Sunday, July 4, 2010

ULASAN BUKU PEDAGOGI KOMSAS (BOOK REVIEW: PROFESSIONAL KNOWLEDGE)

Pelaksanaan Kaedah Latihan Secara Pembacaan Buku sebagai tambahan bagi melengkapkan kursus dalam perkhidmatan (Ladap) berasaskan sekolah diperkenalkan mulai tahun ini. Nisbah bacaan 4:2:1 merujuk kepada komponen bacaan bidang pengetahuan profesionalisme, kemahiran profesionalisme, serta amalan / nilai profesionalisme keguruan. Bagi maksud dokumentasi dan pembentangan, format di bawah telah ditetapkan, dan penulis blog (PB) memberikan satu contoh penyediaannya.

1    Nama Guru:

2    Judul:  Teknik Mengajar Komsas                     Bidang:  Pengetahuan Profesionalisme

4    Tarikh Pembentangan:                                        Masa:

6    Tempat Pembentangan:

7    Sinopsis

      Buku setebal 184 muka surat ini dibahagikan kepada 24 bab. Kecuali bab 1 dan bab 2,
      kesemua 22 bab yang lain membincangkan kaedah, model dan teknik mengajar komsas, 
      sama ada secara tradisional, mahupun terkini. Kaedah lama yang dimaksudkan
      termasuklah demonstrasi, penemuan, menyelesaikan masalah, kajian kes, sumbang saran, 
      projek,main peranan, forum dan KBKK. Kaedah terkini menonjolkan model kecerdasan 
      pelbagai, dengan tumpuan terhadap interpersonal, intrapersonal, visual-spatial, dan 
      linguistik.  Kaedah lain yang disarankan ialah ungkapan kreatif, kerusi panas, skema, 
      meramal, mentafsir dan bayangan minda. Turut dihuraikan ialah kaedah CoRT Thinking
      Programme yang diilhamkan oleh Edward de Bono. Penulis buku, Naffi Mat, pensyarah 
      pendidikan bahasa di UPM menggunakan contoh buku teks komsas tingkatan satu hingga 
      lima yang akan digunakan hingga tahun 2010. Menyedari bahawa teks komsas akan ditukar
      apabila tiba masanya, Naffi Mat lebih mengutamakan huraian konsep dan prinsip bagi
      setiap satu kaedah yang dibincangkan. Penggunaan contoh secara minimum bertujuan
      untuk menjelaskan aplikasi pedagogi komsas dalam genre yang berbeza: cerpen, drama,
      prosa tradisonal, puisi dan novel. Setiap kaedah dibincangkan secara berasingan supaya
      dapat diaplikasikan dalam aktiviti p & p mengikut keperluan. Naffi Mat turut 
      mencadangkan beberapa kaedah digunakan serentak untuk mencapai maksud 
      pembelajaran komsas, iaitu menghargai karya sastera dengan cara yang berkesan dan 
      menghiburkan, selain memenuhi hasrat yang terkandung dalam falsafah pendidikan 
      kebangsaan, dan kurikulum bersepadu sekolah menengah.
     
8    Nilai Pengetahuan / Pengajaran

      Buku ini banyak membantu guru mengulang kaji kaedah pedagogi secara umum, sebelum
      mempertimbangkannya dalam konteks amalan p & p di bilik darjah. Justeru buku ini ditulis
      oleh seorang ahli akademik yang mengkhusus dalam pendidikan bahasa, input 
      pengetahuan dan saranan pedagogi ialah himpunan teori, konsep, amalan dan pengalaman
      sebenar dalam mengendalikan aktiviti p & p komsas. Buku ini juga dapat membantu guru
      mengorganisasi semula amalan p & p dalam satu pakej yang lebih jelas dan terarah. Dalam
      kata lain, guru dapat menjenamakan kaedah pedagogi yang paling mirip dengan aktiviti
      p & p yang berlaku di bilik darjah selama ini. Kepada guru yang bukan pengkhususan 
      bahasa, buku ini sangat berguna sebagai panduan merancang p & p, selain meningkatkan
      kualiti penyampaian kepada murid. Buku ini juga boleh menjadi senarai semak panitia
      bagi memantapkan p & p komsas supaya dapat membantu murid menyelami degup
      jantung kehidupan masyarakat, cabaran, konflik, harapan dan impian mereka dalam 
      mencapai tahap kesejahteraan yang diinginkan.

9   Aplikasi Ilmu Dalam Organisasi / P & P

     Ilmu pedagogi ialah alat dan senjata yang sangat ampuh bagi semua guru dalam 
     menjayakan proses p & p. Maka, sejumlah 22 kaedah, model dan teknik yang dihuraikan
     dalam buku ini sangat relevan dengan matlamat menjadikan aktiviti p & p sebagai berkesan,
     menarik dan menyeronokkan. Guru yang mengajar komsas beroleh input yang mempunyai
     latar teori dan amalan terbaik pendidikan yang dihubung kait secara langsung dengan 
     komsas. Pendekatan lama dan baharu boleh diadunkan supaya kelainan dapat diserlahkan 
     ke arah menangkap imaginasi murid. Bagi memindahkan segala input dan saranan buku,
     lebih baik guru-guru yang mengajar komsas mengadakan sesi perbincangan formal dan 
     tidak formal bagi membuat padanan antara pilihan pedagogi dengan genre komsas yang 
     didapati serasi. Kejayaan sesuatu kaedah, model dan teknik pedagogi boleh diukur secara
     mata kasar apabila murid memberi perhatian, menunjukkan minat yang tinggi, mengambil 
     bahagian dalam aktiviti p & p, dan menunjukkan komitmen terhadap tugasan komsas.
     Berasaskan respons murid, guru boleh merujuk semula senarai semak yang tersedia.

Disediakan oleh,                                                       Disahkan oleh,

..............................................                          ...................................................
(                                                   )                              (                                                   )

No comments:

Post a Comment