Wednesday, January 19, 2011

DRAMA "TIANG CENGAL DINDING SAYUNG" KOMSAS TINGKATAN 5 (NEVER UNDERRATED DISADVANTAGE PEOPLE)

Pendahuluan

Sebab judul skrip drama nukilan Suriani Mohd. Yusof macam cerita tentang rumah kampung itu hanya terjawab pada perenggan terakhir (antologi Dirgahayu Bahasaku: muka surat 234). Judul itu ambilan ujaran Pak Man yang ditujukan kepada Man Bengap, cucu angkatnya yang lurus dan polos, justeru tergolong dalam kategori insan istimewa. Namun, sisi manusiawi dan kepekaan Man Bengap terhadap erti kasih sayang mengatasi sikap Sabri, Sabariah, Shahrul dan Salmah yang berpendidikan tinggi, serta berjawatan hebat tetapi kontang tidak berjiwa.

Watak dan perwatakan 

Jimah, 55 tahun, isteri Jumaat yang tidak ditemui beberapa hari akibat tsunami yang menenggelamkan bot nelayannya. Ibu kepada Sabri, Sabariah, Shahrul dan Salmah, serta ibu angkat kepada Dr. Sani. Setia menunggu kepulangan suami walaupun mulut celupar Sabariah mengatakan ayah mereka telah mati. Jimah memulangkan semua wang yang dikirimi anak-anak tanpa mengusik satu sen pun kerana dapat menjangkakan bila-bila masa akan diungkit. Semuanya tersimpan dalam buku akaun atas nama setiap orang anaknya.

Sabri, 37 tahun, anak sulung Jimah. Arkitek. Suka memberi nasihat, mendamaikan pertelingkahan adik-beradik dan merasionalkan keadaan. Namun, Sabri gagal mempengaruhi adik-adiknya supaya berubah laku dan lebih cermat bercakap dengan ibu mereka.

Sabariah, 34. Angah (anak kedua). Lulusan ekonomi dan menetap di London. Bercakap tanpa tapisan, termasuk kepada ibunya, Jimah. Mengungkit pemberian wang bulanan 100 paun sterling, serta menyalahkan ayahnya kerana terus ke laut. Memarahi Shahrul yang tergesa-gesa hendak pulang ke Kuala Lumpur, serta menempelak Salmah yang berpakaian seksi. Tidak menyetujui saranan supaya membawa Jimah ke London andainya bapa mereka mati.

Shahrul, 30. Alang (anak ketiga), akauntan yang bekerja dengan bank di Kuala Lumpur. Lebih mementingkan kerja daripada bersama-sama ibu di kampung.

Salmah, 29. Juga dipanggil Putih, pereka fesyen yang beroperasi di Ipoh. Masih bujang, tetapi hanya balik pada hari keempat kejadian tsunami yang membabitkan bapa.

Sani, 28. Doktor, anak angkat Jumaat dan Jimah. Paling kerap menjenguk Jimah dan Jumaat di kampung.

Wan Malini, 23. Isteri Dr. Sani.

Man Bengap, 25. Cucu angkat Pak Man dan Mak Jah. Terencat akal, tetapi berani dan empati. Sentiasa memegang lastik, dan berjaya menghalau dua orang penjahat, Wahid dan Senin.

Pak Man, 60. Nelayan kampung yang tajam pengamatan tentang falsafah kerukunan keluarga. Reda walaupun tidak dikurnai zuriat daripada perkongsian hidup dengan Mak jah.

Mak Jah, 55. Isteri Pak Man / nenek angkat Man Bengap. Banyak memberi nasihat. Memahami tindakan Jimah yang tidak berganjak dari pantai walaupun dipujuk untuk balik ke rumah. Berfikiran positif dan bijak.

4 comments:

  1. salam,cikgu...
    tema cerpen tiang cengal dinding sayung tak de ke??
    puas saya cari tapi tak jumpa pun cikgu!!!tolong ya cikgu
    saya nak as soon as possible

    ReplyDelete
  2. Jika berdasarkan pengenalan cerpen (Dirgahayu Bahasaku, muka surat 187), tema yang berkemungkinan ialah:

    ketabahan seorang ibu dalam menunggu kepulangan suami yang ditimpa bencana, serta menghadapi sikap anak-anak yang hanya mementingkan diri sendiri...

    perbincangan lanjut menyusul, Insya-Allah.

    ReplyDelete
  3. salam, cikgu....
    boleh tanya saya maksud taing cenggal dinding sayung? saya nak as soon as possible juga.

    ReplyDelete
  4. Xiangxing xai

    ada diterangkan dalam bahagian pengenalan, iaitu merujuk watak mat bengap.

    tiang cengal = kayu keras bermutu tinggi yang dijadikan tiang untuk binaan sebuah bangunan yang kukuh (peribadi yang unggul)

    dinding = bahagian sisi sebuah bangunan sebagai pemisah pandangan mata secara fizikal

    sayung = tirus yang tidak seimbang kemiringan sisinya

    dinding sayung = dinding yang tirus (satu bahagian lebar, satu bahgian lagi sempit

    merujuk watak mat bengap, tiang cengal dinding sayung ialah satu kiasan / perbandingan tentang sifat "lurus" / jujur / manusiawi (kemanusiaan) walaupun dia insan istimewa yang dianggap tidak boleh berfikir dengan tepat.

    ReplyDelete