Wednesday, September 15, 2010

LATIH TUBI BAHASA MELAYU 2 (SPECIMEN PAPER FOR BM PAPER SPM)



BAHASA MELAYU  Kertas  2                                                                           Masa:  2 jam 30 minit
                                                                                          
Jawab semua soalan.

Soalan 1:  Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan stesen televisyen di Malaysia dan kesan-kesan pengabaian bahasa Melayu dalam program televisyen. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Sepanjang 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, aspek perpaduan kaum, dan usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sentiasa menjadi agenda kritikal bagi mewujudkan persekitaran politik, ekonomi dan sosial yang kondusif.  Bagaimanapun timbul persoalan apabila kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapati kebanyakan stesen televisyen tidak mematuhi garis panduan penyiaran yang menetapkan sekurang-kurangnya 60 peratus program mesti dalam bahasa kebangsaan.

            Peranan televisyen sama ada stesen kerajaan atau swasta sangat besar kerana pengaruhnya yang kuat sebagai ejen memupuk perpaduan. Stesen-stesen televisyen perlu digerakkan supaya tidak meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan demi memenuhi komitmen dan tanggungjawab sosial. Menerusi program yang mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan, stesen televisyen sebenarnya menyumbang terhadap usaha untuk meningkatkan permuafakatan dalam kalangan rakyat.  

            Tidak dinafikan selaras dengan konsep ‘langit terbuka’ dan perkembangan teknologi, masyarakat harus diberikan ruang dan kebebasan untuk membuat pilihan terhadap saluran televisyen kegemaran mereka. Dengan khalayak penonton pelbagai kaum, stesen televisyen mungkin merasakan perlu ada saluran yang menyiarkan program untuk kaum-kaum tertentu bagi mencatat jumlah penonton yang besar. Dengan itu stesen berkenaan dapat menarik sebanyak mungkin pengiklanan sebagai sumber pendapatan utama. Apatah lagi penonton Malaysia bersikap terbuka dengan tidak mengehadkan tontonan terhadap program berbahasa ibunda sendiri semata-mata.

            Di samping menyediakan hiburan kepada masyarakat, stesen-stesen televisyen perlu memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat yang selari dengan aspirasi negara menerusi kandungan program yang disiarkan. Untuk itu, penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu konsisten. Bidang kuasa Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi yang menjaga stesen swasta patut diselaraskan dengan Kementerian Penerangan yang bertanggungjawab terhadap stesen penyiaran kerajaan.

            Stesen televisyen tidak kira kerajaan atau swasta mesti mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan. Tindakan tegas mesti diambil jika terdapat bahan atau kandungan penyiaran yang bercanggah dengan mana-mana peruntukan dalam akta berkenaan. Stesen televisyen mesti mendahulukan pertimbangan aspirasi negara dan tidak seyogia semata-mata mahu memikirkan keuntungan dan komersial. Maka, stesen televisyen dapat memainkan peranan sebagai wahana pembinaan masyarakat yang mengutamakan jati diri dan patriotik menerusi penggunaan bahasa kebangsaan sepertimana yang disyaratkan.

           
(Diubahsuaikan daripada Stesen TV Wajar Patuh Garis Panduan
dalam Rencana Pengarang,
  Utusan Malaysia, 12 April 2007)





Soalan 2:  Pemahaman

Soalan 2(a)  Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)
Berikan maksud rangkai kata agenda kritikal.                                                    [2 markah]
                                                    
(ii)
Mengapakah ada stesen televisyen yang menyiarkan proram untuk kaum-kaum tertentu?                                          
[3 markah]

(iii)
Tindakan tegas terhadap stesen televisyen yang bercanggah dengan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia sukar dilakukan.

Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menghalang tindakan tegas itu?.                                               
                                      [4 markah]

Soalan 2(b)  Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Zel, ma tak pernah halang Zel daripada berjumpa abah. Itu abah Zel. Tetap begitu untuk selamanya. Jangan Zel fikir yang bukan-bukan antara ma dan abah. Itu urusan kami. Apa yang penting, ma hendak lihat hubungan Zel dengan abah, hubungan Zel dengan mama masih seperti dulu.”
Mama!
Aku pernah mendakap mama erat lantas mengucup tangan sejuk mama apabila kata-kata itu menghanyutkan aku ke alam keharuan. Rasanya aku ingin sentiasa dalam pelukan keibuan mama yang tersangat kurasakan darjah perlindungannya. Siapakah aku tanpa mama? Di manakah aku tanpa mama? Bagaimanakah aku tanpa mama?
“Kita harus buktikan kepada semua orang yang kita boleh terus survive tanpa lelaki dalam hidup. Ma bukan hendak mempengaruhi Zel agar menafikan akan kewujudan lelaki dalam hidup Zel. Buktinya ma tak pernah larang Zel daripada berjumpa dengan abah. Tapi dalam keadaan yang menghimpit dan kita terasa dihimpit oleh peristiwa yang berlaku, kita wajar bersikap optimistik: kita mesti kuat untuk terus hidup, untuk terus berjaya. Ma hampir dapat buktikan yang ma dapat teruskan hidup, dapat mencipta kejayaan, dapat didik Zel, hingga kini Zel hampir dapat melanjutkan pelajaran ke U.K. Ma bangga dengan kejayaan kita. Ma bangga dengan Zel, sayang.”
Aku hampir terkedu. Pernah dulu sebakku berbaur dengan perasaan yang menghenyak pundak apabila ma menyongsong kotak Apple Macintosh Powerbook 165c dengan berat kurang lebih 3 kg pada 27 Februari lepas.
“Ini bukan hanya lambang kasih sayang ma pada Zel sempena hari lahir Zel. Tapi ma mahu lambang kecanggihan ini dapat Zel jadikan gerakan untuk terus berjaya dalam pelajaran, dalam hidup. Selamat hari lahir, sayang mama.”
(Dipetik daripada cerpen
            Virus Zel untuk Abah oleh Mawar Shafie
dalam Antologi Kerusi,
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006)
           
(i)
Nyatakan perkara-perkara yang hendak dibuktikan oleh mama.                         [2 markah]
                                                   
(ii)
Andaikan anda ialah Zel, adakah anda akan berusaha supaya mama dan papa kembali bersatu sebagai suami isteri? Mengapa anda membuat pilihan berkenaan?
                                               [3 markah]

(iii)
Jelaskan satu nilai berdasarkan petikan cerpen di atas dan satu nilai lain yang terdapat dalam cerpen ini.                                                                                                                                                                                                                   [4 markah]



  
Soalan 2(c)  Petikan Prosa Klasik

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

       Maka segala makmum pun takbirlah. Baharulah imam membaca fatihah, maka sipahi keempat itu pun datanglah lalu diparangnya leher jauhari itu putus terpelanting pada kaki Jibor itu. Maka Jibor pun terkejut lalu ia melompat. Maka segala orang yang sembahyang itu pun habis pecahlah lari. Maka sembahyang itu pun menjadi batallah, sekalian makmum itu pun pecah belah, tiada ketahuan, hanya yang tiada batal itu imam dengan Sabor juga. Setelah tamatlah sembahyang kedua mereka itu, maka Sabor pun baharulah tahu akan fitnah itu daripada Saidah juga.

      Maka Jibor pun terlalu hairan melibat Sabor tiada mati itu, sekonyong-konyong akan jauhari juga mati, maka adalah ia berdosa dari dahulu dengan Siti Saidah itu; sebab itulah mati. Maka lalu Jibor pun berfikir dalam hatinya, “takut benar juga saudaraku Sabor itu; maka ia dilepaskan Allah subhanahu wataala daripada bala ini.”

      Maka segala keluarga jauhari pun datanglah dengan keris lembingnya mari bertanya kepada Jibor. Maka kata Jibor, “Tiadalah hamba ketahui.”


(Dipetik daripada Hikayat Bayan Budiman
Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1966)



(a)   Apakah maksud habis pecahlah lari.
[2 markah]
(b)   Bilakah peristiwa pemancungan kepala Jauhari itu berlaku? Apa  pula  yang  berlaku
        sebaik sahaja kejadian itu berlaku?
[3 markah]

(c)   Pada  pendapat  anda,  apakah  yang  patut  dilakukan  oleh  Sabor setelah terselamat
       daripada komplot pembunuhan itu?
[3 markah]

 

 Soalan 2(d)  Petikan Puisi

        Baca petikan puisi di bawah ini dengan teliti dan jawab soalan berikutnya dengan
        menggunakan perkataan sendiri.






 Soalan 3 : Pengetahuan Berbahasa dan Kemahiran Tatabahasa

[30 markah]

(a)
Tulis satu ayat bagi setiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah ini supaya jelas menunjukkan perbezaan maknanya. Anda tidak boleh menambah  imbuhan, menukar imbuhan, atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa.






(i)
cucuk
--
   cocok


(ii)
kecindan
--
   kecundang


(iii)
tetas
--
   tuntas

[6 markah]


(b)  
Dalam ayat-ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.


(i)
Penyampai popular stesen radio swasta yang sering dihujani panggilan talipon itu dikenalkan sebagai Luna Fauzini.


(ii)
Guru displin terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang didapati terlanggar peraturan sekolah.


(iii)
Setiap minggu ibu akan membeli murtabak di pasar tani yang merupakan makanan penggemaran ayah.


       [6 markah]


(c)  
Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan tatabahasa dan satu kesalahan penggunaan kata. Kenal pasti  kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.


(i)
Kebanyakan penduduk-penduduk Kampung Kepayang berasa tergugat dengan aktiviti lumba haram pada waktu malam.


(ii)
Gerai menjual goreng pisang di tepi jalan itu mencuri tumpuan pekerja yang baru balik dari pejabat.


(iii)
Berbagai helah cuba diberikan oleh pemandu remaja itu apabila diserbu dalam satu operasi sekatan jalan raya.


[6 markah]


(d)  
Sambung ayat-ayat pendek dalam petikan di bawah ini supaya menjadi tiga ayat tanpa mengubah susunan makna asal ayat-ayat tersebut




Pengembaraan yang ditempuh oleh mereka sungguh mencabar. Pengembaraan itu memakan masa yang panjang. Mereka yang mengikutinya berasa sungguh letih. Mereka sedar bahawa para anggota terdedah kepada encaman binatang buas. Mereka terdedah juga kepada keadaan cuaca yang buruk pada musim hujan itu. Pelbagai masalah dihadapi oleh mereka. Para pengembara itu tidak berputus asa. Mereka ingin mencipta sejarah baru dalam pengembaraan di hutan hujan tropika itu.

  [6 markah]


(e)
Berikan peribahasa yang sesuai untuk setiap situasi di bawah.


i.
Pemimpin negara sering mengingatkan bahawa perpaduan merupakan benteng keselamatan negara, manakala keadaan pecah belah mendedahkan negara kepada penjajahan semula.

ii.
Seorang pengurus sebuah bank di ibu kota telah bertindak nekad merompak banknya sendiri tengah malam kelmarin.

iii.
Pasangan mempelai itu kelihatan sepadan, serasi dan memiliki banyak persamaan sehingga menerima ucapan tahniah yang tidak putus-putus.





Soalan 4: Novel

[15 markah]

Jawab soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel-novel yang anda pelajari.

(i)                 Terminal Tiga karya Othman Puteh
(ii)               Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusof
(iii)             Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv)             Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v)               Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi)             Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah
(vii)           Julia karya Abu Hassan Morad
(viii)         Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad


(a)    Huraikan dua konflik yang dihadapi oleh watak utama dalam sebuah novel yang anda pelajari.
[7 markah]

(b)
Persoalan tentang kesanggupan melakukan pengorbanan turut dikemukakan oleh pengarang dalam sesebuah novel.

Huraikan peristiwa yang menunjukkan perihal pengorbanan dalam dua buah novel yang anda pelajari.

[8 markah]



 
KERTAS SOALAN TAMAT





      PERANCANGAN JAWAPAN 
    LATIH TUBI BAHASA MELAYU 2

Soalan 1 : Rumusan ( 30 markah )

P
Petikan tentang kepatuhan / kepentingan stesen televisyen di Malaysia dalam menjayakan dasar / aspirasi negara / penggunaan bahasa kebangsaan
2



S1
sebagai ejen memupuk perpaduan
2
S2
mengutamakan  /  tidak meminggirkan  penggunaan bahasa kebangsaan
2
S3
(menyumbang terhadap usaha, optional) meningkatkan permuafakatan dalam kalangan rakyat
2
S4
menyediakan hiburan kepada masyarakat
2
S5
menyebarkan maklumat (yang selari dengan aspirasi negara)
2
S6
mematuhi peraturan dan syarat (yang ditetapkan)
2
S7
mendahulukan pertimbangan aspirasi negara / tidak semata-mata memikirkan keuntungan / komersial
2
S8
sebagai wahana pembinaan masyarakat (yang mengutamakan jati diri / patriotik)
2



T1
bahasa kebangsaan / bahasa Melayu tidak lagi dihormati
2
T2
mempengaruhi generasi muda tidak lagi berbangga dengan warisan bangsa
2
T3
kedudukan bahasa Melayu dipersendakan (dalam media)
2
T4
pengacara / tetamu program (televisyen) malu / rendah diri untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan
2
T5
kebanjiran produk luar / asing dalam siaran televisyen tempatan
2



K
Kesimpulannya, stesen televisyen di Malaysia hendaklah membantu dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan supaya negara terus kekal aman /  bahasa Melayu didaulatkan.
2

Nota:
1
Dikira setakat 120 patah perkataan; jika lebih beberapa perkataan, pertimbangan hanya untuk melengkapkan makna ayat setakat mendapat markah 1, 2 yang mana terdahulu
2
Bagi S (maksimum 12 markah) dan T (maksimum 12 markah), calon boleh mengumpul gabungan  maksimum 16 markah. ( 12 markah tidak semestinya berdasarkan 6 isi, tetapi mungkin 8 isi)
3
Tersirat: jawapan lain / contoh jika berkaitan boleh dimasukkan dalam mana-mana T.
5
Kesimpulan: mesti ada dua elemen, dan dikaitkan dengan tugasan soalan; tidak boleh mengambil S
6
Markah bahasa = separuh markah Isi (boleh + @ -  1m, beri pertimbangan terhadap kesilapan bahasa)



Soalan 2:  Pemahaman  ( 35 markah )
2a :  Petikan Umum



(i)
perkara penting / hal yang diberi keutamaan / tumpuan mustahak / tuntutan istimewa
2



(ii)
-          bagi mencatat jumlah penonton yang besar
-          menarik sebanyak mungkin pengiklanan (sebagai sumber pendapatan utama)
-          penonton Malaysia bersikap terbuka / tidak mengehadkan tontonan terhadap program berbahasa ibunda sendiri semata-mata
1
1
1



(iii)
-          hubungan rapat pemilik stesen televisyen dengan pembuat dasar / kerajaan
-          pemantauan yang longgar / pengumpulan bukti yang sambil lewa
-          kurang bantahan / aduan penonton / sikap penonton yang tidak ambil kisah
-          tatacara / prosedur perundangan yang rumit / memakan masa
-          mutu penerbitan produksi tempatan masih rendah
-          alasan globalisasi
2
2
2
2
2
2
maksimum 4 markah

2b:   Petikan Cerpen




(i)
-  wanita boleh “survive” / meneruskan hidup (tanpa lelaki)
-  wanita wajar (bersikap) optimistik
-  dapat mencipta kejayaan
-  dapat mendidik Zel
1
1
1
1

maksimum 2 markah




(ii)
Pilihan 1: saya  akan berusaha menyatukan papa dan mama
-          saya mahukan sebuah keluarga yang bahagia
-          saya yakin bahawa jalinan kasih sayang papa dan mama boleh dipulihkan
-          saya tidak mahu dipandang serong / dipandang rendah oleh rakan-rakan
-          saya tidak sanggup melihat mama hidup keseorangan / menjanda / tanpa suami

Pilihan 2:  saya tidak akan berusaha menyatukan papa dan mama
-          saya menghormati pendirian mama
-          saya mahu papa sendiri yang berusaha / bukan urusan saya
-          saya tidak mahu mama dibelenggu pengalaman pahit buat kali yang kedua
-          papa dan mama sudah lama berpisah / keserasian dahulu sukar dikembalikan
maksimum 3 markah

(Perhatian: calon hanya boleh membuat satu pilihan, tidak boleh digabungkan; jika berlaku penggabungan pilihan, markah yang lebih tinggi sahaja yang diambil kira)






(iii)
nilai dalam petikan:
ketabahan / kesabaran / tidak putus asa: mama sanggup meneruskan hidup bersendirian (selepas berpisah)
kasih sayang :  mama sentiasa mengambil berat / memberi nasihat kepada Zel / memberi hadiah sempena hari lahir
tolak ansur / toleransi: mama tidak menghalang Zel berhubungan dengan abah


nilai dalam cerpen:
perikemanusiaan / simpati: Win, sahabat Zel sentiasa menenangkan Zel supaya bertindak betul

2

2
2



2

kegigihan / ketekunan:  Zel berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam pelajaran
2

ketegasan / tetap pendirian: mama berpegang teguh kepada asas kehidupan – tauhid, ibadah, jaga aurat
2

bersangka baik:  mama menganggap abah dan Aunt Pah sebagai pendidik yang berjaya, /
                           cuma Abang Awi, Aman dan Arif belum cukup matang

2

maksimum 4  markah


(catatan: nilai dalam cerpen tidak boleh dijadikan nilai petikan, dan sebaliknya)




2c:  Petikan Prosa Klasik



(i)
 semuanya bertempiaran /  bubar sepenuhnya /  meninggalkan tempat serta-merta
2



(ii)
berlaku ketika imam baharu membaca fatihah
1

leher jauhari itu putus terpelanting pada kaki Jibor
1

Jibor terkejut lalu melompat
1

segala orang yang sembahyang lari tidak ketahuan
1



maksimum 3  markah (1 untuk “bila”, 2 untuk “apa yang berlaku”)



(iii)
-          mengadukan peristiwa pembunuhan kepada pihak atasan /  mendedahkan dalang pembunuhan kepada pihak atasan
-          menjelaskan kepada keluarga jauhari bahawa jauhari menjadi korban salah faham
-          menasihatkan Jibor supaya bertaubat / menyerah diri kepada pihak atasan / membayar ganti rugi kepada keluarga jauhari
-          meninggalkan rumah Jibor dengan serta-merta
-          sujud syukur kerana usia masih panjang

1
1

1
1
1

maksimum 3  markah



Soalan 2d:  Petikan Puisi



(i)
mengambil pengajaran / iktibar daripada kejadian / fenomena alam
2



(ii)
menurut kehendak hati :  pengarang tidak mempedulikan halangan / ancaman
2

putus harapan: gadis idaman telah hilang kesucian / tidak berseri lagi
2

usaha yang bersungguh-sungguh: pengarang menggunakan segala peluang yang ada untuk
                                                      mencapai kejayaan

2

kehilangan tempat bergantung: pengarang menggambarkan keadaan tenggelam punca /
                                                  ketiadaan arah setelah pihak yang diharapkan telah hilang

2

maksimum 4  markah




(iii)
wajar:
-          saya mesti tegas / teguh dalam pendirian supaya harga diri terpelihara
-          saya sanggup menempuh apa-apa jua cabaran bagi memenuhi impian saya
-          saya berpendapat dugaan / halangan untuk melakar kejayaan adalah lumrah kehidupan
-          saya hanya menurut kehendak hati yang munasabah / berpandukan akal yang waras


1
1
1
1

tidak wajar:
-          kehendak hati biasanya didorong oleh hawa nafsu / pertimbangan yang singkat
-          saya tidak mahu menempah bahaya / pasti ada jalan penyelesaian lebih baik
-          saya tidak mahu mencipta musuh baru / semata-mata mempertahan ego
-          saya tidak mahu bertindak terburu-buru / membuat perkiraan yang salah

1
1
1
1

maksimum 3  markah (pilih hanya satu kumpulan pendapat)



Soalan 3:  Pengetahuan Berbahasa dan Kemahiran Tatabahasa
3a:  menulis ayat


perkataan
makna
Kamus Dewan IV
(i)
cucuk
sesuatu yang tajam yang digunakan untuk menusuk, suntik (memasukkan ubat ke dalam badan), penjodoh bilangan untuk barang yang ditusuk dengan lidi

hal. 292

cocok
sesuai benar, kena benar, sepadan, setuju, bersefahaman, sama benar, tidak berbeza, tepat, betul,  suka
hal. 284
(ii)
kecindan
gurau senda, jenaka, kelakar, lawak
hal. 700

kecundang
gagal, kalah, tewas; hasutan
hal. 701; 295
(iii)
tetas
memotong / membelah supaya terbuka, keluar daripada telur, pecah dan terbuka kulitnya
hal. 1677

tuntas
tidak mengalir lagi (kerana sudah habis dicurahkan), habis (air mata), meliputi (hampir segala-galanya), menyeluruh, sempurna, komprehensif, singkat dan tegas
hal. 1743

Nota:
  1. 0 markah jika berlaku penambahan imbuhan pada perkataan yang diuji, digunakan sebagai nama khas, peribahasa, atau kata ganda.
  2. Ayat yang kelihatan seperti dua ayat (terdapat penanda wacana) diberi ½ markah sahaja.
  3. Kesalahan bahasa tolak ½ daripada keseluruhan soalan
4    Ayat bersifat pentakrifan.
5.   Jika ayat cakap ajuk mesti betul tanda bacanya.

3b:  Kesalahan ejaan / imbuhan

ayat
salah ejaan
pembetulan
salah imbuhan
pembetulan
(i)
talipon
telefon
dikenalkan
dikenali
(ii)
displin
disiplin
terlanggar
melanggar
(iii)
murtabak
martabak
penggemaran
kegemaran

3c:   Kesalahan tatabahasa / penggunaan kata

ayat
salah tatabahasa
pembetulan
salah istilah
pembetulan
(i)
kebanyakan penduduk-penduduk
kebanyakan penduduk
tergugat
terganggu
(ii)
goreng pisang
pisang goreng
mencuri
menjadi
(iii)
berbagai helah
berbagai-bagai / pelbagai
diserbu
ditahan


3d:  sambung ayat

1
Pengembaraan yang ditempuh oleh mereka sungguh mencabar kerana / justeru memakan masa yang panjang dan mereka yang mengikutinya berasa sungguh letih.
2
Mereka sedar bahawa para anggota terdedah kepada ancaman binatang buas dan juga kepada keadaan cuaca yang buruk pada musim hujan itu.
3
Walaupun / meskipun pelbagai masalah dihadapi oleh mereka, para pengembara itu tidak berputus asa kerana / justeru mereka ingin mencipta sejarah baru dalam pengembaraan di hutan hujan tropika itu.

Catatan:  setiap ayat majmuk diberi 2. Penggunaan kata hubung / penanda wacana yang 
                 lain diterima jika setara.

3e:   Peribahasa

i.
bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
2
ii.
harapkan pagar, pagar makan padi
2
iii.
bagai / seperti pinang dibelah dua
2




Soalan 4:  Novel

4a: Konflik watak utama

Perlumbaan Kedua

  1. Tuk Kura memikirkan tentang cabaran Sang Arnab untuk mengadakan perlumbaan kedua dengan suku sakatnya. Tuk Kura tidak menyangka perlumbaan datuk moyangnya dahulu akan diungkit kembali.

  1. Persoalan yang dikemukakan oleh Sang Kancil mengenai keputusan Sang Arnab yang menimbulkan konflik dalam diri Tuk Kura.

  1. Tuk Kura memikirkan tentang kesukarannya jika perlumbaan diadakan di kawasan padang yang banyak lalang dan duri-duri. Semua ini menghalang pergerakannya dalam menghadapi persaingan dengan Sang Arnab.

-          Pilih mana-mana dua jawapan.

Julia

  1. Konflik Julia dengan ibu bapanya apabila ibu bapa Julia mengambil keputusan menghantarnya belajar di Hidayah Islamic College Australia. Tujuan Datuk Bakar dan Datin Maznah adalah supaya Julia berubah sikap yang suka membuang masa (berfoya-foya). Timbul konflik dalam jiwa Julia bahawa dia belum bersedia menerima perubahan tersebut.

  1. Konflik Julia dengan Rashid.
-          Apabila Rashid sering mendesaknya agar keluar berfoya-foya bersamanya dan kawan-kawan mereka. Julia menjadi tidak keruan. Tambahan pula Rashid mengugut akan mendedahkan sejarah silamnya jika tidak mahu keluar bersamanya.

  1. Konflik Julia Syed Mustaffa.
-          Apabila Syed Mustaffa mendesaknya menyerahkan butik BMPRO kepadanya. Walau bagaimanapun usaha Syed Mustaffa gagal.

-     Pilih mana-mana dua jawapan

(markah isi = maksimum 4; markah bahasa = maksimum 3)


Soalan 4b:  persoalan kesanggupan melakukan pengorbanan

Perlumbaan Kedua

Watak utama: Tuk Kura
-          Tuk Kura sanggup menjalani latihan yang lasak  walaupun usianya hampir 200 tahun.
-          Tuk Kura sanggup menerima cacian daripada suku sakatnya asalkan maruah bangsa terpelihara.
-          Tuk Kura sanggup berlumba dengan Sang Arnab Putih yang masih muda.
-          Tuk Kura sanggup mengambil risiko dengan melantunkan dirinya dari puncak bukit.
-          Jawapan lain yang bersesuaian boleh diterima.

Julia

Watak utama: Julia
-          Julia sanggup berhenti pengajian untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
-          Julia sanggup menerima jawatan sebagai ketua syarikat walaupun tiada pengalaman dan pengetahuan tentang perniagaan.
-          Mengorbankan masa remajanya untuk menumpukan usaha memulihkan perniagaan syarikat arwahnya yang merosot ketika itu.
-          Sanggup menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Banting untuk memastikan dakwaan En. Baharom yang mengatakan syarikatnya mengalami kemerosotan.
-          Sanggup menyerahkan butik kepada Umi Sarah demi menjaga hubungan kekeluargaan.



(nota 4b:  jawapan untuk watak selain watak utama diterima;
markah isi maksimum 6 markah, iaitu 1 markah pernyataan, 2 markah contoh peristiwa;
calon hanya perlu mengemukakan satu isi bagi setiap novel;
markah bahasa minimum 1, maksimum 2.


PERANCANGAN JAWAPAN TAMAT

No comments:

Post a Comment