Tuesday, February 23, 2010

TATABAHASA SPM SOALAN 3b (MALAY LANGUAGE GRAMMAR FORM FOUR: PART 2)

Seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa sintaksis mengkaji tentang peraturan susunan kata dalam sesuatu ayat. Awang Sariyan (Teras Pendidikan Bahasa Melayu, 2004:142) membahagikan unit sintaksis kepada tiga: frasa, klausa, ayat. Perbincangan ringkas ini bagaimanapun hanya akan memberi tumpuan terhadap aplikasi semata-mata. Kepada yang berminat mendalami teori sintaksis bolehlah membuat rujukan lanjut.

Dalam konteks SPM, calon harus mengetahui asas binaan ayat. Misalnya dalam ayat mudah atau ayat tunggal, hanya ada satu subjek, satu predikat dan mungkin ditambah dengan frasa penerangan. Ayat tunggal boleh ditulis dengan susunan biasa, atau susunan songsang. Perhatikan contoh berikut:

Ali menendang bola dengan kencang.

Ali  =  subjek

menendang bola  =  predikat

dengan kencang penerangan

Ayat di atas bersusunan biasa iaitu subjek dinyatakan lebih dahulu daripada predikat.

Jika tugasan soalan menghendaki calon menulis semula ayat dalam susunan songsang, terbalikkan sahaja kedudukan subjek dan predikat. Frasa penerangan pula bebas diletakkan sama ada di hadapan, tengah atau belakang.

1    Menendang bola Ali dengan kencang

2    Menendang bola dengan kencang Ali

3    Dengan kencang menendang bola Ali

Kesemua tiga ayat mungkin janggal bunyinya, namun itulah namanya susunan ayat songsang. Satu-satunya perkara yang ditekankan ialah predikat mendahului subjek.

Seterusnya, jika tugasan menghendaki ayat aktif dijadikan ayat pasif, cari perkataan berimbuhan "meN", dan tukarkannya kepada "di".  Dalam contoh ayat di atas, ayat yang dipasifkan perlu ditulis sebagai:

Bola ditendang oleh Ali dengan kencang.

Perkataan oleh dimasukkan sebelum subjek. Sekali lagi frasa penerangan boleh diletakkan di hadapan, tengah atau belakang.

Calon juga mungkin diuji menerusi item di bawah:

a.  menggabungkan ayat / menulis ayat majmuk

b.  cakap ajuk cakap pindah

c.  pola binaan ayat: FN, FK, FA, FS

d.  mengenal pasti jenis ayat: penyata, tanya, seruan, perintah. 

bersambung, jika anda ada kemusykilan...

No comments:

Post a Comment