Peluang bagi memiliki rumah idaman yang mempunyai laman di kawasan bandar raya sememangnya terhad. Kebanyakan penduduk kota metropolitan terpaksa memilih rumah teres atau rumah pangsa. Kecuali unit rumah kos rendah yang disubsidi oleh kerajaan, harga seunit rumah teres semuanya mencecah RM200,000.
Tinjauan di sekitar pinggir bandaraya Ipoh menunjukkan bahawa harga lot tanah banglo berukuran 80 X 60 kaki diletakkan pada RM200,000 ke atas. Kos pembinaan rumah sebuah (banglo) pula tidak akan kurang daripada RM250,000, tidak termasuk kemasan dalaman dan perabot. Dalam kata lain, seseorang yang berhasrat memiliki sebuah banglo berhampiran dengan bandaraya Ipoh, maksudnya dalam tempoh 15 minit pemanduan, perlu menyediakan kira-kira RM setengah juta.
Kos yang lebih rendah hanya mungkin diperoleh di kawasan kampung tersusun (RPT). Pemilik asal lot tanah ialah pemohon yang berjaya dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tanah. Mereka dikehendaki membayar premium antara RM7,000 ke RM20,000 untuk kos prasarana asas seperti jalan dan perparitan.
Kampung Sengat yang terletak bersebelahan dengan kawasan perumahan mewah Taman Botani di Simpang Pulai ialah antara contoh kampung tersusun terakhir di pinggir bandaraya Ipoh. Kedudukannya boleh dikatakan strategik justeru sangat berhampiran dengan jalan utama Ipoh-Gopeng dan susur masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan. Masih terdapat hak milik lot tanah yang bertukar tangan atas sebab-sebab tertentu.
Seorang penduduk yang ditemui menyatakan kepuasan kerana hasrat memiliki rumah hasil idea sendiri telah tercapai. Selain itu, kehijauan panorama alam dan suasana ala kampung moden yang bebas daripada kesesakan melampau ialah persekitaran yang sihat bagi pertumbuhan fizikal dan mental kanak-kanak. Kegiatan gotong-royong juga dapat disemarakkan kembali menerusi pusat kegiatan komuniti seperti surau dan balai raya yang sedang dalam proses perancangan terakhir.
No comments:
Post a Comment