Wednesday, January 5, 2011

MENDAFTAR DI SBP TERBAIK (STAR RATED SCHOOL REGISTRATION)

Ipoh, Rabu: 5.1.11 / 30 Muharram 1432

Pelajar yang mementingkan kecemerlangan pendidikan pasti memasang impian untuk diterima masuk ke institusi pengajian ternama sama ada sekolah, kolej, mahupun universiti. Sejak al-Azhar, Mesir mempelopori tradisi pengajian tinggi, kedudukan dan penarafan sesebuah universiti di peringkat antarabangsa sentiasa mendapat perhatian dunia cendekia, penaja biasiswa dan organisasi yang hebat-hebat. Harvard, Massachussete Institute of Technology, Princeton, Yale (Amerika Syarikat), Oxford, Cambridge, London School of Economics (Britain) dan Royal College of Medicine, Dublin (Ireland) ialah contoh universiti yang telah memiliki jenama kukuh yang menjadi rebutan pelajar terbaik seluruh dunia.

Bagaimanakah dengan pemilihan sekolah oleh murid dan ibu bapa, khususnya di negara kita? Walaupun pihak berkuasa pendidikan sudah jenuh memberi jaminan bahawa semua sekolah bantuan kerajaan dan bantuan modal adalah setara dari segi kelayakan tenaga pengajar dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran, ibu bapa tetap berebut-rebut mahu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah yang dipercayai menyediakan persekitaran pembelajaran yang terbaik. Maka, sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dan sekolah bestari tahfiz menduduki senarai teratas pilihan mereka.
Dalam kalangan berpuluh-puluh SBP, 7 buah daripadanya bertaraf premier yang membuat pengambilan pelajar dari seluruh negara berbanding SBP lain lebih bertumpu kepada calon-calon tempatan dan berhampiran. Beberapa buah MRSM pula diprojekkan sebagai MRSM super. Sekolah bestari tahfiz seperti Imtiaz Yayasan Terengganu mensyaratkan tapisan yang cukup ketat kepada pemohon dari segi penguasaan bacaan al-Quran dan tulisan jawi.
Dato' Nasir, presiden Staroba

Salah sebuah SBP premier ialah Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star) yang ditubuhkan setahun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Alam Shah, Putrajaya dan Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Star dikhususkan untuk murid lelaki. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya (dahulu Kolam Ayer), Tun Fatimah, Johor Bahru, Kurshiah Seremban pula dikhususkan untuk murid perempuan.

Pendaftaran SBP dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini. Di Star, sebanyak 120 tempat ditawarkan kepada murid cemerlang UPSR merangkumi pencapaian akademik, kepimpinan dan sukan. Daripada jumlah itu, hanya 20 tempat diperuntukkan untuk anak negeri Perak.
Proses pendaftaran bermula seawal pukul 8.30 pagi di dewan besar Star. Murid telah siap diagihkan kepada empat buah kelas, S, T, A dan R. Urusan pendaftaran dikendalikan oleh guru tingkatan masing-masing dengan bantuan jawatankuasa dalam kalangan murid senior.
Sebaik berada dekat meja pendaftaran, akan muncul seorang murid senior memperkenalkan diri sebagai abang angkat kepada pelajar baharu berdasarkan ketetapan pihak sekolah. Contohnya, Ahmad Nuruddin menerima Muhammad Iqbal sebagai abang angkat. Setiap abang angkat akan membantu pelajar baharu dan ibu bapa sepanjang proses pendaftaran hinggalah menyiapkan penginapan kamar asrama. 
Perbelanjaan untuk membeli kelengkapan sekolah dan asrama sahaja melebihi RM250, selain persiapan sendiri sebelum mendaftar. Walau bagaimanapun, 30 peratus murid baharu Star ambilan khas dengan pendapatan isi rumah RM700 ke bawah sebulan menerima bantuan kewangan sepenuhnya. Kebanyakan mereka datang dari Kelantan, serta terdapat beberapa murid orang Asli, kesemuanya mencatat 5A dalam UPSR selain memiliki bakat lain yang boleh diketengahkan.
Haji Hashim ketika meninjau proses pendaftaran

Dalam sesi taklimat kepada ibu bapa, Tuan Haji Hashim Abdul Karim menegaskan bahawa Star tidak pernah berkompromi tentang kecemerlangan. Buktinya, selama 3 tahun berturut-turut Star menduduki tempat pertama pencapaian PMR negeri Perak, dan hanya dipisahkan dengan selisih yang kecil di belakang Alam Shah, serta SBP premier perempuan yang lain di peringkat kebangsaan. Star juga berjaya menghantar beberapa kumpulan murid menyertai program antarabangsa di Jepun, Itali dan United Kingdom.
Selain Haji Hashim sebagai bekas murid Star, pengerusi PIBG (CEO Tradewinds)  juga demikian. Sementara itu, presiden bekas murid (Staroba), CEO Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sanggup meluangkan masa bagi memberi motivasi kepada ibu bapa dan murid. Dato' Nasir turut mengimbas majlis graduasi kohort ke-50 Star baru-baru ini yang menandakan anggota Staroba telah mencecah angka 5,000 orang semuanya.

Ibu bapa dan anggota keluarga dibenarkan mengiringi anak mengemaskan katil dan almari di kamar asrama. Kesempatan itu juga digunakan untuk bertegur sapa dengan anggota rombongan murid yang sekamar. Masing-masing melafazkan rasa syukur dan lega justeru proses pendaftaran di Star begitu lancar dan teratur...

No comments:

Post a Comment