Antara tujuan pengwujudan pusat kegiatan guru (PKG) ialah bagi memudahkan para pendidik memiliki akses terhadap sumber pembelajaran terkini demi kebaikan murid di sekolah masing-masing. Selain bahan bantu mengajar, PKG berfungsi sebagai pusat sehenti bagi guru mengorganisasi dan menyertai aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan profesionalisme amalan keguruan terbaik. Justeru, jawatankuasa PKG yang terdiri daripada pengetua dan guru besar di sesebuah kelompok atau zon yang ditetapkan seharusnya memikirkan dasar dan strategi yang mantap bagi menarik minat guru memanfaatkan segala kemudahan PKG.
Kakitangan PKG yang diterajui oleh seorang pegawai atau penolong pegawai teknologi pendidikan, pembantu tadbir dan pembantu am yang ditempatkan di PKG bertanggungjawab kepada Bahagaian Teknologi Pendidikan (BTP) yang memiliki kompleks tercanggih di ibu negara, dan kompleks cawangan di setiap ibu negeri. Mereka bertindak sebagai urus setia yang melaksanakan keputusan-keputusan BTP dan jawatankuasa kelompok sesebuah PKG. Kebolehan kakitangan PKG, khususnya bahagian teknikal sentiasa ditingkatkan dari masa ke masa supaya mereka dapat menawarkan perkhidmatan yang selaras dengan kemajuan terkini teknologi pendidikan.
Paa kebiasaannya, pusat kegiatan guru (PKG) menumpang di kawasan sekolah rendah. Bangunannya pula hanya terhad kepada dua aras, dan empat bilik bagi ruang aktiviti. Berlainan pula dengan PKG yang satu ini...
PKG yang dimaksudkan terletak di Tapah Road, kira-kira 10 kilometer dari pekan Tapah, 63 kilometer dari Ipoh (jarak menerusi lebuh raya) dan hampir 40 kilometer dari bandar Teluk Intan. Pilihan lain untuk tiba ke PKG Tapah Road ialah dengan menggunakan pengangkutan kereta api. Jarak stesen kereta api Tapah Road dengan PKG hanyalah sepelaung, iaitu kira-kira 100 meter sahaja.
pandangan dari tingkat atas PKG berkenaan
Bangunan PKG setinggi lima tingkat itu pada asalnya dimaksudkan sebagai kuarters guru, tetapi diubah fungsinya sebagai PKG. Alangkah baiknya jika PKG itu sekurang-kurangnya enam tingkat supaya diwajibkan memiliki sistem lif sebagaimana syarat bangunan tinggi. Namun, di pekan Tapah Road, PKG memgang status bangunan tertinggi, serta sebagai mercu tanda yang mudah dilihat..
Bangunan PKG Tapah Road dirasmikan oleh mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkarnain, sebelum beliau bersara awal untuk lantikan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Kelainan PKG Tapah Road pasti 'dicemburui' oleh PKG-PKG lain di seluruh negara. Dengan kawasan yang begitu luas untuk tempat letak kereta dan lanskap, serta ruang aktiviti dalam bangunan yang lebih daripada cukup menjadikan PKG Tapah Road begitu unik.
Bilik aktiviti yang terdapat di PKG Tapah Road boleh diubah suai sebagai ruang mesyuarat atau dewan seminar mini. Selain untuk kegunaan guru di kelompok sekolah setempat, PKG Tapah Road juga mengalu-alukan kehadiran guru-guru dari seluruh negara asalkan tarikhnya bersesuaian dengan jadual aktiviti yang tersenarai dalam takwim aktiviti tahunan yang ditetapkan lebih awal. Malah, aktiviti pelajar seperti Kem Nilam boleh dianjurkan di sini.
Dua aras kompleks PKG Tapah Road dikhaskan untuk penginapan yang selesa untuk 20 orang. PKG telah menyediakan katil dan tilam. Peserta yang berhasrat untuk menginap dikehendaki membawa keperluan lain seperti bantal, cadar dan selimut.
No comments:
Post a Comment