Sunday, September 19, 2010

MELISSA: EPISOD CINTA IMBAS KEMBALI (MAY 13TH RECALLED)

Pengenalan

Barangkali pembaca cerpen "Melissa" karya sasterwan negara, Abdullah Hussain akan berasa keliru, tetapi teruja, gembira, dan mungkin sedikit hairan dengan keputusan yang diambil oleh Melissa terhadap nasib cintanya yang baru berputik semula. Pemilihan kata (diksi) dan ungkapan yang begitu menangkap imaginasi pembaca seperti "suatu gimik mahu memancing kemesraan" menggambarkan ketokohan pengarangnya. Para pembaca menjadi asyik dan larut dalam penceritaan seolah-olah menyaksikan setiap peristiwa di hadapan mata.

"Mellisa" ialah cerpen kedua terakhir dalam antologi "Harga Remaja" (halaman 153 - 172) sebelum "Biarkan Samudera". Melissa ialah watak seorang gadis Cina yang tidak pernah melupai kenangan zaman kanak-kanaknya, terutama "cinta" terhadap hero pertamanya yang bernama Hisyam. Malangnya, peristiwa 13 Mei 1969 telah memisahkan Melissa dengan Hisyam buat selama-lamanya.

Hisyam begitu mempengaruhi setiap keputusan hidup Melissa. Perhatikan ilustrasi Mellisa pada halaman terakhir, lengkap berpakaian tentera dan memegang erat senapang dengan muncung yang dihalakan ke bawah. Bidang pengajian sejarah yang dipilih oleh Melissa juga tidak terlepas daripada pengalaman zaman kanak-kanaknya bersama Hisyam.

Melissa si anak kecil

1    Ketika bermain pondok-pondok, Melissa berlagak sebagai isteri olok-olok kepada Hisyam. Malah, Melissa senang apabila Hisyam berkata, "Nanti apabila aku sudah besar aku akan kahwin dengan kau."

2   Melissa setia menunggu kelibat Hisyam yang menuju ke masjid untuk solat Maghrib. Melissa hanya masuk ke dalam rumah setelah saling berbalas lambaian, dan sesusuk tubuh "cinta benar"nya itu lesap dalam perkarangan masjid.

3   Melissa berasa bangga dengan tindakan Hisyam yang berani menumbuk anak seorang diplomat Inggeris berusia 7 tahun hingga terlentang di tanah kerana memegang tangan Melissa. Tindakan Hisyam persis seorang wira yang sentiasa melindungi insan yang amat dicintai.

No comments:

Post a Comment