Pengenalan
Sajak ketiga dalam antologi Dirgahayu Bahasaku ini ialah nukilan pemuisi tersohor, Rejab F.I. Dengan latar masa penulisannya pada tahun 1969, sajak "Bangkitlah" ditujukan kepada anak-anak muda supaya berusaha bersungguh-sungguh di bumi yang kaya dan subur ini bagi mendapatkan jaminan kehidupan yang lebih baik generasi demi generasi. Pada amnya, sajak "Bangkitlah" bertemakan patriotisme yang mengajak anak bangsa supaya tidak mensesiakan peluang memajukan diri dan masyarakat.
Perbincangan Rangkap Demi Rangkap
Anak-anak yang sedang lena
bangkitlah
matahari sudah tinggi
di puncak gunung.
Generasi muda yang masih dibuai mimpi digesa cepat-cepat bangun dan sedar bahawa hari sudah siang. Maksudnya, hadapilah kenyataan dengan bingkas bergerak, bukan bermalas-malas lagi. Perlambangan matahari sudah tinggi di puncak gunung menggambarkan betapa masa telah dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Lihat jernihnya pagi ini
burung-burung berterbangan di udara
dan pepohon hijau merendang daunnya
apa kau masih belum bangkit?
Penyajak mengajak supaya anak muda merenung betapa bening dan indahnya suana pagi dengan burung-burung yang berterbangan, sambil pokok-pokok mengeluarkan daun hijau dengan rendang. Penyajak seolah-olah berasa tidak senang justeru anak muda masih belum bangkit menyahut cabaran kehidupan. Mereka begitu lambat untuk bertindak.
Bangkitlah
jangan sesal nanti
madu bumi yang kekeringan
isi laut kekosongan
dan perut belantara menjadi ladang.
Penyajak menggesa anak muda supaya cepat bangun supaya tidak sesal pada kemudian hari. Kelak orang lain yang akan berjaya mengaut hasil mahsul bumi tinggalan nenek moyang mereka. Mereka tidak seyogia menunggu hingga segala hasil laut habis diambil, dan segala kawasn hutan diterokai orang menjadi ladang.
Anak-anak
esok apa yang akan kaumakan?
tanah atau batu atau debu?
tanpa air mata?
Penyajak melontarkan retorik (soalan untuk difikirkan) tentang nasib anak muda pada masa akan datang jika masih tidak bangkit berusaha. Perlambangan makan tanah atau batu atau debu ialah amaran serta ingatan supaya generasi muda tidak sampai menjadi begitu miskin hingga kelaparan. Pada ketika itu, kering air mata akibat tangitan sudah tidak berguna.
Kalau tidak
bangkitlah
matahari belum lagi rembang
dan burung-burung belum lagi menjamah awan!
Jika anak-anak muda tidak rela menempuh nasib yang dibayangkan, mereka mesti segera bangkit. Walaupun matahari telah tinggi (hari siang), anak-anak muda masih belum terlalu lewat sepenuhnya (belum rembang). Persaingan merebut rezeki masih terbuka (burung belum menjamah awan).
Persoalan
1 Kepekaan terhadap sikap anak muda bangsa
2 Tanggungjawab menyedarkan generasi muda yang masih leka
3 Harapan yang disandarkan kepada generasi muda
4 Keperluan membangkitkan kesedaran daya saing anak muda
5 Tindakan segera semasa kesempatan masih terbuka
Pengajaran
1 Kita hendaklah peka terhadap sikap anak muda bangsa yang merugikan
2 Kita hendaklah sentiasa berusaha membangkitkan kesedaran generasi muda
3 Kita hendaklah menyalakan harapan terhadap generasi muda
4 Kita hendaklah menyedarkan generasi muda supaya memantapkan daya saing
5 Kita hendaklah bertindak dengan segera sementara peluang masih ada
Nilai
1 Kepekaan / keprihatinan
2 Yakin diri / keyakinan
3 Kewaspadaan / beringat-ingat
4 Kerajinan / ketekunan
5 Ketangkasan
Contoh tugasan
Aras petikan: Nyatakan tiga bentuk sesalan anak muda jika masih belum bangkit.
Cadangan jawapan: Tiga bentuk sesalan itu ialah madu bumi yang kekeringan, isi laut kekosongan dan perut belantara menjadi ladang.
Aras kbkk: Jelaskan dua cara yang berkesan bagi membangkitkan kesedaran generasi muda mengikut pendapat anda.
Cadangan jawapan: Pada pendapat saya, cara yang berkesan ialah dengan menganjurkan kempen kesedaran daya saing generasi muda menerusi media cetak dan media elektronik. Selain itu, kesedaran generasi muda boleh dipupuk di sekolah-sekolah menerusi mata pelajaran bahasa, atau aktiviti kolurikulum.
No comments:
Post a Comment