Tuesday, November 30, 2010

GURU CEMERLANG DG 48 KE SEKOLAH RENDAH (UPGRADING TEACHING AT ELEMENTARY SCHOOLS)

Salah satu usaha memperkasa sekolah kebangsaan (SK) ialah menawarkan tenaga pengajar yang berkelayakan tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Proses pensiswazahan guru SK sedia ada masih berterusan, manakala guru pelatih SK yang kini menuntut di institut perguruan seluruh negara semuanya mengikuti kursus peringkat ijazah asas. Selain itu, semua guru SK juga diberi pendedahan yang mencukupi bagi melaksanakan kajian tindakan sebagai upaya menerokai amalan terbaik aktiviti bilik darjah dan luar bilik darjah.

Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah memulakan proses lantikan guru cemerlang (GC) gred DG 48 di sekolah rendah mulai tahun 2011. Buat permulaan, sebahagian guru yang dilantik itu berada pada gred DG 44, serta sedang bertugas di sekolah menengah. Walaupun perlu mengubah suai peranan kerana berhadapan dengan murid yang lebih kecil dari segi saiz dan usia, GC yang dilantik bakal menggalas tanggungjawab bagi merealisasikan hasrat menjadikan SK sebagai pilihan pertama ibu bapa, berbanding dengan sekolah vernakular seperti SJKC dan SJKT.

Cabaran yang bakal dilalui oleh GC DG 48 di persekitaran SK tidak akan kurang hebatnya. Buat masa sekarang, gred perjawatan mereka mengatasi semua guru senior SK, termasuk guru besar. Persepsi tentang sumbangan GC tidak dapat tidak bakal menjadi bahan bualan dan gosip di SK.

Namun, GC haruslah cekal dan tabah bagi membuktikan bahawa kepercayaan yang diberi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bukanlah semata-mata proses naik pangkat. GC memiliki kelebihan (x-factor) hingga melayakkan mereka menikmati laluan pantas kenaikan pangkat tanpa menunggu tangga gaji maksimum pada sesuatu gred. GC, dengan kerjasama dan sokongan guru-guru SK yang sedia ada, bakal melonjakkan imej SK dari segi pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pencapaian.

Di Lembah Kelang, banyak guru SK yang berkelulusan sarjana, sambil ada yang sedang menyiapkan ijazah doktor falsafah (Ph.D) di kampus yang berdekatan. GC pula memiliki pengalaman pedagogi dan proses dokumentasi yang kemas. Kelebihan kedua-dua kumpulan guru ini, dengan sokongan padu pentadbiran dan warga guru SK yang lain, mempercepat pemerkasaan SK sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak yang bertaraf dunia.

Pentadbiran dan guru-guru SK yang sedia ada patut berasa bertuah menerima kehadiran GC 48 di sekolah masing-masing. Di sekolah menengah berasrama penuh sekali pun belum tentu ada guru gred DG 48 selain pengetuanya sahaja. Gred perjawatan bukanlah satu bentuk kasta, sebaliknya hendaklah dipandang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan seseorang penjawat awam.

Perjuangan memperbanyak jawatan GC telah dipenuhi oleh pihak kerajaan. Kini tibalah pula masanya untuk GC yang menerima lantikan mengatur langkah supaya dalam jangka masa panjang, SK mampu diperkasakan sebagai pilihan utama ibu bapa ke arah perpaduan nan sejati. Peranan Majlis Guru GC kini makin mencabar dengan wujudnya segmen GC yang ditempatkan di SK...

CALON EKONOMI MENURUN, PENCAPAIAN MENINGKAT (LESS CANDIDIDATES, BUT BETTER ACHIEVEMENT)

Tahun ini ialah tahun kedua akhir format STPM semasa, sebelum sistem modular diperkenalkan untuk ambilan kohort 2011. Maknanya, pada penghujung tahun 2011 terdapat dua kumpulan calon STPM bakal menduduki format STPM yang berlainan. Satu kumpulan (6 Atas) menduduki peperiksaan STPM format lama, manakala satu kumpulan lagi (6 Rendah) menduduki peperiksaan STPM format baharu berdasarkan sistem semester.

Berdasarkan data Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bilangan calon kertas Ekonomi STPM menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun, iaitu:

        2006:   27,445 orang calon;

        2008:   19,089 orang calon;

        2009:    17,124 orang calon.

Arah aliran menurun itu mungkin sekali disebabkan pengenalan lebih banyak mata pelajaran seperti Pengajian Perniagaan, Pongkomputeran dan Kesusasteraan Melayu. Hanya kertas Pengajian Am sahaja yang diwajibkan, manakala Muet diambil oleh hampir semua calon STPM sebagai syarat pengijazahan universiti tempatan, iaitu minimum Band 3.

Kertas Ekonomi telah melalui beberapa kali perubahan format. Sebelum tahun 2002, terdapat tiga kertas yang perlu diambil, iaitu Mikroekonomi, Makroekonomi dan Statistik. Selepas itu, kertas Statistik dimansuhkan, dan diserap ke dalam kertas Mikro dan Makro dalam bahagian Kuantitatif. Bahagian Aneka Pilihan yang disekalikan dengan bahagian esei dan kuantitatif sebenarnya boleh digunakan sebagai rujukan silang jika calon bijak memanfaatkannya.

Dari segi peratusan, pencapaian calon kertas Ekonomi mencatat peningkatan dari tahun ke tahun:

        Tahun         A        A-        B+        B         B-        C+        C        C-        D+        D          F        

         2009      5.33     4.72     6.56      8.36    9.97    10.81    11.79   6.75    7.93     6.89     20.89

         2008      4.47     4.23     5.72      7.32    9.78    10.91    12.34   7.38    7.68     7.57     22.55

         2006      3.69     4.00     5.43      7.24    8.91     10.22    12.35   7.89   8.98     7.40     23.89

Jelas bahawa peratusan calon cemerlang (A, A-) dan lulus penuh (B+, B, B-, C+, C) meningkat dari tahun ke tahun, manakala peratus calon lulus sebahagian (C-, D+, kecuali D) menunjukkan penurunan. Peratusan gagal F juga memperlihatkan penurunan yang berterusan. Kesimpulannya, apabila bilangan calon menurun, peratusan cemerlang dan lulus penuh meningkat, sedangkan peratusan lulus sebahagian (subsidiari) dan gagal menurun.

Analisis berdasarkan bilangan calon mungkin membawa cerita yang berbeza sedikit. Kita beri tumpuan kepada gred cemerlang dan lulus penuh. Kumpulan inilah yang bakal bersaing merebut tempat di universiti.

       Tahun                 A               A-               B+               B               B-               C+               C

       2009                 913            808           1,123           1,432         1,707           1,851          2,019

       2008                 853            807           1,092           1,397         1,867           2,083          2,356

       2006               1,012         1,098          1,490           1,987         2,445           2,805          3,389

Tidak semua calon yang mendapat gred A akan memilih kursus Ekonomi di universiti. Banyak juga yang beralih mengikuti jurusan undang-undang, pengurusan perniagaan dan pengajian antarabangsa. Namun, pengetahuan dalam bidang ekonomi akan memberi kelebihan, justeru beberapa kursus yang berkaitan dengan ekonomi akan ditawarkan sebagai sebahagian syarat pengijazahan di fakulti yang berkenaan.

Jika dibandingkan dengan era 1980-an dan 1990-an, nisbah calon yang kandas telah jauh berkurangan. Calon yang mendapat gred F hanya berlegar di sekitar 20 peratus (2009: 20.89; 2008: 22.55; 2006: 23.89). Demikian juga calon yang lulus sebahagian: 21.57% (2009); 22.63% (2008); 24.27% (2006).

Perubahan format kertas telah banyak membantu dalam peningkatan berkenaan. Item soalan lebih jelas dan langsung. Soalan-soalan kabur boleh dikatakan tidak ada lagi.

Kelemahan calon masih berkisar terhadap bahagian esei, iaitu sukar mengaplikasikan prinsip dan teori ekonomi dalam jawapan. Sebahagian calon cenderung menulis pendapat sendiri seolah-olah sedang menulis esei bebas. Sepatutnya calon harus mengenal pasti tugasan soalan, menyenaraikan isi yang relevan (konsep, andaian, analisis) berpandukan peruntukan markah dan peruntukan masa.

Selain itu, semua guru yang mengajar mata pelajaran ekonomi memiliki ijazah dalam bidang yang sama. Ketika penulis blog (PB) belajar dahulu, guru ekonomi berkelulusan sarjana muda sastera dan hanya mengambil kursus ekonomi pada tahun pertama di universiti. Namun, kegigihan mereka tetap dihargai justeru merekalah yang merintis jalan ke arah kecemerlangan yang ada pada hari ini...

Monday, November 29, 2010

PANDUAN ANALISIS RENCANA UNTUK PELAJAR (LEARNING FROM NEWSPAPER)

Lama sebelum konsep akhbar dalam bilik darjah (ADD) yang dikelolakan oleh Ibrahim Saad dalam Berita Harian dan Majalah Dalam Kelas (MDK) oleh Cikgu Azizul Rahman (guru cemerlang bahasa gred khas C yang khabarnya baru bersara), penulis blog (PB) telah menggunakan rencana pengarang akhbar arus perdana sebagai bahan folio kerja murid. Ketika itu, tumpuan terhadap isu-isu politik kepartaian tidaklah begitu menonjol seperti sekarang. Murid tingkatan 5 di SMK Khir Johari, Sungai Sumun dan SM Teknik Ipoh, Persiaran Brash tentu masih ingat tentang projek folio bahasa saban minggu.
klik paparan untuk bacaan penuh dan jelas

Kini, projek yang sama menjadi tugasan cuti budak 4S5, SMK St Michael, Ipoh (SMI). Tujuan utamanya ialah untuk membantu murid menyediakan senarai isi karangan, kosa kata baharu, rangkai kata menarik dan merangka soalan aras petikan, dan aras kbkk. Murid juga digalakkan mengenal pasti sebarang bentuk pelanggaran terhadap hukum tatabahasa, jika ada.

Sunday, November 28, 2010

KAMPUNG SENGAT DIPENUHI BANGLO (THE LAST HIGH VALUE PROPERTIES IN IPOH)

Peluang bagi memiliki rumah idaman yang mempunyai laman di kawasan bandar raya sememangnya terhad. Kebanyakan penduduk kota metropolitan terpaksa  memilih rumah teres atau rumah pangsa. Kecuali unit rumah kos rendah yang disubsidi oleh kerajaan, harga seunit rumah teres semuanya mencecah RM200,000.
Tinjauan di sekitar pinggir bandaraya Ipoh menunjukkan bahawa harga lot tanah banglo berukuran 80 X 60 kaki diletakkan pada RM200,000 ke atas. Kos pembinaan rumah sebuah (banglo) pula tidak akan kurang daripada RM250,000, tidak termasuk kemasan dalaman dan perabot. Dalam kata lain, seseorang yang berhasrat memiliki sebuah banglo berhampiran dengan bandaraya Ipoh, maksudnya dalam tempoh 15 minit pemanduan, perlu menyediakan kira-kira RM setengah juta.
Kos yang lebih rendah hanya mungkin diperoleh di kawasan kampung tersusun (RPT). Pemilik asal lot tanah ialah pemohon yang berjaya dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tanah. Mereka dikehendaki membayar premium antara RM7,000 ke RM20,000 untuk kos prasarana asas seperti jalan dan perparitan.
Kampung Sengat yang terletak bersebelahan dengan kawasan perumahan mewah Taman Botani di Simpang Pulai ialah antara contoh kampung tersusun terakhir di pinggir bandaraya Ipoh. Kedudukannya boleh dikatakan strategik justeru sangat berhampiran dengan jalan utama Ipoh-Gopeng dan susur masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan. Masih terdapat hak milik lot tanah yang bertukar tangan atas sebab-sebab tertentu.
Seorang penduduk yang ditemui menyatakan kepuasan kerana hasrat memiliki rumah hasil idea sendiri telah tercapai. Selain itu, kehijauan panorama alam dan suasana ala kampung moden yang bebas daripada kesesakan melampau ialah persekitaran yang sihat bagi pertumbuhan fizikal dan mental kanak-kanak. Kegiatan gotong-royong juga dapat disemarakkan kembali menerusi pusat kegiatan komuniti seperti surau dan balai raya yang sedang dalam proses perancangan terakhir.

Saturday, November 27, 2010

JAKEL WUJUDKAN 15 TAUKE KAIN BUMIPUTERA (PENETRATION OF FABRIC ENTREPRENEURSHIP)

Kemunculan usahawan baharu dalam industri fabrik masih berterusan walaupun terdapat persaingan yang begitu sengit. Kos penubuhan (overhead), kos operasi harian dan kos promosi yang begitu tinggi menghendaki pemimpin pengurusan yang cekap dan berminda strategik. Bukan mudah untuk membina tapak dalam kancah industri yang sudah didominasi oleh beberapa buah firma besar yang sudah menikmati ekonomi bidangan, serta untuk merebut pasaran yang tidak sebesar mana.
Kumpulan Jakel yang bermula dari Johor ialah contoh kegigihan usahawan bumiputera yang berani menceburi bidang perniagaan kain yang penuh risiko. Jakel mengambil sempena nama pengasasnya, Mohamed Jakel. Kini, kumpulan Jakel memiliki empat buah gedung fabrik, iaitu di Johor Bahru, Segamat, Kuala Lumpur, dan terbaharu di Shah Alam.
Wisma Jakel Shah Alam yang terletak di seksyen 7 ialah gedung niaga terbesar kumpulan Jakel. Nampaknya, kumpulan Jakel telah membuat pelaburan besar bagi memberi sentuhan terbaik dari segi reka bentuk ruang dan keselesaan pengunjung. Pekerja-pekerja juga kelihatan terlatih dalam melayani pelanggan.
Akses kepada lokasi niaga ialah salah satu faktor kritikal dalam keputusan perniagaan. Wisma Jakel Shah dibina berhadapan dengan salah satu pintu masuk utama kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM). Maka, lokasi sedemikian memberi iklan dan promosi percuma yang amat tinggi nilainya dalam pemasaran Jakel.
Selain gedung milik sendiri, kumpulan Jakel berjaya melaksanakan sistem francais kepada sejumlah 15 orang usahawan bumiputera yang lain di seluruh negara. Ternyata kumpulan Jakel dapat melihat segmen pasaran yang boleh dijadikan lubuk niaga, iaitu memenuhi cita rasa masyarakat Melayu sendiri, sambil cuba menarik perhatian masyarakat berbilang-bilang kaum di Malaysia. Mungkin pada masa hadapan, Jakel mampu meneroka pasaran antarabangsa.

Mohamed Faros, putera sulung Mohamaed Jakel diberi tanggungjawab mengembangkan perniagaan kumpulan di Shah Alam. Ketika ditemui, beliau memberitahu bahawa Jakel akan sentiasa berusaha menepati cita rasa pelanggan dan akan terus mengukuhkan jenama Jakel dalam pasaran domestik. Faros tidak hanya duduk di kerusi empuk pejabat beliau, sebaliknya dilihat sibuk meninjau perjalanan urus niaga di seluruh kawasan gedung, sambil menyapa pelanggan dan memberi arahan khusus kepada pekerja.

UJIAN KEMASUKAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH (FULLY RESIDENTIAL SCHOOL'S ADMISSION TEST)

Keprihatinan ibu bapa terhadap pendidikan berkualiti menyebabkan mereka berebut-rebut hendak memilih sekolah-sekolah yang difikirkan terbaik. Selain penarafan rasmi, ibu bapa juga memiliki persepsi tersendiri tentang sekolah pilihan masing-masing. Antara sekolah yang menjadi tumpuan ialah sekolah berasrama penuh (SBP), khususnya yang ternama.
Saban tahun, fenomena yang sama berulang, iaitu permintaan jauh mengatasi penawaran. Misalnya pada tahun ini sahaja, daripada lebih 48,000 orang calon UPSR yang memperoleh semua A, hanya 7,000 orang yang akan berpeluang dipilih masuk ke SBP. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga menawarkan bilangan kemasukan yang lebih kurang sama. Selain itu, terdapat sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), SBP negeri, SBP kawalan dan SBP yayasan tertentu.
Sejak tiga tahun ini, SBP mengadakan ujian kemasukan untuk calon yang membuat pilihan pertama kepada SBP berkenaan di bawah kuota sekolah, atau disebut kuota pengetua. Senarai calon dicadangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR), kira-kira 70 orang calon hadir menduduki ujian kemasukan itu.
Selain ujian kecerdasan secara bertulis (versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris), calon dikehendaki menjalani ujian kegergasan fizikal. Antaranya ialah pecutan 30 meter, lonjakan, ukuran lunjuran, ketahanan dan refleksi. Sesi ujian yang bermula pada pukul 9 pagi hanya berakhir empat jam kemudian.
Sebelum itu, dalam sesi taklimat, Dr Mior Hamdan, Penolong Kanan STAR menenangkan ibu bapa bahawa semua calon yang hadir memiliki peluang yang setara untuk memasuki SBP walaupun hanya kira-kira 25 peratus yang akan dipilih atas kuota STAR. Calon-calon lain akan dipilih terus oleh pihak kementerian. Proses ujian telah berjalan lancar, serta mendapat kerjasama seperti yang diharapkan.

Friday, November 26, 2010

CARA MENYAMBUT TAHUN BARU (YEAR-END INTROSPECTIVE)

Tahun 1431 Hijriyyah hanya tinggal sepuluh hari, manakala kalendar Masihi 2010 pula hanya tinggal sebulan. Begitulah masa berlalu, siang dan malam silih berganti, pejam celik pejam celik, tahun 1431 Hijriyyah dan tahun 2010 Masihi bakal kian menjauh dalam lipatan sejarah. Pusingan masa yang berterusan menyaksikan bahawa janin menjadi bayi, bayi menjadi kanak-kanak, kanak-kanak menjadi orang muda, orang muda menjadi dewasa, dewasa menjadi tua, dan akhirnya yang tua (jika panjang umur murah rezeki) akan kembali ke alam baqa'.

Marilah kita merenung sejenak akan amalan, bakti,  janji  dan kebajikan yang kita lakukan. Nilai semula tentang pengisian peranan dan tanggungjawab dalam hubungan sesama manusia, hubungan dengan persekitaran dan hubungan dengan Pencipta. Adakah kita telah berusaha menjadi insan yang lebih baik tahun demi tahun?

bersambung...

Thursday, November 25, 2010

ULASAN BUKU MOTIVASI (REVISITING HOW TO SELL YOURSELF)


Penerbit edisi Malaysia: Advantage Quest Publications, Puchong (dengan izin The Career Press, Inc., USA)

Tahun cetak: 2009

Jumlah muka surat:   256

Harga di rak:   RM29.90

Tarikh beli:   24.11.10

Sinopsis


Buku ini mengandungi 16 bab, tidak termasuk bahagian pengenalan dan lampiran. Pengarangnya seorang pakar runding wawancara media, persembahan profesional, komunikasi saksi bicara di mahkamah dan segala yang berkaitan dengan penyampaian mesej. Pengarang berpendirian bahawa komunikasi bersemuka tidak mungkin dapat digantikan oleh kecanggihan teknologi jaringan terkini.

Murid sekolah tidak menjadi lebih baik hanya kerana dibekalkan komputer pada setiap meja mereka. Sebaliknya kualiti generasi masa hadapan lebih kuat dipengaruhi faktor kasih sayang, perkongsian dan perhatian ibu bapa, guru dan pentadbiran sekolah. Aktiviti pembelajaran di bilik darjah tidak akan lapuk dek panas, tidak lekang dek hujan.

Inti pati buku ini ialah tentang cara penghantar "menjual" mesej komunikasi kepada penerima. Antara perkara yang perlu dijual ialah kompetensi, jati diri (likability), keyakinan, isyarat yang betul, keluaran, keterangan, pendapat, kepimpinan dan nasib baik. Pendek kata, komunikasi bersemuka bermula dengan membuka mulut bagi menjual idea atau mesej supaya dapat diterima.

Pengarang menekankan tentang penggunaan ayat-ayat yang jelas, ringkas dan mudah difahami oleh khalayak. Ayat yang berbunga-bunga, meleret-leret dan penuh dengan istilah yang janggal akan memesongkan perhatian khalayak. Jika bercakap kepada sekumpulan khalayak, pastikan bahawa pakaian dan cara pergerakan yang teratur, sepertimana  saranan berpakaian untuk berjaya (dress for success).

Seorang yang hendak menjual mesej komunikasi yang baik umpama seorang pencerita yang dapat menangkap imaginasi khalayak menerusi visualisasi perkataan. Butiran cerita mereka akan lebih diingati berbanding dengan angka, carta, graf, dan analisis stastistik. Malah, pada tahun 2007 ketika meraikan ulang tahun ke-20 Microsoft PowerPoint, salah seorang pengasasnya sendiri mengatakan bahawa PowerPoint ialah alat komunikasi yang hebat, tetapi digunakan dengan buruk sekali: PowerPoint sekadar menjadi pembunuh komunikasi!

Pengarang juga menulis bab (8) yang khusus tentang komunikasi guru di bilik darjah. Disebabkan guru bertemu dengan murid saban hari, mereka hendaklah sentiasa menampilkan kesegaran setiap kali masuk ke bilik darjah, bagaikan kali pertama bersua muka dengan murid. Perjuangan guru memupuk pembelajaran pada akhirnya ialah proses menjual mesej komunikasi sehingga berjaya.

Kebanyakan subordinat dalam organisasi akan mengeluh apabila diarah menghadiri mesyuarat yang dikendalikan oleh orang yang membosankan, tidak terancang, tidak mematuhi agenda dan tidak selesa. Mesyuarat yang berjaya perlukan pengerusi yang jelas tentang peranan setiap anggota mesyuarat, dan bukan hal-hal peribadi. Masa anggota mesyuarat jangan dibazirkan, iaitu bermula tepat pada waktunya dan berakhir  dengan cepat  sebaik sahaja semua agenda diselesaikan.

Isu anugerah khidmat cemerlang dan naik pangkat sering menjadi bahan gosip dan pertikaian. Pengarang berpendapat bahawa dalam keadaan biasa, orang yang disukai oleh pembuat keputusan memiliki peluang yang lebih besar. Hal itu dikategorikan sebagai "nasib baik" (baca: rezeki - penulis blog) yang ditulis dalam bab 15.

Buku ini sangat bermanfaat kepada sesiapa yang berhasrat untuk memajukan diri dalam komunikasi yang menjadi asas penting kemahiran interpersonal. Dalam era kepintaran berpasukan lebih dipentingkan daripada kepintaran individu, kejayaan menjual sesuatu mesej komunikasi wajib diberi perhatian. Kita perlu mempelajarinya.

Nilai Pengetahuan

1   Kemahiran Interpersonal

2   Perancangan komunikasi

3   Analisis persekitaran komunikasi

4   Motivasi kendiri


Aplikasi p & p


Guru hendaklah peka terhadap elemen komunikasi yang mampu memastikan bahawa mesej berjaya dijual kepada murid. Begitu juga dengan tahap komunikasi murid ditingkatkan dari masa ke masa supaya matlamat pembelajaran tercapai secara optimum. Di tangan guru yang memiliki kepekaan komunikasi yang tinggi, momentum pembelajaran sentiasa dapat disegarkan...

Wednesday, November 24, 2010

"TEMAN" YANG MASIH SEPI (ANOTHER WET MARKET HUB IN IPOH)

Walaupun setelah lebih setahun beroperasi, Terminal Makanan Nasional, atau ringkasnya Teman, belum lagi memiliki daya tarikan yang kuat bagi menggamit kedatangan orang ramai dalam jumlah yang besar. Walhal, dari segi kemudahan dan keselesaan boleh disifatkan sebagai berkelas dunia. Kawasan Teman luas bagaikan sebuah kampus universiti, dan dengan susun atur pasar pengkhususan yang terancang.
Teman dikelolakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani. Lokasi Teman ialah di zon perindustrian Gopeng, iaitu kira-kira lima minit pemanduan dari Simpang Pulai, atau dari arah pekan Gopeng. Dari kejauhan, pemandu kenderaan boleh melihat lokasi Teman yang dipaparkan pada tangki air besarnya.
Pintu masuk utama Teman umpama pondok tol percuma. Barangkali, pihak Teman menempatkan peranti digital di situ bagi merekodkan data kedatangan pengunjung dan pemantauan keselamatan. Pengunjung berkenderaan juga akan keluar menerusi laluan bertentangan di pintu berkenaan.
Laluan jalan antara pasar pengkhususan begitu luas. Tempat letak kenderaan juga sangat banyak. Siap dengan bulatan dan landskap yang menarik.
Rombongan budak sekolah boleh singgah membuat lawatan sambil belajar. Mereka boleh membuat kajian tentang faktor yang boleh menggamit kedatangan pengunjung ke sesuatu lokasi perniagaan. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak bagi mempelajari bahawa kejayaan sukar diraih dalam sekelip mata.
Pasar ikan menawarkan pelbagai jenis ikan dan keluaran sampingan berasaskan ikan yang lain. Menurut peniaga yang ditemui, Teman dirancangkan bagi mengganti fungsi pasar borong Menglembu, tetapi peniaga di sana enggan berpindah atas alasan lokasi yang jauh daripada tumpuan penduduk berkepadatan tinggi. Lot niaga yang diperuntukkan juga didapati belum beroperasi secara optimum.
Pengunjung yang ingin membasahkan tekak atau menikmati hidangan ringan atau berat boleh sahaja singgah di kafetaria yang bersih dan sistematik. Malah, kafetaria Teman juga boleh dikunjungi untuk sarapan pagi, makan tengah hari atau minum petang tanpa niat menjenguk pasar-pasar pengkususan. Pilihan menu yang disenaraikan pasti menepati selera dan poket para pengunjung.
Apabila tiba waktu solat fardu, pengunjung Islam boleh melangkah ke surau bersebelahan kafetaria. Ruang mengambil wuduk dan ruang solat yang selesa memberi ketenangan kepada pegawai Teman, peniaga dan pengunjung untuk menunaikan rukun Islam kedua itu. Tahniah kepada Teman yang peka terhadap urusan perniagaan yang mendambakan keberkatan...

Monday, November 22, 2010

PENDIDIKAN MUZIK DI SEKOLAH (BUSKING AT ST MICHAEL'S)

Muzik ialah gubahan bunyi  (atau bunyi-bunyian) yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan (Kamus Dewan edisi keempat, 2005:1062). Naluri manusia pula mencintai kehalusan dan keindahan. Maka, muzik menjadi sebati dan serasi dengan jiwa manusia yang normal.
gambar hiasan

Penggiat muzik pula menganggap bahawa muzik ialah bahasa paling universal yang dapat menyatukan manusia, tanpa perlu alih bahasa atau terjemahan. Bagi mereka, muzik ialah manifestasi irama alam yang cukup harmonis. Bunyi cengkerik yang memecah kesunyian malam, kicauan burung yang menemani bening pagi, deruan ombak yang menghempas pantai, tiupan bayu yang membelai dan kocakan air di kali semuanya digarap sebagai ilham oleh insan-insan yang peka dengan variasi persekitaran.

Tanggapan terhadap muzik mungkin berbeza-beza, bergantung kepada bagaimana dan siapa yang melihatnya. Ada yang melayani muzik untuk sekadar suka-suka, ada yang menekuni muzik secara serius di bilik kuliah dan makmal, dan ada juga yang menjadikan muzik sebagai mata pencarian hidup. Pendek kata, muzik mungkin digemari, dan muzik juga mungkin dibenci.

Kepada puak tertentu, muzik ialah punca segala kebejatan akhlak dan keruntuhan moral. Mereka berhujah tentang muda-mudi yang terkinja-kinja di ruang disko dan kelab malam, melayan muzik yang menjurus kepada maksiat dan pergaulan bebas. Muzik juga memekakkan telinga dek tahap desibel bunyi yang ekstrem.

Perbahasan tentang muzik yang terhasil daripada alat bertali seperti gitar dan piano, serta alat tiupan seperti seruling dan tenosaksafon mendapat tempat dalam kuliah-kuliah pesantren dan dakwah. Tindakan kiyai wali songo di Jawa yang menggunakan muzik gamelan sebagai uslub dakwah dipandang sebagai kaedah sementara. Kita serahkan kepada yang ahli untuk menjelaskan perkara berkenaan.

Di sekolah, muzik dimanipulasikan sebagai satu bentuk pendidikan formal yang disampaikan kepada murid berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang telah direka bentuk dengan teliti. Murid diperkenalkan dengan asas-asas muzik do re mi fa so la ti do dan nota-nota "taugeh" krocet dan lain-lain. Muzik juga diintegrasikan dalam pembelajaran bahasa, dan alat bantu audio-video mata pelajaran yang lain.
Sekolah-sekolah tertentu pula menubuhkan pasukan pancaragam yang dilatih bagi mengisi persembahan dalam majlis-majlis rasmi, selain menyertai pertandingan pelbagai peringkat. Di samping rentak ketenteraan dan patriotik, pasukan pancaragam juga memainkan lagu-lagu berirama popular dan rancak. Di SMK St Michael, Ipoh (SMI), perhimpunan mingguan dilengkapkan dengan iringan muzik pancaragam untuk nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri Perak dan lagu sekolah.

PENGURUSAN ANUGERAH CEMERLANG HUJUNG TAHUN (REWARDING ACHIEVEMENT AT REAL TIME)

Kebanyakan sekolah merancang hari anugerah cemerlang, atau hari ucapan dan penyampaian hadiah pada pertengahan tahun berikutnya. Sekolah menengah harus berbuat demikian memandangkan keputusan PMR diumumkan pada bulan Disember, manakala SPM dan STPM pada bulan Mac. Maka, penerima hadiah kecemerlangan hanya dapat dipilih setelah keputusan peperiksaan awam diumumkan.
Keadaan di sekolah rendah pula berlainan. Hanya pelajar tahun enam terlibat dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Keputusannya pula diumumkan seawal minggu kedua November, iaitu sebelum cuti akhir tahun.
Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh (SKSA) ialah antara sekolah yang berjaya merancang dan melaksanakan majlis hari anugerah kecemerlangan dalam tahun semasa. Dalam tempoh seminggu, segala persiapan akhir berjaya disempurnakan setelah segala urusan penting dapat diselesaikan lebih awal.
Perasmian majlis dilakukan oleh wakil pengurus besar Yayasan Perak yang telah berucap hampir sejam lamanya. Selain itu, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Perak (LHDN) bermurah hati menghadiahi lapan unit komputer kepada SKSA. Acara simbolik penyerahan dilakukan oleh pengurus LHDN, yang juga ibu kepada salah seorang murid SKSA.
Graduan cilik prasekolah ialah antara murid yang diraikan. Setiap seorang menerima sijil dan hadiah iringan menandakan sempurna sudah mereka mengikuti kurikulum prasekolah kebangsaan yang digubal oleh pusat perkembangan kurikulum, kementerian pelajaran. Pendedahan persekitaran sekolah seawal usia lima tahun menjadikan mereka lebih bersedia mengikuti sesi persekolahan rendah tanpa rasa kekok...

Sunday, November 21, 2010

PERSIAPAN HADIR TEMU DUGA (FACING INTERVIEW)

Temu duga ialah tanya jawab antara majikan dengan pemohon kerja, dan lain-lain (Kamus Dewan edisi keempat, 2005:1649). Temu duga juga disamakan dengan temu ramah, temu bual, wawancara atau interviu dengan seorang tokoh politik dan lain-lain untuk mendapatkan berita. Temu duga boleh diadakan bagi memilih calon memasuki sesuatu institusi pendidikan, sama ada sekolah pilihan, institut perguruan, kolej ikhtisas dan universiti, atau temu duga untuk pengesahan jawatan dan naik pangkat. 

Bilangan penemu duga dan pemohon juga tidak ditetapkan. Ada temu duga dibuat secara individu, atau secara kumpulan, atau kombinasi kedua-duanya sekali. Semuanya bergantung kepada format dan tujuan temu duga yang menjadi pilihan majikan atau organisasi penemu duga.

Pemohon seharusnya menganggap temu duga sebagai sama dengan peperiksaan. Ertinya, pemohon mesti membuat persediaan rapi yang mencukupi dari segi jasmani, emosi, rohani dan inteleks. Temu duga bukanlah suatu proses komunikasi lisan secara spontan, tetapi dilaksanakan bagi menilai kesesuaian seseorang pemohon dengan pekerjaan atau tempat yang dipohon.

Panel penemu duga ialah ahli atau pakar dalam bidang pekerjaan atau institusi yang dipelawa kepada pemohon. Kerapkali pula mereka memiliki gelaran tertentu seperti Tan Sri, Datuk, atau Dr. (penyandang ijazah doktor falsafah). Penemu duga juga menduduki jawatan penting dalam sesuatu organisasi dan bukan sembarangan orang, sebaliknya arif dalam sesuatu bidang.

Namun demikian, terdapat juga temu duga berskala kecil yang bersifat dalaman seperti temu duga pengambilan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, pemohon asrama dan sebagainya. Walaupun demikian, pemohon tetap perlu memandang serius akan proses temu duga yang bakal dilalui jika berharap untuk dipilih. Persiapan yang sambil lewa mungkin membawa kehampaan semata-mata.

Persiapan Sebelum Temu Duga

Pemohon hendaklah jelas tentang tujuan temu duga yang dihadiri. Jika pemohon ialah calon sesuatu jawatan, maklumat asas tentang pekerjaan yang dipohon hendaklah dicari. Kini banyak sumber tentang bidang tugas sesuatu pekerjaan boleh diperoleh daripada perpustakaan, laman sesawang organisasi yang sah, atau dengan bertanya kepada penyandang jawatan yang sedia ada.

Memandangkan persaingan begitu sengit, persiapan yang dilakukan hendaklah menjurus kepada ciri-ciri x-factor yang membezakan diri dengan pemohon lain. Misalnya cara penampilan, cara memberi jawapan kepada soalan, nada suara dan kebijaksanaan dalam menghadapi pertanyaan yang mungkin kelihatan ada unsur provokasi. Penemu duga mempunyai senarai semak pengujian (instrumen) tentang pengetahuan, kemahiran dan sikap yang digariskan oleh organisasi untuk ditadbirkan ke atas calon atau pemohon.

Kalau boleh, calon perlu melakonkan temu duga "olok-olok" supaya dapat mengenal pasti strategi yang paling tepat dalam temu duga sebenar kelak. Jika berasa segan untuk melibatkan orang lain sebagai penemu duga, cukup sekadar menyediakan soalan ramalan. Jawapan secara lisan bolehlah dirakamkan, manakala cara duduk dan kawalan pergerakan yang lain diberi perhatian.

Persiapan yang tidak kurang pentingnya ialah memastikan tarikh, masa dan tempat temu duga supaya tidak berlaku sebarang kesilapan atau tiba lewat atas sebarang sebab. Segala dokumen yang boleh menyokong permohonan disusun dalam satu fail holder mengikut tertib keutamaan. Seluar baju, tali leher, tanda nama (jika berkaitan), stoking dan kasut yang bersesuaian hendaklah disediakan lebih awal.



Semasa Temu Duga


Apabila dipanggil masuk, melangkahlah dengan penuh teratur tanpa menampakkan rasa gugup yang ketara. Berilah salam dan duduk apabila diarahkan berbuat demikian. Segera serahkan fail sijil kepada panel penemu duga.

Jangan ragu untuk bertentang mata dengan penemu duga sambil menunjukkan rasa hormat, iaitu bukan kelihatan membuat tenungan. Dengar soalan dengan teliti sambil memilih kerangka jawapan yang mungkin telah disediakan sebelum temu duga seperti akronim atau analogi. Frasakan semula sebahagian ayat soalan untuk disambungkan dengan ayat jawapan yang meyakinkan.

Jika soalan berbentuk terbuka (bukan jawapan ya, tidak), teruslah menjawab sehingga penemu duga mencelah atau memberhentikan jawapan anda. Jangan pula bertelingkah dengan penemu duga jika jawapan anda dipertikaikan. Tunjukkan kompromi walaupun anda mungkin hendak menegaskan pendirian.

Barang diingat bahawa semasa sesi temu duga, calon hendaklah tidak berasa segan silu mempromosikan diri sebagai orang yang paling layak untuk dipilih daripada sekian banyak pemohon lain. Namun, cara "menjual" diri itu biarlah bijaksana, bukannya keterlaluan sehingga nampak angkuh, atau mengada-ngada.

Setelah panel penemu duga mengisyaratkan bahawa sesi telah berakhir, ucapkan terima kasih, sambil mengambil semula fail sijil dengan sopan. Tutup daun pintu dengan perlahan jika ada pintu. Pastikan anda tidak menjatuhkan apa-apa atau terjatuh kerana persepsi penemu duga terhadap diri anda mungkin terjejas.

Setelah Selesai Temu Duga


Tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan selain doa dan harapan. Zaman "kabel-kabel", iaitu menggunakan pengaruh orang kenamaan tertentu barangkali tidak lagi relevan. Sesi temu duga hanyalah salah satu peringkat pemilihan calon yang berjaya kerana biasanya ada dua lagi jawatankuasa pemilihan yang meneliti pelbagai aspek kesesuaian calon sebelum ditawarkan jawatan atau tempat dalam sesuatu organisasi.

Bersedialah menghadapi apa-apa kemungkinan. Jika berjaya, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, pasti ada hikmah yang tersembunyi, tetapi jika ada peluang membuat rayuan, ayuh lakukan...

Saturday, November 20, 2010

JAMUAN PERPISAHAN KADET BOMBA TINGKATAN 6 (FAREWELL FOR SENIORS)

Ipoh, Selasa: 16.11.10 / 9 Zulhijjah 1431

Dengan kekuatan seramai 48 orang anggota, pasukan kadet bomba prauniversiti tingkatan 6 SMK St Michael, Ipoh (SMI) boleh dianggap sebagai sebuah organisasi yang berjaya menepati hasrat menggilap kepimpinan, mempromosikan kebajikan dan menyumbang perkhidmatan sebagaimana tujuan kegiatan kokurikulum prauniversiti. Segala projek yang dirancangkan telah berjaya dilaksanakan walaupun diakui belumlah sempurna. Pengalaman pembelajaran yang diperoleh menjadi bekal yang berguna buat hari muka.
Bagi menghargai sokongan semua jawatankuasa dan anggota pasukan, satu jamuan akhir tahun telah diadakan bagi meraikan anggota daripada tingkatan 6 Atas yang bakal menduduki peperiksaan STPM mulai 23 November ini. Pengendalian pasukan telah diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa dan anggota 6 Rendah pada minggu ketiga mereka berdaftar dalam pasukan. Hubungan antara kedua-dua kumpulan diteruskan walaupun anggota 6 Atas telah dilepaskan daripada menghadiri semua kegiatan mingguan kerana diberi peluang menumpukan sepenuh perhatian terhadap persediaan peperiksaan.
Jamuan dilangsungkan di bilik pendidikan seni, bersebelahan bilik guru. Turut hadir ialah guru penasihat pasukan. Menu utama jamuan ialah nasi ayam Ipoh yang ditempah khas daripada medan selera SMI.

Memandangkan bahawa ada tahun 2011, pihak sekolah menetapkan untuk lebih fokus terhadap bidang kokurikulum tujahan (niche area), atau kebitaraan, pasukan kadet bomba menengah rendah dan menengah atas dibubarkan. Maka, tinggallah pasukan kadet bomba prauniversiti yang boleh diharapkan menjadi barisan hadapan dalam menyemarakkan kepedulian tentang keselamatan kebakaran dalam kalangan pelajar. Maknanya kehadiran pasukan kadet bomba tingkatan 6 akan lebih menonjol.

Isu pendaftaran pasukan kadet bomba tingkatan 6 dengan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih belum dimuktamadkan. Jika syarat dalam garis panduan penubuhan pasukan kadet bomba sekolah masih dikekalkan, kemungkinan pasukan kadet bomba prauniversiti tingkatan enam terpaksa merelakan pertukaran nama kepada Kelab Pencegah Kebakaran. Moga masih ada cahaya di hujung terowong... 

Thursday, November 18, 2010

HARI AKHIR SEKOLAH YANG SIBUK (A RUSHING DAY)

Tidak menang tangan. Ungkapan itu barangkali paling tepat bagi menggambarkan betapa sibuknya dua hari terakhir persekolahan bagi para guru. Semua dokumen mesti diserahkan dan ditandatangani akuan penerimaannya supaya boleh menjadi rujukan kemudian hari.

Sebelum ini, dalam tempoh sebulan yang lalu, guru kelas sibuk melayan pelajar menyedia, menyemak, mengesah dan menandatangani pelbagai dokumen bagaikan selebriti yang dikejar-kejar peminat bagi mendapatkan tandatangan. Namun, kali ini giliran guru kelas, khususnya guru kelas tingkatan 5 dan 6 Atas pula mendapatkan tandatangan 'autograf' daripada pihak pentadbiran kurikulum dan kokurikulum, guru kanan, bendahari PIBG, guru data, guru-guru tugas khas berkaitan dengan sijil berhenti, surat akuan dan lain-lain. Guru kelas juga harus merumuskan semua data dalam buku daftar kehadiran pelajar, di samping melengkapkan penyata kutipan yuran Suwa dan derma PIBG.

Ketua panitia pula disibukkan dengan kemas kini fail dan perancangan takwim tahun 2011. Segala maklumat tentang minit mesyuarat, pesanan pembelian, cadangan agihan kelas, pencapaian mata pelajaran, program kecemerlangan dan segala macam analisis semuanya perlu dilengkapkan. Panitia besar seperti bahasa, sejarah dan matematik tentulah lebih tebal failnya.

Setelah selesai semuanya, guru harus melakukan house keeping hujung tahun, iaitu mengemas segala item di meja masing-masing. Barangan peribadi harus dibawa pulang ke rumah, justeru cuti panjang memberi kesempatan kepada pihak sekolah untuk menaik taraf kemudahan bilik guru. Debu dan habuk yang tersembunyi juga dapat dibersihkan sepenuhnya.

Bagaikan mimpi bahawa sesi persekolahan 2010 telah berakhir. Seakan-akan baru semalam mesyuarat pertama guru diadakan bagi mengisi aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kini, lembaran baru tahun 2011 bakal menjelma...

SELAMAT BERCUTI, SELAMAT BERTUGAS UNTUK PEPERIKSAAN, 
SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA YANG BERKENAAN...

bersambung...

PENGAJIAN PRAUNIVERSITI TINGKATAN 6 KEMBALI JADI PILIHAN (BRIGHT FUTURE FOR STPM CANDIDATES)

Sejumlah 53,674 orang calon bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 760 pusat peperiksaan mulai minggu hadapan. Pecahan kategori calon ialah:

      Calon sekolah bantuan kerajaan:   47,369 orang

      Calon sekolah swasta                :   1,467 orang

      Calon persendirian                    :    4,593 orang

      Calon sekolah negeri                 :    235 orang

      Calon sekolah integrasi              :      10 orang

Sumber Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) memaklumkan bahawa calon yang kehilangan tiket peperiksaan boleh mencetaknya sendiri menerusi URL http://www.mpm.edu.my pada bila-bila masa. Sementelahan itu, kiranya keadaan banjir atau musim tengkujuh memburuk, calon boleh menghubungi bilik gerakan MPM yang beroperasi dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang di talian:

       03-61302666   /   03-61303606   /   03-61352035   /   03-61352316


Jumlah calon yang melebihi 50 ribu orang itu menggambarkan bahawa kelayakan STPM untuk memasuki universiti awam utama dan bagi permohonan jawatan sama ada awam atau swasta sudah mendapat perhatian semula. Selaras dengan dasar Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) yang memberi keutamaan kepada lulusan STPM bagi kemasukan kursus ijazah pertama, pengajian prauniversiti tingkatan 6 akan terus relevan. Suatu ketika dahulu calon STPM terpaksa bersaing sengit dengan lulusan diploma dan matrikulasi.

Sebagai contoh, fakulti ekonomi UKM pernah memberi tempat kepada kelayakan bukan STPM, termasuk sijil perdagangan Politeknik Ungku Omar dalam jumlah yang agak besar, iaitu hampir sama banyak dengan lulusan STPM. Keadaan itu bermakna bahawa hasrat awal mengadakan kursus sijil dan diploma bagi menyediakan tenaga separa ikhtisas (pengurusan pertengahan) sudah tersasar sedikit. Malah, jika dibiarkan berterusan, kelayakan STPM secara perlahan-lahan diketepikan.

Berdasarkan rekod, universiti awam menawarkan hampir 30 ribu tempat kepada lulusan STPM. Hal itu bermakna bahawa peluang untuk lulusan STPM diterima masuk ke universiti awam ialah kira-kira 60 peratus. Dalam usaha kerajaan untuk mencapai akses pengajian tinggi pada kadar 40 peratus rakyat, bilangan tersebut mungkin sekali bertambah.

Kelayakan STPM mendapat pengiktirafan seluruh dunia, termasuk universiti berprestij seperti Harvad, Yale dan Princeton (Amerika Syarikat), serta Cambridge dan Oxford (United Kingdom). Lulusan diploma dan matrikulasi tidak menikmati pengiktirafan yang sama. Sesungguhnya penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan 6, khususnya sistem modular pada tahun 2011 bakal mengembalikan kegemilangan pengajian tingkatan 6 di sekolah-sekolah terpilih...

Wednesday, November 17, 2010

IBADAH KORBAN (VEHICLE TO PARADISE)

Ipoh, Rabu: 10 Zulhijjah 1431 / 17.11.10

Sehari selepas wukuf, jemaah haji singgah di Muzdalifah, antara lain untuk mengutip batu yang akan digunakan untuk merejam tiga jamrah di Mina. Pada hari yang sama, umat Islam di seluruh dunia menyambut hari raya haji dengan melaksanakan ibadah korban, iaitu kalangan mereka yang berkemampuan dari segi kewangan. Daging korban diedarkan kepada masyarakat setempat dan fakir miskin.
Di Surau al-Hidayah Ipoh, berhampiran Rapat Setia, tiga ekor lembu dan seekor kambing bo ditumbangkan. Setiap ekor lembu dikongsi sebanyak tujuh bahagian, dengan kos sebanyak RM370 bagi satu bahagian. Acara korban bermula kira-kira pukul 10 pagi, iaitu sejurus usai solat sunat Eidul Adha.
Peserta korban terlebih dahulu akan menemui tukang sembelih korban untuk akad dan perwakilan. Di Surau Al-Hidayah Ipoh, proses sembelihan disempurnakan oleh Cikgu Zul. Generasi muda diberi peluang membantu kerja-kerja korban sebagai pendidikan kepada pelapis masa depan. 

bersambung...

Tuesday, November 16, 2010

HARI TAKLIMAT CALON SPM, STPM (EXAM BRIEFING AT ST MICHAEL'S)

Ipoh, Selasa: 16.11.10 / 9 Zulhijjah 1431

Debaran peperiksaan makin memuncak dalam kalangan kira-kira 170 orang calon STPM dan lebih 300 orang calon SPM di SMK ST Michael, Ipoh (SMI). Persediaan rapi sudah dilakukan sebaik mungkin. Kini, masing-masing hanya membilang hari memasuki bilik atau dewan peperiksaan.
Bagi meredakan debaran calon, dan bagi memantapkan keyakinan mereka, maka semua calon dikumpul serentak untuk taklimat akhir dan proses susun atur kerusi meja. Calon STPM berada di dewan besar SMI mulai pukul 8 pagi, manakala calon SPM mulai 9.30 pagi. Setelah selesai taklimat, semua calon beredar ke bilik atau dewan peperiksaan masing-masing.
Ucapan pembukaan disampaikan oleh pengetua. Beliau menyatakan penghargaan pihak sekolah kepada bakal-bakal calon yang telah menunjukkan kesungguhan dan komitmen dalam proses pembelajaran di SMI. Harapan untuk berjaya dikongsi oleh semua pihak.
Selain itu, taklimat tentang borang permohonan universiti secara dalam talian turut disampaikan oleh kaunselor, Encik Ravindran. Majalah Reader's Digest edisi terkini yang mengandungi maklumat pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa diedarkan secara percuma untuk semua pelajar. Harga rak edisi berkenaan ialah RM15.
Encik Loo Leong Hoo, guru akademik tingkatan 6 gred DG 52 dan mantan Penolong Kanan Kokurikulum SMI) kemudian menerangkan tentang slip peperiksaan dan susunan kersusi meja calon. Beliau sempat menyelitkan nasihat ringkas tentang strategi bertenang di dewan peperiksaan. Pelajar dilihat khusyuk mendengar celoteh Encik Loo.
Sebelum beredar, semua calon STPM dihadiahi alat tulis peperiksaan yang disampaikan oleh guru kelas masing-masing. Kesempatan itu juga digunakan oleh guru tingkatan untuk mengucapkan selamat maju jaya. Pelajar pula melafazkan penghargaan dan terima kasih walaupun sesetengah mereka tidak dapat melafazkannya secara lisan, mungkin kerana "sebak".
 
Usai taklimat calon STPM, giliran budak tingkatan 5 pula memasuki dewan. Bilangan mereka dua kali ganda daripada pelajar tingkatan 6 Atas. Maka, terpaksalah mereka bersimpuh di atas lantai dewan sahaja sepanjang tempoh taklimat.
Kelihatan sama dalam sesi taklimat SPM ialah Puan Hamesah, moderator tingkatan 5, Cik Noraisyah dan Cikgu Zulkefli. Seterusnya Setiausaha Peperiksaan SPM sekolah, Cik Foong turut menyampaikan penerangan tentang tatacara peperiksaan. Majlis berakhir sejam kemudian.

Monday, November 15, 2010

MUSTAJAB DOA KETIKA JEMAAH HAJI WUKUF DI ARAFAH (THE STARTING POINT OF HAJJ)

Kerja haji bermula dengan wukuf di Arafah dari waktu gelincir matahari pada 9 Zulhijjah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Wukuf ialah berada di bumi Arafah walau sesaat pun dalam tempoh berkenaan. Hari wukuf pada tahun ini ialah Selasa (16 November 2010), dan umat Islam di seantero dunia digalakkan mengambil kesempatan bagi memperbanyak amalan ibadah seperti berpuasa sunat, membasahkan lidah dengan zikrullah dan bertaubat.

Kepentingan wukuf sebagai rukun haji jelas ditegaskan dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Tarmizi, an-Nasa'i dan Ibnu Majah, al-hajju 'arafah, iaitu "Haji itu (ialah wukuf di) Arafah." Semua jemaah berpakaian ihram dan telah memasang niat haji. Jemaah Malaysia biasanya bergerak dari Makkah pada hari tarwiyyah, iaitu tanggal 8 Zulhijjah.  

Kelebihan dan kemuliaan hari wukuf dijelaskan dalam sebuah hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim, mafhumnya:

"Tidak ada satu hari pun apabila hamba Allah lebih ramai dibebaskan dari neraka berbanding dengan hari Arafah. Bahawa Allah Subhanahu Wata'ala dekat kepada mereka, lalu berbangga dengan mereka Malaikat-malaikatnya dengan berkata: Alangkah mulianya keinginan mereka."

Dalam sebuah hadith lain (riwayat Ahmad dan at-Tabrani), sabda Nabi, mafhumnya:

"(Allah berfirman kepada para malaikat): Lihatlah hamba-hamba-Ku! Mereka datang kepada-Ku dengan rambut kusut dan berdebu, kerana mengharapkan Rahmat-Ku. Maka aku bersaksi kepadamu bahawa Aku telah mengampunkan mereka."


Dr Ali Shariati (meninggal pada 19 Jun 1977) dalam karya ulung beliau, Hajj, telah memberikan pengamatan intelektual dan pengalaman kerohanian yang boleh melengkapkan pengetahuan tentang kerja haji yang ritual. Dr Ali menegaskan bahawa seorang haji yang berhasil mengungkapkan makna haji yang sebenar-benarnya semasa menunaikan rukun Islam kelima itu akan kembali ke negara masing-masing sebagai pemberi petunjuk dalam kegelapan yang dialami masyarakat masing-masing, atau ibarat nyalaan api dalam kelam. Seorang haji dapat mengembalikan al-Qur'an ke kota-kota untuk dibacakan kepada orang-orang hidup.

Musuh Islam selama ini telah menanamkan bibit-bibit perubahan yang kelihatan unik, iaitu mengeluarkan al-Qur'an dari kota, lalu dibawa ke pusara untuk dibacakan kepada orang yang telah mati. Umat Islam yang prihatin, khususnya kaum intelektual harus mendedahkan taktik licik musuh Islam itu supaya kehormatan kaum Muslimin akan bangkit semula. Dengan kembalinya al-Qur'an ke pangkuan masyarakat Islam, barulah inti pati tawhid yang membimbing sistem dan struktur masyarakat yang menghayati aqidah, syariat dan akhlaq bakal membentengi umat daripada tipu daya musuh yang muncul dalam pelbagai rupa bentuk.

Wukuf di Arafah ialah berhenti sebentar, bukannya menetap di situ. Setelah itu perjalanan akan diteruskan lagi ke Muzdalifah (Masy'ar) dan Mina, juga sebentar. Maka, haji ialah sebuah perjalanan, sebuah pergerakan mutlak yang menuju Yang Abadi.

Kerja haji bermula di luar Kaabah. Seorang haji berhenti di padang Arafah, iaitu tempat terjauh dari kota Makkah dalam kerja haji. Arafah juga dikenali sebagai kota satu hari, dan segera lenyap setelah waktu Maghrib tanggal 10 Zulhijjah.

Arafah ialah sebuah padang gersang (walaupun kini telah ditanami pohon yang menghijau) yang dilapisi pasir halus. Terdapat bukit batu pasir yang bernama Jabal Rahmah, iaitu lokasi Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menyampaikan khutbah terakhir baginda. Arafah juga ialah tempat perkenalan Adam dan Hawa.

Wukuf bermula pada waktu Zuhur yang terang-benderang dan berakhir ketika hari beransur-ansur gelap (Maghrib). Arafah menjadi lambang awal penciptaan manusia yang perlu melalui proses pembelajaran. Manusia memperoleh kesedaran, wawasan, kemerdekaan, pengetahuan dan cinta pada waktu siang.

Doa ialah senjata bagi orang-orang yang beriman. Zikrullah pula bukan sekadar membasahkan lidah dengan kalimah-kalimah suci, bahkan memindahkannya dalam seluruh sistem kehidupan, cara berfikir dan sentuhan teknologi. Neraca nilai tertinggi disandarkan kepada keredaan-Nya semata-mata...

Sunday, November 14, 2010

ASRAMA PENUH UNTUK MURID MISKIN ("ELITE SCHOOLS" INTAKE POLICY REVISED)

Hakikatnya ibu bapa dan masyarakat memiliki persepsi tersendiri terhadap kategori sekolah yang mereka anggap sekolah cemerlang, sekolah sederhana dan sekolah prestasi rendah. Dalam penyelidikan pendidikan, klasifikasi sekolah dibahaskan dengan mendalam untuk kursus keberkesanan sekolah. Ada kategori sekolah cemerlang, merangkak dan tenggelam.

Sekolah berasrama penuh (SBP) kelolaan Kementerian Pelajaran dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kelolaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menduduki senarai teratas pilihan ibu bapa. Mutakhir ini, sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI), sekolah kelompok kecemerlangan (cluster) dan sekolah berprestasi tinggi (SBT) turut menjadi rebutan. Sekolah-sekolah berkenaan dipercayai memiliki kelebihan yang tertentu, termasuk bidang tujahan (niche area).

Memang benar bahawa kemudahan dan mutu pendidikan yang ditawarkan oleh sekolah harian yang lain adalah setara, tetapi ibu bapa tetap berebut-rebut mahukan tempat untuk anak-anak mereka di SBP, MRSM, SMKA, SBPI, kluster, atau sekurang-kurangnya dalam kelas rancangan khas (RK) di sekolah terpilih. Maka, apabila Kementerian Pelajaran mengumumkan untuk mengutamakan murid luar bandar atau murid daripada keluarga berpendapatan rendah untuk kemasukan tahun 2011, banyak ibu bapa murid cemerlang berasa bahawa impian mereka sudah berakhir. 

bersambung...

Saturday, November 13, 2010

MERANCANG PENULISAN KARANGAN (TO COMPOSE AND TO WRITE)

Acapkali juga setelah sesuatu keputusan peperiksaan diumumkan, terdengar cakap-cakap bahawa gred yang diperoleh oleh seseorang (bekas) calon sebagai tidak setimpal. Kebiasaannya, hal demikian berlaku dalam kertas yang berteraskan penulisan, contohnya bahasa, ekonomi, fizik, kimia atau sejarah. Antara rungutan yang biasa didengari termasuklah:

1   Saya dah tulis panjang lebar, mengapa markah masih ciput?

2   Pemeriksa terlalu kedekut agaknya!

3   Idea saya kira okeylah, camna boleh jadi gini ha?

Persepsi di atas bukanlah luar biasa. Dalam bidang pengukuran dan penilaian pendidikan, isu-isu sedemikian memang diberi perhatian. Kebolehpercayaan dan kesahan item soalan, serta keakuran dalam pemeriksaan sangat dititikberatkan, serta diselia dengan ketat sehingga nilai ralat pemeriksaan tidak melebihi satu peratus.

Dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini, walaupun pencapaian 10 peratus calon semua A mencatat sejarah, kertas Bahasa Melayu Penulisan menunjukkan penurunan melebihi 5 peratus. Banyak calon yang ditemui memberi ulasan yang mirip ketiga-tiga penyataan di atas. Benarkah begitu?

Namun, guru bahasa yang ditemui berpendapat kemungkinan besar calon melakukan khilaf dalam mengenal pasti tugasan soalan, iaitu perkara paling penting sebelum merancang penulisan karangan. Calon mungkin terkeliru antara "ulasan tentang buku yang dibaca" dengan "ulasan tentang kandungan buku yang dibaca". Bertitik tolak dari situ, isi jawapan tahap cemerlang, baik dan sederhana jelas berbeza.

Sebenarnya, tidak kira apa-apa juga kertas peperiksaan yang membabitkan penulisan, calon wajib mengenal pasti tugasan soalan dengan tepat, tanpa gagal. Memandangkan sebahagian kertas peperiksaan daripada UPSR, PMR, SPM, STPM, matrikulasi, diploma, ijazah asas, sarjana, doktor falsafah, peperiksaan ikhtisas, dan ujian aptitud kerja membabitkan penulisan, perkara yang serupa akan dihadapi berulang-ulang. Penggubal item soalan memang telah membuat pertimbangan yang cukup teliti justeru tujuan asas sesuatu peperiksaan ialah untuk membezakan (mendiskriminasikan) antara calon cemerlang, baik, sederhana dengan yang lemah...

Friday, November 12, 2010

MAHER TANGKIS KLON KILAS TANGKIS? (A NEW BADMINTON GROUP IN IPOH)

Sistem kiraan 15 mata dan tukar servis masih digunakan dalam permainan badminton. Alasan mereka yang berbuat demikian ialah pemain seharusnya mendapat mata secara tulen, iaitu dengan memegang servis. Barulah ada rasa teruja (thrill), kata mereka.
Dalam acara sukan prestasi tinggi, usia 27 tahun ke atas dianggap memasuki kategori senior atau veteran. Dalam permainan badminton, kumpulan berkenaan lebih cenderung bermain secara beregu (double) supaya tidak perlu berkejar sekeliling gelanggang seorang diri. Demikian juga yang dipraktikkan oleh sebuah kelab badminton yang baru ditubuhkan, iaitu Maher Tangkis.
Anggota tetap Kelab Maher Tangkis ialah guru lelaki SMK Raja Perempuan Ipoh (RPS), diketuai oleh Cikgu  Noorhazainol Derahin, serta dikuatkan oleh Cikgu Shahrizan Abdul Wahab, Cikgu Ridzuan dan Cikgu Khusairi. Di samping itu, terdapat beberapa orang pemain jemputan daripada sekolah-sekolah lain dan jiran-jiran anggota kelab. Sesi permainan mingguan ialah pada setiap hari Selasa dan Khamis, iaitu sejurus selepas waktu solat Asar dan sebelum solat Maghrib.
Gelanggang permainan kelab ialah Dewan Bankuasi Carsem di Kampung Sungai Rapat, dekat Medan Gopeng, Ipoh. Jika gelanggang tenis direka bentuk dengan pelbagai jenis permukaan, nampaknya di dewan berkenaan ialah permukaan simen. Sebagai perbandingan, permukaan gelanggang badminton di sekolah teknik Brash ialah parket, manakala di kompleks sukan MBI ialah getah sintetik.
Dewan Bankuasi Carsem merupakan hadiah pihak pengurusan Carsem, sebuah firma elektronik kepada penduduk Sungai Rapat atas kesudian menerima kehadiran premis kilang Carsem di situ. Sementara itu, ketika diajukan soalan tentang pemilihan nama kelab, Cikgu Hazainol mengatakan Maher Tangkis ialah nama sementara kerana semua anggota kelab menggemari jalur muzik yang dibawa oleh Maher Zain. Mereka bukanklah klon Kilas Tangkis, iaitu sebuah lagi kelab badminton yang berpangkalan di SMK St Michael, Ipoh...

Thursday, November 11, 2010

KSSR PERKENAL DUNIA S & T (NETWORKING LITERACY FOR YEAR ONE ELEMENTARY CURRICULUM)

Transformasi pendidikan sekolah rendah akan lebih rancak apabila Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai dilaksanakan terhadap murid tahun satu kohort 2011. Mata pelajaran Dunia Sains dan Teknologi (DST) akan menggantikan mata pelajaran Sains supaya kemahiran aplikasi teknologi maklumat didedahkan lebih awal. Kemahiran teknologi maklumat secara hands-on itu tidak akan dijuruskan kepada peperiksaan, sebaliknya murid dibimbing supaya berkeupayaan menggunakan proses inkuiri dan penemuan bagi memperoleh bahan maklumat mata pelajaran lain di bawah konsep merentas kurikulum.

Selain itu, murid tahun satu turut mempelajari sains hayat dan sains fizikal. Murid bakal didedahkan dengan pembelajaran kehidupan manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, reka cipta dan sains bahan secara lestari. Penilaian pencapaian ditentukan menerusi pemerhatian, kerja bertulis dan projek berasaskan sekolah.

KSSR ialah hasil penambahbaikan dan semakan terhadap kurikulum bersepadu sekolah rendah (KBSR) yang telah berjalan hampir tiga dekad. Sudah tiba masanya, sistem pembelajaran di sekolah rendah dijenamakan semula sejajar dengan perubahan persekitaran pendidikan dan keperluan penjanaan modal insan minda kelas pertama dalam mendepani cabaran era pascaglobalisasi kelak. Nilai tambah yang ditawarkan dalam KSSR sudah pasti bakal dilanjutkan pula untuk kurikulum standard sekolah menengah supaya berlaku satu kesinambungan dalam sistem pendidikan sama ada inklusif (tanpa pengecualian) atau eksklusif (pendidikan khas).

Pembelajaran DST dalam bahasa Melayu sepenuhnya bakal menghidupkan semula penggunaan daftar istilah sains dan teknologi selenggaraan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah dilupai buat seketika ketika era PPSMI. Budak sekolah sekarang tidak biasa dengan perkataan "raksa", sebaliknya lebih mengenali mercury. Begitu juga dengan istilah pengkerbedaan (pembezaan) yang sudah ditukar dengan differentiation.

Banyak penyelidikan mendapati bahawa sains dan matematik lebih mudah dipelajari dalam bahasa kebangsaan sesebuah negara. Wales dan Scotland yang bergabung dengan England dalam Great Britain juga tidak rela bahasa Welsh dan Scottish menerima nasib yang sama dengan bahasa Sanskrit atau bahasa Jawa klasik. Sebab itulah mereka menggunakan bahasa tempatan dan bukannya bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama persekolahan di sana.

Kaedah inkuiri dan projek bertulis pula akan membiasakan murid tahun satu sekolah rendah berjinak-jinak dengan proses pemerolehan ilmu pengetahuan menerusi dapatan dan penemuan penyelidikan. Minda kreatif dan reka cipta memang wajar dipupuk sejak usia awal kanak-kanak lagi. DST ialah antara landasan terbaik ke arah itu...

10 PERATUS CALON UPSR DAPAT SEMUA 'A' (FLYING COLOUR'S ACHIEVEMENT FOR YEAR SIX ELEMENTARY SCHOOLS)

Sejumlah 48,327 orang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mencatat keputusan semua A dalam peperiksaan berkenaan. Sebanyak 486,321 orang calon menduduki UPSR di 8,192 pusat peperiksaan. Demikian pengumuman sulung KPPM, Datuk Abdul Ghafar Mahmud di Putrajaya. 
Sementara itu, di Ipoh, Sekolah Kebangsaan Seri Ampang (SKSA) mencatat peningkatan dengan 28 orang calon mendapat semua A, iaitu melebihi 20 peratus bilangan calonnya. Guru Besar, Raja Zainal Abidin memberitahu pencapaian itu melebihi sasaran 26 orang yang ditetapkan. Untuk perbandingan, pada tahun sebelumnya, hanya 22 orang calon memperoleh semua A.
Perkara yang lebih membanggakan SKSA ialah kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman buat julung-julung kalinya. Guru-guru Bahasa Melayu telah berjaya mengenal pasti kaedah yang tepat bagi memastikan bahawa semua murid tahun 6 dapat menguasai mata pelajaran berkenaan dengan baik. Penyelarasan program kecemerlangan UPSR juga mendapat kerjasama dan sokongan yang begitu baik.
Laporan media menyebut bahawa pencapaian pelajar tahun 6 tahun ini sebagai paling cemerlang dalam tempoh satu dekad. Tumpuan bukan semata-mata diberi kepada kumpulan murid yang memperoleh semua A, bahkan kepada kumpulan murid kurang beruntung dari segi akses pembelajaran atas pelbagai sebab. Perkara yang lebih kritikal ialah sama ada UPSR juga berjaya mengukur domain pembelajaran selain kognitif, iaitu afektif, psikomotor dan somatik.
Selepas ini cerita-cerita tentang persaingan merebut tempat ke sekolah berstatus elit seperti sekolah berprestasi tinggi, sekolah kelompok kecemerlangan (cluster), sekolah berasrama penuh, sekolah premier dan sekolah kawalan akan menjadi sensasi. Hakikatnya, semua sekolah bantuan penuh kerajaan, dan sekolah bantuan modal dibekalkan dengan guru terlatih berkelayakan akademik dan ikhtisas yang tinggi. Di bawah kepimpinan pengetua, guru, murid dan ibu bapa yang berpandangan jauh dan kreatif, sekolah yang mungkin tidak diberi perhatian bakal muncul sebagai sekolah yang menjadi sebutan kelak.
Walau apa-apa pun, tahniah kepada semua calon UPSR 2010, tidak kira A belaka, atau gred yang lain kerana sesungguhnya kalian telah membanggakan negara. Ucapkan terima kasih kepada guru-guru, ibu bapa, datuk nenek, kaum keluarga, jiran, handai taulan yang telah turut mendoakan kejayaan anda dalam meniti kehidupan hari muka yang penuh pancaroba. Bersyukurlah ke Hadrat Ilahi yang mengurniakan kesejahteraan kepada kita...

Wednesday, November 10, 2010

BEKAS KAPTEN HOKI SERIKAN HARI KOKURIKULUM SMI (MICHAELIANS CO-CURRICULAR DAY 2010)

Ipoh, Khamis: 11.11.10 / 4 Zulhijjah 1431
Mohammad bin Abdul Hadi ialah nama besar dalam arena hoki negara. Beliau ialah pengasas dan presiden persatuan pemain hoki kebangsaan. Mohammmad pernah mengemudi skuad hoki negara menduduki tempat kesembilan dalam temasya sukan olimpik Barcelona pada tahun 1992, di samping sebanyak tiga kali menggondol pingat emas temasya sukan Sea.
Hari ini, Mohammad bin Abdul Hadi kembali ke alma mater tempat beliau menyerlah dalam bidang sukan, bermula dengan kriket. Beliau terpilih sebagai murid rancangan khas di SMK St Michael, Ipoh (SMI) antara tahun 1979 hingga 1983. Kata Mohammad, di sekolah rendah beliau bergelar pemain bola sepak.

Namun, saiz tubuh yang sedikit "obes" ketika itu, serta bilangan murid SMI yang begitu kuat bersaing untuk dipilih menganggotai skuad bola sepak sekolah menyebabkan beliau beralih ke bidang sukan yang lain. Tuah menyebelahi Mohammad kerana ketika berusia 16 tahun sudah berkesempatan ke luar negara untuk skuad hoki remaja negara.

bersambung...