Penyataan atau dakwaan (claim) di atas mungkin berbaur emosional dan prasangka jantina. Namun, hujah itulah yang diungkapkan oleh seorang pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr. Wan Halim Wan Othman dalam wawancara dengan wartawan Kosmo (Rabu, 10 Mac 2010, halaman 11). Beliau memberi maklum balas terhadap isu penguasaan kaum wanita di institusi pengajian tinggi dan sektor awam.
Dr. Wan berpendapat punca masalah ialah sistem pendidikan yang bersifat pasif yang bertentangan dengan jiwa pelajar lelaki. Keadaan menjadi lebih rumit apabila kerjaya keguruan turut dikuasai oleh golongan hawa. Maka, kecenderungan untuk mengukur kecerdasan minda atau akademik per se tampak lebih menyerlah.
Saranan untuk menyelesaikan masalah terlebih feminin ialah dengan menambah bilangan guru lelaki. Kata Dr. Wan lagi, guru lelaki berkeupayaan membangunkan potensi lelaki yang sebenar. Pelajar lelaki kurang menghormati guru wanita yang lebih suka membebel.
Pendapat Dr. Wan yang tidak disokong oleh sebarang data penyelidikan itu boleh membangkitkan kecaman dalam kalangan bijak pandai, dan mungin mencetuskan gelombang polemik dalam kalangan orang awam, khususnya pemimpin wanita yang sudah jenuh dengan persepsi sedemikian terhadap kaum wanita zaman berzaman. Pengorbanan dan susah payah guru wanita, khususnya pada peringkat pendidikan awal kanak-kanak seolah-olah dipandang sebelah mata. Pelajar pula boleh menjadikan hujah Dr. Wan sebagai alasan sentimental mereka tentang komitmen yang rendah terhadap pembelajaran.
bersambung...
No comments:
Post a Comment