Friday, June 4, 2010

PETUGAS MAJALAH DIRAIKAN (THE MICHAELIAN EDITORS REUNION)

Ipoh, Jumaat, 4 Jun 2010  /  21 Jamadil Akhir 1431   

      Pisang emas dibawa belayar
      Masak sebiji di atas peti
          Hutang emas boleh dibayar
          Hutang budi dibawa mati
Pantun klasik di atas amat mendalam maksudnya, serta kekal relevan walaupun sampai akhir dunia. Apatah lagi jika budi yang dikenang orang itu terpancar daripada niat yang tulus ikhlas dan dilakukan atas semangat kesukarelaan yang tinggi. Begitulah gambaran majlis bagi meraikan kira-kira 40 orang pelajar tingkatan enam SMK St Michael, Ipoh (SMI) yang telah berkorban masa dan tenaga sehingga memungkinkan terbitnya majalah The Michaelian edisi 61 tahun lalu.
Penyelaras teknikal majalah, Encik Ravi yang juga kaunselor pelajar, ialah teraju balik tabir penganjuran program penghargaan buat petugas The Michaelian tengah hari ini. Pengisian majlis ialah ucapan ringkas, penyampaian sijil dan jamuan istimewa nasi tomato. Walaupun serba ringkas, majlis ini pasti menjelma sebagai kenang-kenangan saat semua petugas yang diraikan meniti kejayaan dalam kehidupan mereka kelak.
Ketua editor majalah, Joanna Ooi Jeng Zhi dalam ucapan ringkasnya mengungkapkan rasa lega justeru segala cabaran yang dilalui dalam proses menyiapkan majalah akhirnya berbayar. Joanna mengharapkan pengalaman yang diraih oleh semua petugas bakal memberi inspirasi supaya lebih maju pada masa hadapan. Kepercayaan yang diserahkan oleh pihak sekolah telah dibalas dengan kejayaan yang membanggakan.
Usai semua ucapan ringkas dan penyampaian sijil, petugas sidang redaksi The Michaelian diraikan dengan jamuan khas. Walaupun kebanyakannya telah biasa dengan jamuan yang seumpamanya, jamuan penghargaan sebegini tetap memiliki signifikan yang tersendiri. Majlis kenduri petugas majalah ini ialah cerminan nilai murni masyarakat kita.
Hadir sama menyerikan majlis ialah pengetua, penolong kanan, penolong kanan HEM, penolong kanan kokurikulum, dan sebahagian besar panel guru penasihat sidang redaksi majalah yang berkelapangan. Sokongan tidak berbelah bahagi pihak pentadbiran sepertimana yang disebut oleh penyelaras The Michaelian, Tuan Haji Mohamad Sidik dalam ucapan beliau, serta gabungan mantap panel penasihat dan sidang redaksi telah menjadi jaminan penerbitan sebuah naskhah yang cukup bermutu. Syabas kepada semua petugas yang diraikan...

        Pulau Pandan jauh ke tengah
        Gunung Daik bercabang tiga
              Hancur badan dikandung tanah
              Budi yang baik dikenang juga

Nota: semua foto atas ihsan Tuan Haji Mohamad Sidik.

No comments:

Post a Comment