Monday, May 10, 2010

DRAMA DAN NOVEL PUNCA MAKSIAT REMAJA? (MORAL DECADENCE, A THREAT TO OUR YOUNG GENERATION)

Rantau Scandanavia (Denmark, Finland, Norway, Sweden) pernah didakwa sebagai masyarakat yang paling banyak peratusan anak luar nikah. Beberapa nama besar selebriti Hollywood dan bintang sukan juga hanya mengumumkan tarikh perkahwinan rasmi setelah mempunyai anak-anak yang menjangkau usia persekolahan. Begitulah jadinya apabila pegangan agama dan akhlak dianggap semata-mata isu peribadi.

Di Malaysia, pengaruh songsang hedonisme dan pergaulan bebas juga menular dengan pantas. Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa 19 peratus kehamilan yang direkodkan di hospital dan klinik berdaftar (awam dan swasta) ialah remaja bawah umur yang hanyut dalam bujukan iblis itu. Lebih malang bahawa hampir dua per tiga daripada jumlah berkenaan membabitkan remaja Melayu Islam. Mungkin ada kalangan yang hendak menyedapkan hati dengan mengandaikan bahawa kes yang tidak dilaporkan bagi remaja bukan Islam jauh lebih tinggi.

Pendedahan Kementerian Kesihatan mungkin menyebabkan ada pihak yang marah-marah. Golongan berkenaan lebih cenderung supaya hanya pencapaian positif remaja ditonjolkan. Macam analogi gelas separuh penuh!

Sebenarnya angka 19 peratus boleh disifatkan sebagai amaran tahap oren, iaitu langkah pencegahan perlu disegerakan. Jangan tunggu barah sosial itu memamah setiap organ penting masyarakat sehingga Malaysia dipandang serong dan diketepikan suatu hari kelak. Imej yang punah teramat sukar untuk dipulihkan.

Rasa kagum terhadap golongan penggiat seni, pelakon, pelawak, penulis, sutradara dan usahawan filem kadang-kadang menyebabkan penglihatan kita terlindung bahawa sedikit sebanyak tahap kebejatan akhlak yang melanda remaja kita berpunca daripada buah tangan mereka. Karya mereka bercampur baur antara perkara kebaikan dengan perkara keburukan. Mudah cakap, naskhah yang dihasilkan tidak dipandu oleh ilmu yang autentik.

Seorang pelakon terkenal tanah air, merangkap pengarah dan pemilik rumah produksi perfileman pernah mendakwa tugasnya sesuci seorang pakar sakit puan lelaki. Demi tugas mendidik masyarakat kononnya, adegan persentuhan bukan mahram termasuk dalam kategori darurat, iaitu keperluan kerja. Maka, adegan keterlaluan yang dahulunya asing sudah menjadi babak biasa dalam drama televisyen.

Sepatutnya selebriti yang mengeluarkan pendapat itu dikenakan tindakan kerana telah menjejaskan integriti masyarakat. Dia bukan orang yang layak untuk menceroboh zon hukum-hakam yang sepatutnya diputuskan dalam persidangan mufti. Ironinya, dia diangkat menjadi hos sebuah program bual bicara tentang fenomena seni.

Begitu juga halnya dengan penulis novel, sama ada bertaraf sasterawan negara, sastera 'Islam', novel komsas pelajar sekolah menengah, mahupun novel bertaraf picisan. Andainya gambaran yang berlebihan tentang perlakuan tidak senonoh diselitkan di sana sini, maka samalah juga dengan mengajar pembaca melakukan perkara yang dibaca. Pergaulan bebas tanpa ikatan yang sah seolah-olah tidak mengapa.

Luahan pendapat seperti ini bukan bermaksud bahawa masyarakat kita perlu menjadi ekstrem, tidak bertolak ansur dan berimej "taliban Afghanistan". Hakikatnya masyarakat kita mendambakan para bijak pandai dan pemimpin masyarakat  yang sentiasa memandang serius akan kerosakan yang sedang berlaku. Usah biarkan golongan "jahil" mendominasi pemikiran dan tingkah laku generasi muda kita...

No comments:

Post a Comment