Dari segi bahasa, penyelidikan ialah penyiasatan yang mendalam. Secara lebih khusus, penyelidikan ialah proses mencari jawapan kepada sesuatu persoalan, atau proses menyelesaikan masalah. Kekuatan atau nilai sesebuah penyelidikan bergantung kepada aras kebolehpercayaan data yang diperoleh, iaitu dengan mengurangkan sebanyak mungkin ralat yang wujud akibat kekaburan instrumen yang ditadbirkan, atau akibat kecenderungan jawapan responden atau subjek penyelidikan memenuhi jangkaan penyelidik.
Cadangan penyelidikan ialah dokumen panduan, atau usul yang bersifat tentatif. Ertinya, penyelidik boleh mengubah suai cadangan selagi proses penyelidikan masih berjalan. Umpama peta untuk menuju sesuatu destinasi, jika terdapat halangan pada laluan asal, laluan alternatif boleh dipilih tanpa menjejaskan arah destinasi.
Rangka cadangan penyelidikan sama dengan rangka laporan penyelidikan (untuk dibentangkan / disebarkan), kecuali ketiadaan bab 2 (tinjauan bacaan), bab 4 (analisis data), serta bab 5 (kesimpulan dan saranan). Maka, tertib penulisan cadangan yang lengkap seharusnya meliputi:
1 Tajuk penyelidikan
2 Penyataan masalah penyelidikan, termasuk kepentingan penyelidikan
3 Objektif penyelidikan
4 Soalan penyelidikan / hipotesis (Ho, H1)
5 Kaedah penyelidikan: alat pengukuran data, sampel, analisis, jangka masa, batasan penyelidikan
6 Definisi / konsep pemboleh ubah penyelidikan
7 Senarai rujukan
Memilih Tajuk
Memilih Tajuk
Sebelum tajuk dimuktamadkan, penyelidik harus menetapkan populasi, iaitu kelompok yang hendak diselidik. Sebaik-baiknya biarlah populasi yang ditetapkan itu dekat dengan organisasi atau institusi penyelidik. Misalnya, menetapkan populasi dalam kalangan tingkatan 6 Rendah sahaja. Barang diingat bahawa pelajar kelas peperiksaan (3, 5, 6 Atas) tidak boleh dijadikan populasi.
Seseorang penyelidik tidak seyogia berlagak seperti ahli falsafah yang menggunakan retorik sehingga sukar untuk dibuktikan, serta susah untuk diukur. Contoh tajuk sedemikian: Keberkesanan Pembelajaran Berkumpulan. Penyelidik bakal mengalami kepayahan untuk mendefinisikan maksud keberkesanan, konsep pembelajaran yang mana satu, dan kumpulan yang bagaimana.
Tajuk berkenaan boleh dikecilkan menjadi:
"Persepsi Terhadap Kaedah Kumpulan Belajar Dua Orang."
Contoh tajuk yang lain:
"Pelajar Matematik 'T' 6 Rendah SMK St Michael Kurang Menggunakan Buku Teks dalam Pembelajaran"
"Penggunaan pen pelbagai warna mengurangkan kekeliruan terhadap lakaran keluk ekonomi"
"Kaedah Seminar Meningkatkan Minat Pelajar dalam Kursus Pengajian Am"
"Aktiviti pengakap kelana meningkatkan daya kepimpinan pelajar 6 Rendah"
"Persepsi anggota kadet bomba terhadap kurikulum latihan yang disediakan"
"Pengambilan Sarapan Pagi Meningkatkan Tumpuan Pembelajaran di Bilik Kuliah"
"Masa Rehat Pelajar Tingkatan 6 perlu dipanjangkan kepada 30 minit"
"Persepsi pelajar prauniversiti terhadap penggunaan internet dalam pembelajaran Muet"
"Persepsi terhadap perkhidmatan pusat sumber untuk pelajar prauniversiti"
"Peluang penglibatan pelajar dalam amali fizik prauniversiti"
"Kebaikan menempatkan pelajar prauniversiti di sekolah"
"Ciri Ketua Kelas yang Digemari Pelajar Prauniversiti"
"Persepsi terhadap keperluan khidmat kaunseling dalam kalangan pelajar prauniversiti"
"Persepsi pelajar prauniversiti terhadap satu program realiti televisyen"
"Peruntukan Waktu Bersenam dalam kalangan pelajar prauniversiti"
"Corak perbelanjaan pelajar prauniversiti di kantin sekolah"
"Kerjasama dalam aktiviti persatuan dalam kalangan pelajar prauniversiti"
"Potensi penggunaan facebook dalam pembelajaran prauniversiti"
"Genre muzik pilihan pelajar prauniversiti"
"Persepsi pelajar prauniversiti terhadap perkhidmatan tuisyen swasta"
Penyataan Masalah Penyelidikan
Masalah penyelidikan tidak semestinya bersifat negatif, atau mendatangkan kerugian, malah termasuk perkara yang memudahkan dan menyenangkan sesuatu proses. Dalam bahasa biasa, masalah penyelidikan ialah isu (bidang keprihatinan) yang ingin dikaji. Masalah penyelidikan yang dikenal pasti hendaklah ada beberapa pilihan penyelesaian / perubahan yang belum dapat dipastikan supaya bersebab untuk dikaji.
Ringkasnya, penulisan masalah kajian dapat digambarkan seperti berikut:
kenal pasti individu / kumpulan --> objektif --> pilihan cara penyelesaian --> kepentingan masalah
Masalah yang dipilih mestilah dapat diukur dalam persekitaran yang diselidik. Maksudnya, penyataan masalah yang cenderung kepada kepercayaan, metafizik, nilai dan spekulasi (contoh: sepatutnya, sewajarnya) hendaklah diketepikan. Sebaliknya, gunakan pernyataan seperti "persepsi', "yang difikirkan" dan seumpamanya supaya dapat disejajarkan dengan tatacara penyelidikan yang bersifat boleh ukur secara mata kasar.
Objektif Penyelidikan
Penulisan objektif penyelidikan membantu penyelidik memberi fokus terhadap pernyataan masalah. Objektif hendaklah disejajarkan dengan pemboleh ubah penyelidikan dan tatacara penyelidikan seterusnya. Lazimnya hanya dua atau tiga objektif ditetapkan sebagai input pembinaan soalan penyelidikan / hipotesis.
Andaikan penyelidik menetapkan tajuk
"Ketiadaan skim pinjaman buku teks menjejaskan motivasi pelajar prauniversiti".
Pernyataan masalah telah ditulis lebih kurang begini:
Buku teks boleh dianggap sebagai nadi pembelajaran pelajar prauniversiti. Buku teks disediakan begitu rupa dengan mematuhi segala kehendak sukatan pelajaran, di samping menjadi dokumen asas penggubalan item soalan peperiksaan STPM. Maka, pemilikan buku teks menjadi perkara kritikal dalam meningkatkan motivasi pelajar.
Ironinya, skim pinjaman buku teks sebagaimana yang dinikmati oleh murid sekolah rendah hingga tingkatan 5 tidak disambung kepada pelajar prauniversiti. Mereka perlu membeli dan mendapatkan sendiri buku teks di pasaran. Kesukaran memperoleh buku teks cetakan asal digambarkan dengan pemilikan buku fotokopi yang tidak menyamai buku teks sebenar.
Penyelidikan ini berharap dapat memastikan bahawa ketiadaan skim pinjaman buku teks menjurus kepada terjejasnya motivasi pelajar prauniversiti. Selain kos pembelian yang tinggi, kesukaran mendapatkan naskhah cetakan asli telah memburukkan keadaan.
Maka, penyelidikan ini menggariskan objektif seperti di bawah:
1 Meninjau tahap pemilikan naskhah cetakan asal buku teks dalam kalangan pelajar prauniversiti; dan
2 Menentukan kaitan antara ketiadaan skim bantuan buku teks dengan tahap motivasi dalam kalangan pelajar prauniversiti.
Soalan Penyelidikan / hipotesis
(penulisan ini hanya bertumpu kepada soalan penyelidikan)
Penulisan soalan penyelidikan mesti berpandukan objektif di atas. Antara ciri penting soalan penyelidikan ialah boleh dijadikan asas pembinaan item dan instrumen penyelidikan, boleh ditadbirkan, jelas, signifikan dan beretika. Contoh soalan penyelidikan:
1 Apakah bentuk-bentuk masalah yang dihadapi oleh pelajar prauniversiti?;
2 Adakah ketiadaan skim pinjaman buku teks menjejaskan motivasi pelajar prauniversiti?
Kaedah Penyelidikan
Secara umum, dibahagikan kepada dua: kuantitatif dan kualitatif. Pelajar tingkatan 6 disarankan memilih kaedah kuantitatif atas pertimbangan masa dan pengalaman. Sebagai pendedahan kepada proses melaksanakan penyelidikan, pelajar hanya menggunakan data kuantitatif asas: taburan kekerapan, peratusan dan pangkatan.
Data ialah maklumat terpilih berdasarkan penyelidikan. Pelajar harus dapat membezakan antara data nominal, data ordinal, nisbah dan sela. Proses membezakan data membolehkan analisis dan inferens benar-benar sah dan boleh dipercayai.
Kaedah kuantitatif ialah manipulasi pemboleh ubah menerusi pengukuran objektif populasi yang ditetapkan untuk digeneralisasikan kepada dunia luar. Populasi pula telah diwakili oleh sebilangan sampel. Dalam kata lain, sampel ialah subset kepada populasi (pengecualian kepada kajian kes: sampel = populasi).
Pelajar digalakkan menggunakan sampelan bukan rawak bertujuan, iaitu penyelidik dengan sengaja memilih sampel bagi mewakili populasi. Penyelidik mesti memastikan bahawa semua instrumen yang ditadbirkan ke atas sampel dapat dikutip semula untuk analisis data. Pelajar tidak digalakkan menggunakan sampelan sukarela, iaitu pada akhirnya peratus kembalian set instrumen tidak mencapai tahap 100%.
Instrumen penyelidikan yang paling mudah ialah soal selidik. Secara ideal, penyelidik hendaklah memastikan bahawa segala item dalam instrumen yang ditadbirkan hendaklah sejajar dengan pernyataan masalah, objektif dan soalan penyelidikan, dan seterusnya selari dengan tinjauan bacaan serta analisis yang bakal dibuat.
Definisi Konsep
Pemboleh ubah yang dinyatakan dalam tajuk hendaklah ditakrifkan berdasarkan keperluan penyelidikan.
Contoh: buku teks; pelajar prauniversiti, menjejaskan, motivasi
Senarai Rujukan
Sesuai dengan status penyelidikan, hanya sumber rujukan yang autentik patut digunakan. Misalnya buku, jurnal, majalah ikhtisas, laporan pakar, dokumen dan rekod rasmi, tesis, monograf, muat turun. Ambilan fakta dan petikan hendaklah dimasukkan dalam bab 2 (tinjauan bacaan). Pendapat tokoh, ucapan pemimpin andaian hanya boleh dimasukkan dalam penyataan masalah.
Penulisan rujukan atau bibliografi sebaik-baiknya mengandungi nama penulis, tahun terbit, judul penulisan, tempat terbit, penerbit. Contoh penulisan rujukan ala APA (American Psychology Association):
Azhar bin Mohd Rodzi (2005). Permuafakatan Guru dalam Proses Perancangan Perkembangan Staf di Dua Buah Sekolah Menengah Teknik di Perak. Dalam Jurnal Pendidikan Edisi 25. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Salam Cikgu Azhar,
ReplyDeleteSaya Pn Lela Ruzma, Pustakawan UKM ingin memohon izin menggunakan maklumat yg Cikgu paparkan di blog Cikgu untuk Kursus Kemahiran Maklumat . yg saya rancangkan untuk guru secara am l guru tingkatan enam kasnya.
Mugkin Cikgu boleh kongsi maklumat
yang saya perlu highlight.
Terima kasih dgn ilmu tersebut
lela@ukm.my
Salam puan,
ReplyDeleteSilakan. Mudah-mudahan ada manfaatnya walaupun sudah pasti di Perpustakaan Tun Sri Lanang terdapat lautan ilmu pengetahuan yang tidak bertepi...
salam cikgu azhar.
ReplyDeletesy nor, pelajar universiti semester 6 dari bidang ijazah pendidikan sains. Saya ingin meminta pendapat cikgu untuk memberikan tajuk untuk kajian saya.Saya agak buntu untuk memikirkan tajuk yang sesuai. terima kasih cikgu
Cikgu azhar, sangat bagus info yg cikgu paparkan. Mohon juga utk saya copy ke blog saya juga utk rujukan pelajar2 saya. Terima kasih
ReplyDeletesaya pelajar tingkatan6 mohon copy info di atas ke blog saya untuk kegunaan saya dan kawan2 saya
ReplyDeletesalam cikgu...
ReplyDeletesaya pelajar tahun akhir ijazah pendidikan(Bahasa Melayu dan Geografi)...saya ingin meminta jasa baik cikgu untuk memberi cadangan mengenai tajuk tesis saya...sama ada saya harus menulis mengenai bidang pengkhususan saya ataupun bidang pendidikan...mohon cadangan tajuk2 yg sesuai..terima kasih....