Friday, September 10, 2010

CORAT-CORET LEBARAN (FESTIVE ANECDOTE)

10.9.10 = 1 Syawal 1431

Rasanya baru semalam memulakan Ramadan. Namun kini sebulan telah berlalu pergi. Syawal menjengah tiba, dan segala-galanya bagaikan sirna makin jauh dari kita.
Pemandangan bazar Ramadan hanya akan muncul setahun lagi. Tiada seorang pun tahu perkara yang bakal ditentukan oleh-Nya. Bandar gereja (Christchurch) di bahagian pulau selatan New Zealand tunggang terbalik dek gempa bumi (skala 7.1) yang tidak disangka-sangka.
Sebelum berakhir Ramadan, setiap umat Islam wajib membayar zakat fitrah (dalam nilaian tunai antara RM5 - RM8 seorang) kepada amil yang dilantik oleh pihak berkuasa. Kutipan akan diagih-agihkan kepada 8 asnaf, iaitu golongan yang ditentukan layak menerima zakat fitrah. Ibadah itu bertujuan menunaikan hak pemilikan kekayaan untuk dinikmati bersama-sama oleh golongan yang ditentukan oleh syarak, terutama yang kurang beruntung.
Pada hari terakhir Ramadan, tiada lagi solat tarawih. Sebaliknya, umat Islam disunatkan bertakbir raya hingga sebelum bermulanya solat sunat Aidil Fitri keesokan harinya. Inti pati takbir ialah memuji-muji keagungan Ilahi, di samping membangkitkan semangat juang umat Islam untuk terus mencapai kemenangan walaupun musuh tidak suka.
Kebetulan, sambutan hari raya kali ini jatuh pada hari Jumaat. Maka, dua kali umat Islam berhimpun di masjid: solat sunat Eidul Fitri dan solat fardu Jumaat. Bezanya, khutbah Aidil Fitri dibacakan selepas selesai solat, manakala fardu Jumaat dibacakan sebelum solat.
Keadaan ruang letak kenderaan masjid di desa menjadi padat dengan kehadiran pelbagai  model kereta bernombor pendaftaran perantau kota. Masing-masing sudah mencongak destinasi ziarah yang hendak ditujui. Kesempatan berkumpul dengan anggota keluarga jauh dan dekat tidak seyogia dilepaskan begitu sahaja.
Tradisi bermaaf-maafan diteruskan. Si cilik juga diasuh membiasakan diri supaya tidak berasa kekok kemudian hari. Ikatan kekeluargaan dan persaudaraan dieratkan lagi.
Amalan kunjung-mengunjungi memang menjadi tradisi di desa. Sudah pasti kanak-kanak ialah golongan yang paling gembira dengan berpakaian cantik, selain berharap mengumpul duit raya. Sambutan hari raya ialah motivasi bagi melatih si cilik menunaikan ibadah puasa berdasarkan keupayaan mereka.
Penghormatan terhadap golongan tua dilupa jangan. Tanpa mereka, siapalah diri kita! Mudah-mudahan aidil fitri tahun ini meningkatkan jati diri dan tahap taqwa masing-masing...

No comments:

Post a Comment