Monday, January 24, 2011

PENULIS NOVEL CINTA SESATKAN PELAJAR SAINS? (ENDLESS LOVE OR ETERNAL LOVE?)

Sedikitnya penulis yang memiliki latar belakang keagamaan yang kukuh menyebabkan tugas menyebarkan kebaikan dan nilai-nilai murni diambil alih oleh penulis-penulis yang kurang peka terhadap kewajipan dan tegahan dengan bersandarkan dalil-dalil yang autentik. Maka, segala kebaikan dan nilai murni yang cuba diterapkan lewat karya mereka mungkin hanyalah berupa sangkaan dan tekaan sahaja. Antara "ustaz" yang aktif dalam dunia penulisan kreatif ialah Azizi Haji Abdullah, Faisal Tehrani, (Dr.) Shafie Abu Bakar, (Prof. Emeritus Dato') Shahnon Ahmad, dan tidak ketinggalan (Almarhum Prof. Dr.) Hamka, atau nama penuh beliau, Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim dari tanah seberang yang sinonim dengan kisah Hayati dan Zainuddin menerusi "Tenggelamnya Kapal Van Der Vijck".

Demikianlah inti sari penting pendapat seorang penceramah slot Radio Perak FM, 1.30 - 2.00 petang Isnin, 24 Januari 2011, bersamaan 19 Safar 1432 Hijriyyah. Penceramah berkenaan menyatakan rasa kesal justeru novel-novel remaja yang berlambak-lambak di pasaran kekurangan sentuhan golongan yang kompeten dalam ilmu. Akibatnya, golongan pembaca remaja disogokkan dengan kebaikan dan nilai-nilai murni yang belum tentu selari dengan kehendak dan piawai masyarakat yang dekat dengan citra al-amru bi'l-ma'ruf, wa'n-nahyu an'il-munkar.

Walaupun belum ada dapatan penyelidikan besar tentang korelasi antara bacaan novel cinta picisan dengan kerosakan akhlak remaja dan muda-mudi, nasihat dan teguran penceramah berkenaan hendaklah dipandang serius oleh sekalian penerbit dan penulis novel supaya tidak bersubahat atau menyumbang saham terhadap perkara yang membabitkan dosa dan permusuhan. Penulis-penulis novel dan genre kreatif yang lain mesti menginsafi tanggungjawab mereka yang akan ditanyai di mahkamah Rabbul-Jalil di Mahsyar kelak. Naskhah yang mempromosi aktiviti lagha dan maksiat mestilah dijauhi, dan tiada pilihan tentang itu.

Memang diakui terdapat banyak aliran pemikiran dan mazhab (schools of thought) tentang penulisan kreatif seperti absurd, realisme dan surrealisme. Namun, kebebasan berkarya bukanlah lesen yang melayakkan seseorang penulis itu melukiskan kata-kata yang berisiko menjerumuskan pembaca ke arah keputusan dan pertimbangan yang menyimpang daripada kehendak agama, akhlak dan hukum-hakam. Kalaupun 95 peratus kandungan novel mempromosi kebaikan dan nilai yang selari, tetapi 5 peratus bakinya bersifat "sesat", maka racun pemikiran itu akan menjalar ke segenap urat nadi pembaca jika lambat menemui penawar yang mujarab.

Penulis-penulis genre kreatif ialah insan berbakat yang dapat melihat dan kemudiannya melukiskan sesuatu situasi dan perincian figura dalam susunan kata yang begitu memikat dan berbekas. Benarlah peribahasa bahawa mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Tinta seseorang penulis bisa membangkitkan jiwa yang sudah kontang, membakar semangat daya juang bangsa dan menyemai jati diri generasi muda.

Kebanyakan orang boleh bercakap berjam-jam lamanya tanpa henti, tetapi jika disuruh menulis dia akan mengangkat kedua-dua belah tangan tanda "mengaku kalah". Moga-moga bakat dan kecerdasan linguistik yang dimiliki penulis naskhah kreatif menjadi medium terbaik bagi memupuk penghayatan kebaikan, serta nilai-nilai murni yang sebenar. Justeru penulis mesti sanggup mendampingi ahli atau pakar rujuk agama sebelum karya yang dihasilkan dihantar untuk cetakan.

Tempelakan keras al-Qur'an terhadap penyair Quraisy jahiliyah yang mengembara di lembah-lembah bagi mendapat ilham, tetapi menolak risalah Nabi (mereka menggantung hasil karya sesat mereka di sekitar Kaabah) perlu menjadi iktibar. Walaupun penulis memiliki kekuatan bahasa dan imaginasi, nukilan mereka hanya akan bernilai seandainya berpaksikan aqidah, syariat dan akhlak. Jika sebaliknya, kerja yang hebat itu ibarat logam maya (fatamorgana), iaitu kebaikan dan nilai murni yang tidak kesampaian.

Akhir sekali, apa pula kaitan tajuk ini dengan budak-budak sains? Kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, penulis blog (PB) sempat berbual-bual dengan seorang doktor dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sebaik beliau usai berceramah tentang kecederaan sukan dalam kalangan murid sekolah. Doktor muda yang masih bujang itu ialah bekas Andersonian (SMK Anderson, Ipoh tahun 2000) dan belajar perubatan di Royal College of Dublin, Ireland. PB mendapati doktor muda berkenaan petah bercakap, serta memiliki empati yang tinggi terhadap pesakit.

Sebenarnya, murid aliran sains juga perlukan pendedahan komponen sastera (komsas) supaya mereka akan menghargai dan menyukai elemen kecindan apabila berurusan dalam pekerjaan suatu hari nanti. Di Amerika Syarikat, pengajian secara liberal, iaitu pelajar sains di universiti diwajibkan mengambil kursus sastera dalam nisbah 20 - 30 peratus bertujuan memupuk saintis dan pakar yang peka terhadap sisi sensitiviti masyarakat yang mendambakan sumbangan dan khidmat mereka. Amerika belajar daripada dapatan A Nation at Risk dan The Closing of the American Mind.

Budak sains seperti doktor muda tadi pernah beroleh pengalaman pembelajaran komsas yang memberi jiwa kepada setiap keputusan dan tingkah laku mereka sepanjang hayat. Malah, urusan dengan manusia memerlukan bahasa yang mudah, sopan dan tidak ketinggalan unsur kecindan. Kebanyakan masalah yang dihadapi oleh manusia berpunca daripada kekurangan ilmu yang sah... Wallahu a'lam bi's-sawab.

No comments:

Post a Comment