Masyarakat Cina seluruh dunia menyambut tahun baharu "harimau" pada hari Ahad, 14 Februari ini. SMK St Michael, Ipoh mengadakan majlis ringkas sempena perayaan tersebut menerusi acara simbolik yang menggambarkan kepercayaan dan tradisi masyarakat berkenaan. Maka, warna merah (untuk kostum) dan warna kuning (limau) mendominasi suasana.
Sebelum tarian singa dimulakan, satu sesi penyampaian hadiah sempena hari petani masyarakat India (ponggal) disempurnakan oleh pengetua. Kelab Bahasa Tamil muncul sebagai juara. Kelab-kelab lain yang bukan berasaskan kaum India juga mengambil bahagian.
Kemunculan "dua ekor" singa yang diringi dengan paluan gendang Cina mula menggamatkan suasana. Pelbagai formasi telah dipertontonkan kepada khalayak. Kecekapan empat orang pelajar mengendalikan tarian tersebut berjaya menghiburkan hadirin.
Dalam keasyikan menonton persembahan aksi singa, tidak semena-mena muncul dari dewan sesusuk tubuh lengkap dengan kostum serba merah, janggut panjang dan membawa bakul "emas". Sambil melambai-lambaikan tangan, dia menuju ke arah tapak perhimpunan.
Seorang murid Cina memberitahu penulis blog (PB) bahawa si pembawa bakul "emas" itu ialah simbolik kepada "dewa kekayaan" dalam kepercayaan masyarakat Cina. Ketika mengelilingi tapak perhimpunan, "sang dewa" sempat melempar-lemparkan ang pau dan limau kepada murid yang dapat menyambutnya.
No comments:
Post a Comment