Karangan respons tertutup bermaksud menulis karangan berpandukan bahan rangsangan yang disediakan dalam tugasan soalan. Semua peringkat peperiksaan, iaitu UPSR, PMR dan SPM menampilkan tugasan penulisan karangan berkenaan. Sepatutnya murid sekolah menengah atas telah memiliki kemahiran menulis yang diharapkan.
Namun, pengalaman lalu menunjukkan bahawa berharap sahaja tidak cukup. Bukan semua murid yang telah menerima pendedahan seawal sekolah rendah mampu mematuhi tugasan soalan karangan respons tertutup. Bahkan, karangan yang pada asalnya bertujuan membantu calon yang menggemari klu bertukar menjadi masalah kepada calon pintar dari sekolah ternama!
SMK St Michael, Ipoh (SMI) menyedari hal yang disebutkan. Murid tingkatan 5 yang bakal menduduki SPM perlu diberi bimbingan dan pengukuhan sehingga berupaya menulis karangan respons tertutup dengan mengambil kira peruntukan markah dan juga peruntukan masa. Guru berpengalaman dari SMK Dr Megat Khas, Encik Hishamuddin telah dijemput khas sebagai pemudah cara program kecemerlangan penulisan karangan anjuran bersama Unit Bimbingan dan Kaunseling, dan Panitia Bahasa Melayu SMI.
Soalan yang kerap dikemukakan oleh murid ialah dari segi had jumlah perkataan. Sebenarnya had 200 - 250 patah perkataan yang dinyatakan dalam soalan ialah bagi mengingatkan calon tentang kawalan peruntukan masa. Memadailah calon merangka tiga isi, di samping pendahuluan dan penutup.
Perenggan pengenalan cukup sekadar mengandungi tiga ayat. Pertama, perkenalkan tajuk. Kedua, beri gambaran am tentang tiga isi yang hendak ditulis. Kemudian, masukkan unsur kecindan seperti peribahasa atau kata hikmah.
Perenggan kedua, ketiga dan keempat khusus untuk setiap satu isi. Setelah menulis penyataan isi, penulisan diteruskan dengan menjelaskan maksud isi yang dipilih, contoh dan kaitkan semula dengan tugasan. Semua isi yang dipilih wajib berpandukan elemen bahan rangsangan.
Karangan respons tertutup umpama isi tersurat dalam rumusan, atau soalan aras petikan. Maka, calon tidak dikehendaki mengemukakan idea luar bahan rangsangan. Peruntukkan masa yang mencukupi bagi meneliti betul-betul bahan rangsangan yang diberi, asalkan tidak "mencuri masa" karangan respons terbuka pula...
No comments:
Post a Comment