Monday, December 13, 2010

PERJALANAN MELEWATI TEROWONG (THE TUNNEL TECHNOLOGY)

Pertambahan bilangan kenderaan dan rangkaian jalan raya bagi merangsang aktiviti ekonomi mewujudkan keperluan reka bentuk dan struktur binaan laluan yang mencukupi dan selamat. Selain itu, kepelbagaian jenis kenderaan dan kecekapan dari segi tempoh perjalanan antara destinasi juga diberi pertimbangan yang penting. Isu-isu bentuk muka bumi, serta pengambilan tanah individu juga harus diselesaikan tanpa menjejaskan mana-mana pihak.
Di Malaysia, permintaan terhadap pengangkutan darat makin meningkat sejajar dengan pertambahan jumlah penduduk, kuasa beli dan gaya hidup masyarakat. Kemajuan teknologi memungkinkan pembinaan lebih banyak jalan raya yang bersifat lurus, serta lebih banyak lorong, bagi menggantikan laluan berliku-liku dan sempit. Belakangan ini, jalan bandaran dan jalan negeri juga didapati menuruti ciri-ciri yang ada pada pembinaan lebuh raya.

Sebagai sebuah negara yang bergunung-ganang, pembinaan jalan raya menelusuri lereng mengakibatkan laluan yang bengkang-bengkok, curam, mendaki dan seringkali perlu membelok secara bulatan. Mungkin pada zaman dahulu ketika kenderaan hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan, keadaan sedemikian menimbulkan cabaran dan keseronokan. Namun, kini dengan kuasa beli masyarakat yang makin meningkat, selain kemudahan kredit pembelian kenderaan, pemilikan kereta penumpang persendirian tidak lagi bersifat eksklusif.

Jalan raya sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan manusia. Sistem keluarga atom (berserakan) telah menggantikan sistem keluarga nukleus (bertumpu, setempat) menyebabkan aktiviti perjalanan menziarah keluarga yang jauh menjadi kebiasaan. Masing-masing pula hendak cepat tiba ke destinasi.
Antara kaedah mengatasi jalan seperti ular kena palu itu ialah pembinaan terowong. Walaupun kos yang perlu ditanggung agak tinggi, tetapi dalam jangka panjang, tempoh perjalanan yang dapat disingkatkan memberikan keuntungan terhadap kegiatan ekonomi. Pengguna tidak lagi pening-pening, kos penyenggaraan kenderaan lebih rendah dan pelepasan gas karbon monoksida mungkin dapat dikurangkan.
Terowong Karak di Pahang, dan Terowong Menora berhampiran Jelapang, Perak ialah contoh terowong yang penting dalam sistem lebuh raya negara kita. Laluan dua lorong sehala dalam terowong memang lurus, tetapi awas sebaik sahaja melepasinya, keadaan jalan mula berliku-liku sambil menuruni cerun yang agak curam. Pemandu kenderaan perlu lebih berwaspada dalam mengendalikan kawalan kenderaan, sambil melihat-lihat tindak-tanduk, serta pergerakan jiran (kenderaan lain yang berhampiran).

Sistem terowong yang lebih canggih terdapat di ibu kota, iaitu terowong bawah tanah Smart yang juga ditukar fungsinya sebagai laluan banjir apabila diperlukan. Mungkin suatu hari nanti rakyat Malaysia berpeluang mempunyai terowong bawah laut sepertimana yang menghubungkan London dengan Paris. Tidak salah untuk berimaginasi sekali-sekala asalkan tidak berlarutan...

No comments:

Post a Comment