Wednesday, March 9, 2011

SYAIR NASIHAT (PENGHUJUNG THAMARAT AL-MUHIMMAT) // THE SOUND ADVICE

Pengenalan

Ciri utama sesebuah syair ialah persamaan akhir dalam keempat-empat baris bagi setiap rangkap.Tidak seperti pantun yang mempunyai pembayang, syair menyampaikan mesej yang berterusan sejak mula ayat yang pertama. Pendek kata, pola syair (rima akhir) boleh jadi aaaa, atau bbbb.

Syair nasihat selenggaraan Abu Hassan Sham itu termauat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius, muka surat 9 - 10. Syair memaparkan nasihat seorang ayah kepada anaknya supaya meninggalkan segala sikap buruk (negatif), sebaliknya melazimkan diri dengan sikap terpuji. Maka, tema syair ialah tentang nasihat seorang ayah yang prihatin terhadap amalan tingkah laku anak yang hendak disiapkan menjadi pemimpin yang baik.

Perbincangan Rangkap Demi Rangkap

          Dengarkan tuan ayah berperi,
          Kepada anakanda muda bestari,
          Nasihat kebajikan ayahanda beri,
          Amalkan jangan malas dan ngeri.

Si ayah memberi nasihat dengan cara yang lemah lembut, tetapi bernada tegas. Si ayah memulai nasihat dengan mengungkapkan kata-kata semangat berupa pujian yang sederhana. Kemudian, baharulah si ayah menyatakan nasihat sebenar yang disampaikan dalam bentuk arahan (amaran).

          Ayuhai anakanda muda remaja,
          Jika anakanda menjadi raja,
          Hati yang betul hendak disahaja,
          Serta rajin pula bekerja.

Si ayah seterusnya menasihatkan anak andainya hendak menjadi pemimpin (raja) hendaklah sentiasa berniat tulus ikhlas. Selain itu, seseorang pemimpin hendaklah menunjukkan kesungguhan, iaitu rajin bekerja.

          Kerja kebajikan janganlah malas,
          Zahir dan batin janganlah culas,
          Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
          Seperti air di dalam gelas.

Si anak hendaklah rajin berbakti dengan melakukan kerja-kerja kebajikan. Kerja kebajikan yang dilakukan itu pula hendaklah kelihatannya dilakukan sepenuh hati, atau suci hati tanpa sikap sambil lewa. Kesungguhan yang ditunjukkan menggambarkan keikhlasan hati seperti air jernih di dalam gelas.

          Menuntut ilmu janganlah segan,
          Ilmu yang benar jangan yang bukan,
          Iaitu ilmu yang kebajikan,
          Di kitab ini sudah disebutkan.

Si anak juga tidak boleh mengabaikan kepentingan menuntut ilmu. Namun, ilmu yang dituntut mestilah ilmu yang benar, iaitu menjurus kepada kebajikan, dan tentulah tidak kepada "ilmu" yang menjurus kepada kerosakan. Pedoman sudah diberikan dalam kitab (buku, naskhah, wacana yang disampaikan).

          Hendaklah anakanda mengaji selalu,
          Dari yang lain lebihkan dulu,
          Had syarak jangan dilalu,
          Tidaklah anakanda beroleh malu.

Si anak digesa supaya sentiasa mengutamakan proses pengajian, iaitu terus belajar, daripada melakukan perkara-perkara yang lain. Di samping itu, si anak hendaklah memastikan bahawa dia tidak melanggar mana-mana peraturan hukum (had syarak) dalam kehidupan supaya terhindar daripada imej yang buruk dan tercela (aib dan malu).

          Segala perbuatan dengan berilmu,
          Maka kebajikan boleh bertemu,
          Jika sebarang-barang diramu,
          Akhirnya anakanda jatuh tersemu.

Si ayah juga menasihati si anak supaya segala perbuatan hendaklah berasaskan ilmu. Hal demikian dapat menjamin supaya perbuatan si anak akan selaras dengan tujuan kebajikan yang hendak dicapai. Sebaliknya, jika si anak bertindak tanpa ilmu, atau semberono (sebarang-barang), kemungkinan untuk menjadi insan yang keliru atau terpedaya sangatlah besar kemungkinannya.

          Ilmu itu besar faedahnya,
          Membezakan hak dengan batilnya,
          Mengetahui rakyat benar salahnya,
          Supaya dihukumkan dengan adilnya.

Faedah menuntut ilmu amatlah besar justeru dapat membezakan perkara yang benar dengan perkara yang palsu. Pemimpin juga dapat mengadili atau menghakimi rakyat dengan adil. Keputusan (hukuman) seseorang pemimpin yang berlandaskan ilmu juga bersifat adil dan dapat diterima dengan senang hati.

          Jika ilmu tidak diendah,
          Sebab anakanda capak permudah,
          Rakyat datang membawa gundah,
          Anakanda tercengang tunduk terngadah.

Jika seseorang pemimpin tidak mempedulikan kepentingan menuntut ilmu disebabkan sikap si anak yang mengambil mudah (mengabaikan ilmu), maka apakala rakyat jelata datang mengadu hal, masalah atau musykil, si pemimpin hanya mampu tercengang, tunduk terngadah dan termangu. Kewibawaan seseorang pemimpin yang bersifat demikian akan pudar di mata rakyat jelata...

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete