Monday, June 14, 2010

PELAJAR CEMERLANG EKONOMI JAYAKAN PENGAJARAN SEBAYA (GRADE A STUDENTS SHARE LEARNING SECRET)

Sejak bertugas di SMK St Michael, Ipoh (SMI), kelas kendalian penulis blog (PB) belum pernah gagal mencatatkan pencapaian gred A dalam mata pelajaran Ekonomi STPM saban tahun. Walaupun peratus lulus penuh mengalami prestasi naik turun, pencapaian pelajar gred A mempunyai signifikan yang tertentu. Pelajar-pelajar gred A boleh dikatakan akur akan saranan PB yang dikemukakan dari masa ke masa.

Kohort calon STPM 2010 kendalian PB ialah kelas UA3 dengan 28 orang pelajar. Selaku guru tingkatan, PB lebih mengenali mereka menerusi urusan data setiap pelajar. Sememangnya segala data pelajar diklasifikasikan sebagai peribadi dan sulit (private and confidential), serta tidak boleh dihebahkan.

Peperiksaan pertengahan tahun telah berlalu kira-kira seminggu sebelum cuti pertengahan tahun. Analisis keputusan pencapaian setiap mata pelajaran bakal menjadi asas program kecemerlangan dan program sifar F. Masih ada masa untuk meningkatkan pencapaian akademik SMI dalam peperiksaan STPM 2010.

Bagi mata pelajaran Ekonomi, 3 orang pelajar UA3 telah mencatat gred A. Mereka ialah Chin Chooi Han, Foo Jen Huey dan Ivan Tan Yee Wun. Walaupun mutu penulisan jawapan mereka masih ada ruang untuk penambahbaikan, namun sekurang-kurangnya mereka bertiga telah membuktikan bahawa tumpuan terhadap pembelajaran di bilik darjah, di samping latihan bersendirian telah menunjukkan hasil.

Kaedah terbaik belajar ialah dengan mengajar orang lain. Maksudnya, apabila seseorang pelajar sudi berkongsi kebolehannya dengan rakan, dia dapat menguji sama ada penjelasan yang diberi dapat diterima oleh orang lain. Dari situ dia akan mendapat input pandangan kedua tentang bentuk penjelasan yang lebih baik dan mudah.

Pendekatan pengajaran sebaya (peer teaching) boleh menjadi pelengkap keberkesanan pengajaran guru. Rakan sebaya boleh menggunakan contoh pengalaman mereka sendiri sebagai alat pembentukan konsep yang lebih abstrak. Aktiviti pembelajaran secara bersahaja dan santai akan mengurangkan perasaan bosan terhadap dunia konseptual, teori dan hukum.

PB pernah menggunakan pendekatan pengajaran sebaya semasa bertugas di SMK Seri Perak, SMK Sungai Sumun, SMK Seri Muara, Sultan Abdullah, SMK Seri Kota dan SM Teknik sebelum ini. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan awam menjadi bukti. Antara mata pelajaran kendalian PB yang mencatat 100 peratus lulus penuh (prinsipal) ialah Bahasa Melayu, Ekonomi, dan Pengajian Am.

Pengajaran sebaya bukanlah satu kaedah cuba jaya tanpa sebarang latihan kepada pelajar yang diserahkan peranan berkenaan. Pelajar yang dikenal pasti berkeupayaan sebagai pemudah cara program akan diberi pendedahan asas tentang konsep, serta aplikasi pengajaran sebaya dalam konteks persekitaran pembelajaran yang akan dihadapi. Guru bertindak sebagai mentor utama program berkenaan.

Modul pengajaran sebaya boleh dilaksanakan secara berkala, atau secara sekali gus dalam program kem pembelajaran. Matlamat dan objektif yang digariskan biarlah berpatutan, tetapi mampu membawa transformasi dalam pembelajaran pelajar yang dipilih khas. Keikhlasan, kerjasama, kesabaran dan kesungguhan bagaikan mata rantai yang menggerakkan sebuah jentera yang pada mulanya pegun...

No comments:

Post a Comment