Wednesday, September 22, 2010

KERUNTUHAN MASYARAKAT BARAT (REVISITING THE EAST-WEST PENDULUM)

Masyarakat Barat mungkin gah dengan kemajuan teknologi, propaganda ketenteraan, hegemoni ekonomi dan dominasi media, tetapi mereka sebenarnya sedang mengalami krisis moral yang paling parah dalam sejarah peradaban pascamoden. Institusi kekeluargaan tidak lagi menjadi sendi keutuhan masyarakat mereka. Pergaulan bebas lepas, bersekedudukan dan perzinaan tidak lagi dipandang hina.


Ikatan perkahwinan hanya didaftarkan jika terdapat keperluan perundangan, perwarisan kekayaan dan insurans. Selebriti yang terang-terang berzina diangkat sebagai duta kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan kononnya menjadi pembela rakyat Palestin. Mereka digambarkan sebagai insan glamor yang baik hati, pemurah dan ikon pejuang hak asasi manusia.

Universiti berprestij seperti Oxford dan Cambridge mempunyai tradisi pelik yang menggambarkan kekontangan intelektualisme dan moral. Terdapat hari khas apabila profesor tersohor mereka, disertai pensyarah dan pelajar berkelakuan seperti haiwan yang tidak pernah mengenal pakaian. Walaupun tidak seratus peratus terbabit, derita kejahilan itu menyebabkan institusi yang diidami pelajar terbaik serata dunia itu tidak lagi layak dihormati.

Inteligen ekonomi mereka juga berlagak bagaikan perunding antarabangsa yang menawarkan bantuan khidmat nasihat kepada negara-negara miskin yang sebenarnya memiliki kekayaan khazanah bumi dan alam sekitar jika diurus oleh pemimpin yang ikhlas dan berjiwa rakyat. Hakikatnya, inteligen ekonomi Barat ialah penyangak yang bertujuan memperdaya pemimpin negara miskin yang terpukau dengan silap mata orang putih yang bertujuan jahat. Setelah berjaya dipujuk secara halus, negara miskin terkulai dalam rangkulan syarikat multinasional Barat yang dibawa masuk oleh intelegen tadi.
carta daripada muka surat 2

Doktrin keagungan kulit putih belum berakhir walaupun kebanyakan negara yang disebut sebagai kelompok dunia ketiga telah merdeka lebih lima dekad yang lalu. Kini, Barat kembali menggembleng kekuatan militari untuk menundukkan negara-negara yang cuba menghalang perancangan peta baharu dunia mengikut kehendak mereka. Afghanistan dan Iraq ialah contoh dua buah negara yang menjadi mangsa kerakusan Barat.

Namun, perubahan demografi yang menggoncang komposisi masyarakat Barat mungkin melemahkan langkah kemaraan pencerobohan Barat terhadap negara sasaran. Di Amerika Syarikat, bilangan imigran hispanik, Asia, timur tengah dan Afrika sudah hampir sama banyak dengan penduduk kulit putih. Fenomena yang serupa sedang berlaku di Australia dan Eropah.

Walaupun masyarakat Barat sedang membusuk dari dalam, tetapi masyarakat Asia dan Afrika hanya ternampak penampilan zahir masyarakat Barat yang mengkagumkan mereka. Masyarakat Asia dan Afrika tega membuang lambang budaya, jati diri dan nilai tradisi  sendiri, asalkan dapat bercakap, berfikir dan berkelakuan seperti orang putih. Gaya hidup hedonisme, serta pemikiran utilitarian menerpa masyarakat Asia dan Afrika bagaikan bah besar akibat pintu empangan yang sengaja dibuka...

No comments:

Post a Comment