea dalaman semata-mata.

Nasib baik idea supaya sekolah menjadi milik komuniti tidak diteruskan. Jika tidak, setelah tamat sesi persekolahan, mana-mana pihak boleh menggunakan kemudahan di sekolah dengan syarat mereka membayar sejumlah caj. Siapa pula yang hendak menyelenggara aspek keselamatan, kebersihan dan pembaikpulihan kerosakan yang berlaku?

Jawatan pembantu guru telah lama diwujudkan di negara maju. Tugas menyediakan alat bantu dan bahan bantu mengajar dikendalikan oleh mereka. Sama macam peranan pembantu makmal yang membantu guru sains menguruskan makmal dan persediaan amali.

Di Malaysia, bab-bab perjawatan sektor awam ditentukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pegawai tinggi yang terdiri daripada kumpulan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) kanan lebih arif tentang kemampuan kewangan kerajaan untuk membayar segala emolumen, elaun dan kemudahan untuk setiap jawatan yang diwujudkan. Jemaah menteri merumuskan dasar perjawatan, namun JPA yang akan membuat perincian tentang pelaksanaannya.

Walaupun Suruhanjaya Pendidikan sudah ada untuk menguruskan hal-ehwal pelantikan guru, bidang kuasanya terhad kepada jumlah perjawatan yang diperuntukkan oleh JPA. Begitu juga dengan Suruhanjaya perkhidmatan keselamatan seperti polis dan tentera. Pendek kata, saranan mewujudkan perjawatan pembantu guru perlu melepasi sistem keputusan JPA.

Kesatuan guru patut lebih kuat jika semua guru sanggup bersatu dalam sebuah majlis ikhtisas. Bilangan guru sudah menjangkau 300 ribu orang. Mengapa para akauntan berdaftar yang hanya berjumlah sepuluh ribu orang itu dapat mengawal pelesenan profesion mereka sendiri? Begitu juga dengan Majlis Peguam, Majlis Perubatan, dan Institut Jurutera.

Kaum guru tidak boleh selama-lamanya menumpang tuah Ceupacs dan PTD. Guru harus mempunyai suara yang dihormati. Walaupun penubuhan Majlis Profesional Guru memerlukan beberapa penelitian perundangan, langkah boleh dimulai oleh tokoh guru yang berpengaruh.

Pengwujudan jawatan pembantu guru bukan sahaja menyumbang ke arah keberkesanan sekolah, bahkan membuka peluang pekerjaan yang baharu. Walaupun saiz kakitangan awam akan bertambah besar, bertentangan dengan doktrin mengecilkannya, pembayar cukai tidak akan menyesal. Keberkesanan sekolah mempunyai korelasi positif dengan ketenteraman awam. Daya pengeluaran negara: awam dan swasta, bakal meletup-letup!


No comments:

Post a Comment