Saturday, August 14, 2010

BERBUKA DI SURAU (BREAKING THE FAST TOGETHER)

Antara nikmat orang yang berpuasa ialah saat waktu berbuka. Sebaik azan Maghrib dikumandangkan, umat Islam disunatkan mengambil manisan, terutama buah kurma atau tamar barang seulas dua. Selepas meneguk air, mereka digalakkan bersegera menunaikan solat Maghrib yang singkat itu.
Buat ketika ini di Ipoh waktu berbuka puasa ialah sekitar pukul 7.31 petang. Masjid-masjid utama biasanya menganjurkan majlis berbuka puasa saban hari, manakala surau memilih hari tertentu. Jemaah akan hadir setengah jam lebih awal untuk bacaan zikir, doa dan tazkirah ringkas.
Majlis berbuka yang berkat dihadiri oleh anggota masyarakat yang kurang beruntung seperti anak-anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin, musafir, saudara baru, si bujang di perantauan dan pelajar yang tinggal berjauhan daripada ibu bapa. Bagi masyarakat tempatan, peluang ini menjadi medan untuk mengukuhkan semangat kejiranan dan persaudaraan. Kanak-kanak diberi pendedahan tentang adab menghadiri majlis yang melibatkan pelbagai peringkat usia.
Kanak-kanak menimba pengalaman beratur mengambil giliran untuk mendapatkan juadah berbuka puasa. Mereka dilatih supaya mengambil jumlah hidangan yang berpada-pada, serta tidak melupakan orang lain selepas mereka. Pendidikan tidak rasmi seumpama ini umpama melentur buluh dari rebungnya.
Makanan dinikmati dengan penuh rasa syukur. Ketika negara kita mewah dengan rezeki yang melimpah ruah, nun di negara-negara tertentu terdapat insan yang menderita kebuluran, kelaparan dan kehausan. Mereka juga tidak memiliki tempat berlindung yang selayaknya, selain terdedah kepada ancaman wabak penyakit...

No comments:

Post a Comment