Wednesday, December 15, 2010

WIKILEAKS MACAM DINDING BERCAKAP (THE THREAT TO SECRET)

Minggu-minggu terakhir tahun 2010 nampaknya disibukkan dengan kebocoran maklumat diplomatik yang jumlahnya menghampiri 300,000 perbualan dan perbincangan yang diklasifikasikan sebagai rahsia. Wikileaks tiba-tiba mendapat perhatian luar biasa, mengatasi jauh laman Wikipedia yang lebih awal dikenali. Pendedahan dalam Wikileaks mengakibatkan banyak pihak berasa tidak selesa kerana tidak menyangka ulasan-ulasan serta penilaian peribadi terhadap kawan dan lawan mereka sudah tidak dapat ditutup lagi.

Siapa menyangka bahawa pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat sanggup mengata sekutu mereka sendiri seperti Australia, Britain, Peranchis dan lain-lain. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Walaupun penilaian seumpama itu bukanlah luar biasa sangat dalam konteks organisasi, tetapi apabila terlepas keluar, pihak yang dipalitkan dengan cakap-cakap yang tidak enak itu pasti sukar melupakannya.

Kerja memintas komunikasi menerusi manipulasi elektronik dan orang dalam memanglah jelas tidak beretika. Sebab itulah segala butiran dalam sesuatu mesyuarat perlu dirahsiakan, kecuali yang diputuskan sebaliknya untuk tujuan tindakan selanjutnya. Biasanya banyak juga perkara yang off record, iaitu tidak boleh disebut di luar ruang mesyuarat, misalnya tentang tingkah laku seseorang pegawai organisasi yang tidak ada dalam mesyuarat.

Malaysia nampaknya tidak terkecuali, terutama yang membabitkan ulasan pemimpin negara jiran terhadap banyak perkara yang sensitif, apatah lagi apabila disuarakan kepada diplomat Amerika Syarikat. Media turut menyambut maklumat Wikileaks dengan pelbagai versi, sedangkan sepatutnya kita mengambil sikap lebih berhati-hati. Kita perlu mempamerkan kebijaksanaan yang tertinggi, iaitu bertindak tepat pada masa, tempat dan sasaran.

Usaha menyekat akses kepada Wikileaks umpama permainan galah panjang yang begitu popular dalam kalangan budak kampung. Satu petak disekat, satu petak lain ditembusi. Walaupun pengasasnya berjaya ditahan, tetapi sudah tentu pelapisnya lebih banyak, serta boleh muncul satu demi satu tanpa diduga.

Pengajarannya cukup panjang untuk disenaraikan justeru pengalaman yang serupa pernah dilalui oleh generasi silam walaupun dalam persekitaran yang berlainan. Budak sekarang yang tidak mengenali tempayan boleh diberitahu akan maksud peribahasa mulut tempayan. Hakikatnya amanah menyimpan rahsia sangat sukar untuk ditanggung melainkan oleh orang kepercayaan yang telah menjalani pendidikan kerohanian (spiritual strength) tahap tertinggi...

No comments:

Post a Comment