Sunday, October 17, 2010

ANALISIS SAJAK "ADAT SEZAMAN" (MORAL DECADENCY IN THE EYE OF THE OLDIES)

Untaian puisi moden 23 baris karya Wan Nazihah Wan Abdullah ini dimuatkan dalam antologi "Harga Remaja" bertemakan kekesalan generasi lama (tua) terhadap gelagat teruna dara moden yang bergaul bebas. Penyajak menyanjung kesantunan anak dara dan kewarakan anak teruna zaman dahulu. "Si tua" digambarkan sebagai berduka lara dengan sikap mengenepikan adat sezaman dan adat agama, sebaliknya teruna dara moden mendewa-dewakan adat kuning (pengaruh hedonisme Barat).

Penyajak memuji teruna dara zaman dahulu menerusi bait-bait di bawah;

Peradaban zaman semakin berlalu
meninggalkan kesan mendalam
      terlalu indah apabila dipandang
      terlalu mulia apabila diselidik
santun si dara jadi idaman
warak si teruna jadi ikatan
      si tua tersenyum mesra
      memandang teruna dara
      sama cantik sama padan
      berganding bersama
      di singgahsana ...

Namun, masa telah mengubah segala-galanya. Penyajak mengungkapkan:

Masa itu telah jauh
zaman sudah berlalu
      santun sang dara
      dan warak sang teruna telah lenyap


Keadaan itu menghibakan hati golongan tua. Penyajak memberi gambaran:

si tua berduka lara
memandang teruna dara
berganding tanpa silu
       tanpa hormat
       tanpa batasan


Penyajak akhirnya membuat kesimpulan berikut:

adat sezaman ditinggal jauh
adat agama dipandang remeh
adat kuning jadi ikutan.


Contoh soalan:
Aras petikan


i    Apakah yang menyebabkan si tua tersenyum mesra?  (2 markah)

    Si tua tersenyum mesra kerana memandang teruna dara yang sama cantik sama padan berganding bersama di singgahsana.


ii   Mengapakah si tua berduka lara?    (2 markah)

     Si tua berduka lara kerana memandang teruna dara berganding tanpa silu, tanpa hormat dan tanpa batasan.


Aras KBKK


iii   Pada pendapat anda, mengapakah generasi muda meninggalkan adat sezaman?    (3 markah)

    Pada pendapat saya, generasi muda meninggalkan adat sezaman kerana mereka tidak menerima pendedahan tentangnya, tiada contoh daripada ibu bapa dan masyarakat, serta mereka berasa bahawa adat sezaman sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.


(Nota: jawapan hendaklah berfokus kepada adat sezaman sahaja, tidak dikaitkan dengan faktor lain seperti pengaruh media, rakan sebaya dan lain-lain)


iv   Bagaimanakah nilai murni adat sezaman dapat dihidupkan semula dalam kalangan generasi muda mengikut pendapat anda?   (3 markah)

      Nilai murni adat sezaman dapat dihidupkan semula dengan cara menerapkannya dalam proses pembelajaran di sekolah. Selain itu, pihak media massa perlu menonjolkan kebaikan nilai murni adat sezaman secara hikmah. 


v   Bersetujukan anda bahawa adat kuning menjadi ikutan generasi muda sekarang? Beri alasan anda.  (4 markah)

       Saya tidak bersetuju generasi muda sekarang terikut-ikut dengan adat kuning, iaitu pengaruh Barat. Sebahagian besar generasi muda tetap mementingkan maruah bangsa dengan bertungkus-lumus dalam pelbagai bidang ilmu. Tambahan pula, bilangan anak muda yang mengikut adat kuning terlalu diperbesar-besarkan, sedangkan tiada statistik perbandingan menjadi bukti.


Aras Komsas


vi   Jelaskan dua nilai murni dalam sajak.     (4 markah)


     Nilai murni yang pertama ialah sopan santun. Contohnya teruna dara tidak akan bergaul bebas jika tiada ikatan perkahwinan. Nilai murni yang kedua ialah ketaatan terhadap agama. Teruna dahulu digambarkan sebagai warak, iaitu menghayati ilmu agama yang dimiliki.

No comments:

Post a Comment