1) menghadapi kegagalan demi kegagalan, putus asa dan bersikap pesimis;
2) matlamat tidak tercapai: yang dirancang tidak menjadi;
3) kurang keyakinan diri;
4) emosi tidak stabil: jiwa kacau;
5) berburuk sangka dan bersikap negatif;
6) pengaruh rakan sebaya, pergaulan dan persekitaran;
7) bersikap sombong, ego, dengki, pendendam, pemarah;
8) sentiasa berkata "tidak", "tidak tahu", "tidak boleh" terhadap perkara positif;
9) tanggapan negatif oleh orang signifikan seperti ibu bapa, keluarga, guru dan sahabat;
10) putus cinta.
Jika sepuluh punca berkenaan dikaitkan dengan kaedah sumbang saran (brainstorming), dahulunya dikenali sebagai sesi percambahan fikiran, semua diterima seadanya. Tanpa bantahan. Selepas diklasifikasikan, baharulah disusun mengikut tertib punca yang lebih kuat / dominan ke bawah.
Jika hendak dijadikan tajuk kajian atau penyelidikan, prosesnya tidaklah semudah itu. Semua faktor yang tersenarai perlu melepasi ujian statistik seperti analisis faktoral, regresi berganda dan lain-lain supaya hanya faktor yang berada dalam kawalan pengkaji sahaja yang akan diterima. Maka, jika pelajar pascasiswazah ingin mengemukakan cadangan penyelidikan tentang "punca pelajar bersikap negatif", lebih baik berfikir berpuluh-puluh kali!
Namun, jika diteliti 10 punca yang tersenarai, ternyata berkaitan dengan motivasi kendiri. Perkataan motivation berasal daripada kata dasar motive. Secara umumnya, setiap tindakan memerlukan motif sebagai tenaga penggerak.
Pelajar yang bersikap negatif boleh dikatakan ketiadaan atau jika pernah ada, sudah hilang motif. Motif ialah hala tuju dan matlamat yang jelas (clear sense of direction). Pemupukan motif belajar diperoleh dengan pelbagai cara: pertolongan pakar, pembacaan, perbincangan dan pengamatan.
Motif yang kabur dan longgar mudah dipesongkan. Bagaikan bahtera tanpa nakhoda, ribut yang sederhana sudah cukup menghanyutkan bahtera entah ke mana-mana, terumbang-ambing dan mungkin karam. Nakhoda bagi pelajar ialah motif belajar yang jelas.
Kalau ditanya tentang motif belajar, nescaya pelbagai ragam jawapan akan timbul. Misalnya, demi kecemerlangan ilmu, membalas jasa ibu bapa, pelaburan masa depan, memenuhi impian kerjaya, dan tuntutan agama. Ringkasnya, proses pembelajaran dikorelasikan dengan peningkatan modal insan: pengetahuan, kemahiran, sikap.
Walaupun berabad-abad lamanya para cendekiawan melaksanakan penyelidikan, strata dan kluster pencapaian pelajar masih serupa, iaitu berbentuk taburan normal. Terdapat dua hujung ekstrem yang bernilai 5% setiap satunya, iaitu 5% cemerlang dan 5% kecundang. Misteri kotak hitam (input --> proses --> output) masih berleluasa.
Jika sesebuah sekolah mendapat input (pelajar) yang bermotivasi tinggi, sekolah itu hanya perlu menggilap bakat dan potensi yang sedia ada untuk mencapai status sekolah cemerlang. Sebaliknya, sekolah yang menerima input yang bermotivasi rendah terpaksa berhempas pulas dan berikhtiar mencari jalan supaya tidak dicop sebagai sekolah prestasi rendah (SPR). Model kotak hitam itu samalah dengan teori pintu gerbang yang begitu digemari oleh Prof. Abdullah Hasan dari UPSI.
Allan Bloom pernah menulis buku berjudul The Closing of the American Mind. Secara umumnya, Bloom membahaskan tentang kelesuan intelektual dalam kalangan pelajar prasiswazah di Amerika Syarikat. Beliau cemas dengan cabaran pelajar Russia, Asia dan Amerika Latin yang boleh menggugat kedudukan Amerika sebagai kuasa besar dunia...
Allan Bloom pernah menulis buku berjudul The Closing of the American Mind. Secara umumnya, Bloom membahaskan tentang kelesuan intelektual dalam kalangan pelajar prasiswazah di Amerika Syarikat. Beliau cemas dengan cabaran pelajar Russia, Asia dan Amerika Latin yang boleh menggugat kedudukan Amerika sebagai kuasa besar dunia...
No comments:
Post a Comment