Thursday, February 18, 2010

GAGAK KEMBALI “TAWAN” KLCC (THE RETURN OF CROW TO THE CITY)


Musim selesema burung mungkin menyebabkan kawanan gagak bersembunyi daripada ancaman operasi pelupusan unggas perumah virus pembunuh itu. Kemudian, selesema burung berpindah pula ke babi. Namun, bilangan orang ramai yang memakai topeng pelindung boleh dikatakan sifar!
KLCC dalam tajuk di atas bukan merujuk menara berkembar Petronas, sebaliknya sekadar singkatan jenaka orang Kuala Lumpur (KL), iaitu KL see see (KL tengok-tengok jer...). Baru-baru ini, KL telah dimasukkan sebagai satu destinasi wajib pelancong sepertimana yang disenaraikan oleh sebuah perunding penarafan pelancongan antarabangsa yang berpangkalan di Dubai. Daya tarikan utama KL sudah tentulah dari segi keselamatan, penginapan, makanan dan gedung perniagaan dengan harga yang cukup kompetetif.

Kadar tukaran USD1 = RM 3.50 menyebabkan sewa hotel mewah RM 700 semalam hanya bersamaan USD 200 sahaja. Bayangkan hotel murah di sekitar Pudu Raya, Brickfields dan Chow Kit antara RM 50 hingga RM 100 baru bersamaan USD 15 – 30 sahaja. Sarapan pagi di Renaissance bernilai RM 70 baru bersamaan USD 20!  Maka, sarapan di warung pinggir jalan paling mahal pun USD 2 sahaja.

Pelancong asing tahap tinggi memang moncah. Namun ada juga mat saleh “cikai” dan “pokai”. Biasanya golongan ini ialah pelajar kolej dan universiti. Mereka membawa beg  galas dan tidak berasa canggung menahan kereta untuk ditumpangi secara percuma.

Bagi kategori pelancong kedua dan warga tempatan, KLCC itulah yang dimaksudkan. Boleh tengok, tidak mampu beli. Seunit topi Manchester United FC bertanda harga RM 200+, baju-T RM 400+.  Lot 10, Sungai Wang dan Suria KLCC gedung beli-belah mat saleh dan pak arab ya habibi.

Jika hendak melihat pelancong asing biasa-biasa atau warga tempatan, silalah ke Mid Valley, atau Sogo. Kalau hendak meninjau jualan yang lebih murah, jenguk-jenguk ke Mydin, Tesco, dan Giant. Paling tidak ke Lorong Petaling, Chinatown, Little India, uptown, downtown dan entah apa-apa lagi klon nama tempat bernafas Barat, dengan bertimbun-timbun barang jualan yang juga klon dan bundle.

Berbalik kepada cerita gagak. Dahulu, ketika struktur masyarakat baru terlepas daripada belenggu penjajah durjana, golongan bangsawan dan kaya berada pada kelas yang tersendiri, manakala golongan sederhana dan miskin terkapai-kapai untuk mendapatkan akses pendidikan dan peluang ekonomi. Maka, jurang yang terbina mengakibatkan kemungkinan bahawa uda dan dara daripada dua golongan yang berbeza untuk disatukan sangatlah tipis dan terlarang.

Sebab itu, ada lirik lagu lama memasukkan bait “dikau umpama merak kayangan, daku umpama gagak di rimba...” Namun, dengan peredaran masa, gagak tidak lagi betah tinggal di rimba dan hutan banat. Gagak juga hendak merasai percikan nikmat kemewahan dan hiruk-pikuk kota!
Jika di rimba, gagak ialah salah satu komponen dalam rantaian makanan dan kitaran ekosistem. Maka, apa yang boleh gagak sumbangkan di rimba konkrit seperti Kuala Lumpur? Nampaknya, gagak hanya berlagak menayangkan keupayaan membuat formasi di udara, macam pertunjukan LIMA di Langkawi.
Sekawan gagak hitam berlegar-legar antara ruang pencakar langit. Mungkin itu tanda mereka berpesta kesyukuran setelah menghabiskan hari yang panjang untuk mengisi tembolok dan bermain-main. Rutin yang serupa akan diulang-ulang untuk hari-hari berikutnya. Dalam tempoh yang singkat, pembiakan spesies gagak hitam ketara mencatat pertambahan mendadak.

Dibandingkan dengan burung merpati yang lebih suka mengacah-acah di jalanan, gagak lebih liar dan “angkuh” di udara. Namun, persamaan kedua-dua jenis burung ini ialah kekotoran yang merimaskan. Jika kotoran lembu boleh menghasilkan metana, gagak dan merpati rasa-rasanya tidak jauh berbeza. Saintis kaji haiwan dan pelajar pascasiswazah boleh membuat penyelidikan tentang kegunaan kotoran gagak dan merpati terhadap industri humus dan tenaga.
Gagak KL nampaknya lebih banyak beraksi di udara daripada mengeluarkan bunyi bising. Kawanan gagak kota seolah-olah memeta awan yang bertarung dengan partikel cemar yang terampai di ruang udara. Gabungan gagak hitam dan latar awan bagaikan kapas itu ialah lukisan alam anugerah Ilahi.
Banyak pelajaran yang boleh diambil daripada aksi dan lagak sang gagak kota. Pasukan berpakaian seragam boleh belajar tentang disiplin gerakan sang gagak. Kadang-kadang gagak bergerak secara garis lurus. Dalam masa yang lain, gagak seolah-olah mempersembahkan pertunjukan akrobatik.

Jangka hayat kawanan gagak kota sukar diramalkan. Jika ancaman penyakit bawaan unggas kembali mengganas, alamat sang gagak kota akan menjadi sasaran bedilan prihilitan. Kaedah tembakan pelali atau peluru getah memungkinkan sang gagak kota dipindahkan semula ke rimba, atau menghuni  taman khas penyelidikan gagak kota. Jika peluru hidup, sang gagak bakal bersatu dengan tanah dan cacing...

No comments:

Post a Comment