Sunday, September 5, 2010

LAMBAIAN DESA MENJELANG LEBARAN (BACK TO TRADITION)

Sepasang remaja sedang berbual-bual tentang sambutan hari raya.
Promosi raya di Greentown Mall, Ipoh

Afi:  Mengapalah apabila tiba musim raya, mesti orang sibuk hendak balik kampung?

Beb:  Tentu ada istimewanya suasana kampung, jika dibandingkan dengan beraya di bandar.

Afi:   Bandar lebih meriah. Banyak rumah terbuka orang kenamaan dan selebriti!

Beb:  Bergantung kepada cita rasa dan pilihan anggota keluarga.

Afi:   Mula-mula jalan raya sesak, kemudian rumah datuk nenek pula tidak cukup bilik.

Beb:   Ada banyak pihak yang meraih untung. Permintaan bahan api petroleum meningkat. Pengendali tol tersenyum lebar.

Afi:   Bukankah pencemaran alam sekitar dan tekanan psikologi meningkat?

Beb:   Kalau itulah isunya, kita serahkan kepada pakar dan sarjana bidang berkenaan. Tentu ada jalan penyelesaiannya.

Afi:   Kenapa harus mencari masalah? Apa kata ubah minda masyarakat supaya memilih seminggu berpuasa di kampung, kemudian ajak datuk nenek beraya di bandar?

Beb:  Munasabah. Masyarakat melebih-lebihkan Syawal berbanding dengan ibadah puasa Ramadan.

Afi:   Ramadan hanyalah permulaan. Sepatutnya sifat pemurah dan sabar terus meningkat dalam bulan-bulan berikutnya.

Beb:   Di sana sini anak yatim menjadi rebutan majlis berbuka puasa. Harap-haraplah pada 11 bulan yang lain, mereka tetap diberi perhatian.

Afi:   Banyak lagi segmen masyarakat yang perlu dibantu, misalnya ibu tunggal, warga emas sebatang kara, orang kelainan upaya, fakir miskin dan pelajar pengajian tinggi yang kesempitan wang.

Beb:   Sebab itulah zakat fitrah diwajibkan kepada setiap individu Muslim tanpa kecuali. Semua kutipan akan disalurkan kepada asnaf yang ditetapkan supaya mereka juga dapat bergembira sempena eidul fitri.

Afi:   Satu lagi perkara yang agak tipikal. Mengapa media terlalu fokus kepada tema-tema syahdu semata-mata. Drama sedih, lagu sayu dan takbir raya yang mendayu-dayu. Mana semangat kemenangan Ramadan?

Beb:   Bab mentaliti memang mengambil masa untuk berubah. Mesti ada penulis skrip drama yang berjiwa besar, penulis lirik yang matang dan pemimpin dakwah yang berkesan.

Afi:   Terima kasihlah kerana sudi melayan saya berbual. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.

Beb:   Terima kasih kembali. Moga-moga ibadah Ramadan kita diterima, dan Syawal kita diberkati, insya-Allah...

No comments:

Post a Comment