Sunday, December 19, 2010

KASUT KELOPAK JANTUNG ANTOLOGI KOMSAS TINGKATAN 1 (NEW ANTHOLOGY FOR FORM ONE'S BM)

Murid tingkatan satu sudah mula didedahkan dengan pembelajaran komponen sastera menerusi senaskhah novel berdasarkan zon, serta sebuah antologi yang memuatkan sejumlah 25 buah karya sastera genre puisi tardisional dan sajak, prosa tradisional, cerpen, serta drama. Bilangan muka suratnya boleh tahan juga, iaitu 172 halaman, termasuk glosari.
Antologi yang dimaksudkan ialah "Kasut Kelopak Jantung" yang judulnya diangkat daripada cerpen pertama yang menghiasi muka surat 77 hingga 86. Semuka surat penuh (78) diperuntukkan untuk ilustrasi yang memaparkan wajah Ahmad, dan Cikgu Harun ketika muda, dan satu lagi sesudah bersara. Cerpen nukilan Ghazali Lateh itu menggunakan bahasa yang mudah, serta jalan cerita yang ringkas.

Ghazali Lateh bertindak sebagai pencerita (sudut pandangan orang ketiga, yang serba tahu). Watak utama, iaitu Cikgu Harun yang baru sahaja pencen menerima bungkusan hadiah yang diterimanya setiap kali tanggal 16 Mei, iaitu tarikh sambutan hari guru. Kemudian pembaca diasyikkan dengan imbasan kembali kenangan Cikgu Harun dengan pengirim hadiah berkenaan, iaitu Ahmad, seorang murid miskin di pedalaman.

Cikgu Harun yang baru mula bertugas sebagai pendidik digambarkan sebagai berdarah muda dan kurang memahami kesusahan kanak-kanak kampung seperti Ahmad yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dalam kelas darjah hanya Ahmad yang tidak berkasut putih. Malah, sejak selipar Jepun yang disarungnya putus, Ahmad hanya berkaki ayam.

Tujuan asal Cikgu Harun menegur Ahmad saban hari ialah supaya memindahkan desakan itu kepada ibu bapanya. Namun, kemarahan Cikgu Harun memuncak apabila Ahmad tidak menukar pakaian sukan, apatah lagi hendak menyarung kasut sukan. Ahmad didenda memakai kelopak jantung yang diikat dengan tali rafia merah dari kantin sebagai kasutnya.
Ahmad berasa malu diperlakukan demikian, malah dijadikan jenaka murid lain. Dia hanya mampu mengalirkan air mata sambil menunggu murid lain balik semuanya sebelum beredar sendirian. Cikgu Harun telah memberikan amaran supaya Ahmad tidak menanggalkan kasut kelopak jantung berkenaan hinggalah dia berjaya membeli kasut yang dikehendaki.

Seminggu lamanya Ahmad tidak hadir ke sekolah, walaupun sebelumnya dia tidak pernah ponteng. Khabar bahawa Ahmad mahu berhenti sekolah menyebabkan Cikgu Harun diserang rasa bersalah dan kesal. Pada sebelah petangnya, Cikgu Harun bermotosikal ke rumah Ahmad melalui denai-denai sempit yang dipenuhi batu kerikil, duri semalu dan semak. Ibu Ahmad memberitahu bahawa Ahmad mengambil upah memetik cili.

Demi terpandang Ahmad yang masih menyarung kelopak jantung yang sudah hancur berjurai-jurai, Cikgu Harun mulai tersentuh.Cikgu Harun bergegas ke pekan berhampiran membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut buat Ahmad. Kasut kelopak jantung itu kini dianggap oleh Ahmad sebagai pendorong hingga dia kini bergelar sebagai pengurus firma pengeluar kasut yang terkemuka di bandar.

Perbincangan:

1    Perwatakan:  Cikgu Harun ialah seorang yang tegas, tetapi penyayang dan pemurah.

                           Ahmad ialah murid yang taat, ikhlas dan gigih.

2    Latar masyarakat:   masyarakat yang tegas, masyarakat penyayang, masyarakat pemurah, masyarakat 
                                    yang taat, masyarakat yang ikhlas, dan masyarakat yang gigih.

3    Nilai:   kasih sayang, kegigihan, kepatuhan, murah hati, dan mengenang jasa.

4    Persoalan:  kasih sayang antara guru dengan murid, kegigihan seorang murid miskin, kepatuhan murid
                       terhadap arahan guru, sikap murah hati terhadap orang miskin, dan murid yang mengenang jasa guru.

5    Pengajaran:   Kita hendaklah menyayangi sesama manusia
                           Kita hendaklah gigih dalam menghadapi cabaran kehidupan
                           Kita hendaklah patuh kepada arahan guru
                           Kita hendaklah bermurah hati kepada orang miskin
                           Kita hendaklah mengenang jasa guru

6    Latar tempat:   bilik darjah, padang sekolah, rumah Ahmad

7    Latar masa:   pagi (semasa pembelajaran), petang (di rumah Ahmad)

8    Tema:  Kasih sayang antara guru dengan murid di sebuah sekolah pedalaman

9    Teknik penceritaan:   imbas kembali, sudut pandangan orang ketiga

10   Gaya bahasa:   ayat penyata, ayat tanya

3 comments:

  1. suka sangat kisah kasut kelopak jantung pisang ni...
    :)

    ReplyDelete
  2. saya tengok kt buku ade 174 muke surat termasuk antologi...

    ReplyDelete