Amerika Syarikat tidak pernah mewartakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi mereka. Sebaliknya, Amerika Syarikat yang mengamalkan doktrin disentralisasi dalam kalangan 50 buah negerinya menyerahkan perkara berkenaan kepada setiap negeri. Terdapat sebilangan perbezaan ejaan dan sebutan dengan bahasa Inggeris baku, iaitu Queen's English, misalnya sebutan "zi" untuk huruf z (zet di United Kingdom), ejaan behavior, color (behaviour, colour), serta sebutan perkataan yang berakhir dengan -et (basket, market, pocket).
Bahasa Melayu pula termaktub sebagai bahasa kebangsaan utama di Singapura bagi menghormati masyarakat Melayu yang merupakan penduduk asal sebelum kaum imigran membentuk majoriti penduduk negara pulau bandar raya itu. Namun, dalam hampir semua urusan rasmi, bahasa Inggeris diberikan keutamaan. Pengalaman penulis blog (PB) ketika mengunjungi Singapura pada awal 1990-an sangat melucukan kerana jurupandu rombongan yang mengaku sebagai guru bahasa Melayu memohon izin bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya berasa lebih selesa!
Negara-negara bekas jajahan seperti Filipina, India, Namibia dan Nigeria pula menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di samping bahasa utama negara masing-masing kerana terlalu banyak dialek dan loghat yang dituturkan. Negara matahari terbit Jepun yang masih trauma dengan bencana gempa dan tsunami baru-baru ini lebih tegas dalam menjulang martabat bahasa kebangsaan masing-masing hingga pihak yang hendak berurusan dengan mereka mesti mempelajari bahasa Jepun. PB pernah cuba bersembang dengan pelancong Jepun dekat A Farmosa di Melaka suatu ketika dahulu, tetapi mereka lebih faham bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris!
Jumlah penutur terbesar bahasa Melayu ialah di Indonesia, walaupun negara 17,000 buah pulau itu memiliki tidak kurang daripada 300 bahasa berdasarkan wilayah seperti Melayu Riau, Batak, Minangkabau, Banjar (Kalimantan), Ambon, Menado (Sulawesi), Papua (Irian), Sunda (Jawa), Madura dan Bali. Pemerintah Indonesia begitu tegas dalam proses penyatuan (asimilasi) rakyat dengan memaktubkan bahasa Melayu (Indonesia) sebagai bahasa rasmi yang dituturkan dan medium tunggal pendidikan di sekolah. Mereka sanggup mengorbankan sistem ejaan bahasa Jawa klasik yang kini hanya dipelajari di universiti.
PB menyaksikan sendiri seorang kanak-kanak Cina berusia 5 atau 6 tahun berkomunikasi dengan ayahnya, seorang peniaga fabrik di Pasar Baru Bandung dalam bahasa Melayu Indonesia secara total. Tidak sepatah pun perkataan bahasa Cina dituturkan. Menurut pemandu pelancong, hanya baru-baru ini pemerintah Indonesia memberi kelonggaran kepada kaum Cina Indonesia untuk menonjolkan identiti kecinaan masing-masing, tetapi masyarakat Cina Indonesia yang sudah serasi dengan identiti tempatan berasa canggung dan kekok bagi melakukannya.
Selain itu, tiada paparan tulisan Cina menghiasi gedung-gedung perniagaan di kota Jakarta dan Bandung. Hanya terdapat papan tanda bertulisan rumi dalam bahasa Melayu Indonesia, dan beberapa tulisan berbahasa Inggeris untuk maksud pelancongan. Kemungkinan masyarakat Cina Indonesia masih dibayangi peristiwa pembantaian pada tahun 1748 di tengah-tengah kota Jakarta, walaupun jumlah 3% daripada jumlah penduduk Indonesia itu kembali menguasai kegiatan ekonomi utama seperti konglomerat keluli Gunawan.
Jurujual keturunan Sunda yang cuba berbahasa ibunda mereka cepat-cepat menukar pertuturan mereka ke bahasa Melayu Indonesia apabila diminta berbuat demikian. Dari segi sejarah juga, orang-orang asing yang hendak berurusan di Indonesia perlu mempelajari bahasa Melayu Indonesia. Buktinya, Barrack Hussien Obama, presiden Amerika Syarikat masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu Indonesia dengan fasihnya...
No comments:
Post a Comment