Pengenalan
T. Alias Taib ialah pemuisi ternama tanah air yang bijak bermain dengan pemilihan kata (diksi), perlambangan (metafora) dan unsur perorangan (personafikasi). Sajak "Pasar Perasaan" yang tersiar pertama kalinya dalam akhbar Mingguan Malaysia pada tanggal 20 Mei 2001 dipilih sebagai puisi moden keempat dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, iaitu pada halaman 25 - 26. Sajak tujuh rangkap itu bertemakan sikap masyarakat yang cenderung bercakap mengikut perasaan tanpa menggunakan akal fikiran.
Perbincangan
ini pasar perasaan
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang sering dikunjungi pembeli emosional.
"Pasar perasaan" dimaksudkan sebagai tempat berkumpulnya orang-orang yang suka bercakap menurut kata hati dan disambut pula oleh orang-orang yang mudah dipengaruhi. Sentimen ialah perasaan yang kekal (seperti sentimen perkauman, sentimen kenegerian, sentimen kumpulan, dan apa-apa sahaja perkara yang menjurus kepada perasaan taksub, ekstrem). Emosi ialah perasaan yang mendatang, bersifat sementara dan mudah dipancing (geram, kesal, marah).
ini pasar perasaan
mereka memperdagangkan kata-kata
yang terbit daripada kalbu
bukan terbit daripada akal.
Di tempat perhimpunan atau tumpuan ramai, orang-orang yang suka bercakap akan berusaha mempengaruhi khalayak (audien) dengan kepetahan mereka yang mempersonakan. Namun, cakap-cakap mereka hanyalah berdasarkan kata hati, dan bukannya berdasarkan akal atau fikiran yang dipandu oleh ilmu pengetahuan. Ringkasnya, cakap-cakap mereka bertaraf jalanan sahaja.
mereka memperdagangkan hujah
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk;
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering.
Hujah-hujah mereka begitu rapuh, iaitu tanpa bukti, dalil, data dan nas yang boleh dijadikan sandaran. Hujah mereka tidak memiliki apa-apa nilai, serta mudah ditolak mentah-mentah. Seperti kayu buruk dan ranting kering yang hanya layak dibuat kayu api, hujah-hujah mereka juga tidak lebih daripada halwa telinga (hiburan) semata-mata.
ini pasar perasaan
di dalamnya mengalir sungai manusia
yang menghilirkan suara kosong.
Tempat melayan cakap-cakap yang berteraskan hawa nafsu itu memang berupaya menarik kehadiran khalayak yang ramai (sungai manusia), tetapi langsung tiada nilai atau tiada langsung signifikan. Pendek kata, kedua-dua pihak yang bercakap dan orang ramai yang mendengar hujah kosong telah melakukan kerja yang sia-sia.
ini pasar perasaan
yang memperdagangkan akal cetek
dan tawar-menawar yang dangkal.
Hujah-hujah dangkal berpunca daripada akal yang cetek (lemah, kurang ilmu). Orang ramai yang hadir pula lebih bersifat pengkagum yang melulu. Mereka hanya terpegun dengan hujah kosong tanpa usul periksa dan tanpa banyak soal.
kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
di tengah-tengah penjual dan pembeli
yang kaya dengan perasaan
tetapi miskin dengan kebijaksanaan.
Penyajak melewati tempat berhimpunnya orang yang sedang bercakap kosong dan khalayak yang bersesak-sesak mendengarnya. Penyajak mendapati perhimpunan itu lebih ketara dikuasai perasaan. Kelihatannya kebijaksanaan dipinggirkan (tidak dihiraukan).
ini pasar tidak berakal
yang diriuhkan kekosongan.
Kesimpulannya, tempat melayan cakap-cakap kosong langsung tidak menghormati kemuliaan akal fikiran manusia. Keriuhan yang berlaku tidak memiliki apa-apa nilai...
Contoh tugasan
i) Apakah yang diperdagangkan di pasar perasaan? (2 markah)
ii) Jelaskan dua kesan yang timbul jika masyarakat melayan hujah yang mengikut perasaan. (4 markah)
iii) Nyatakan dua persoalan daripada sajak. (3 markah)
Analisis tugasan soalan
Soalan i) Aras petikan: ambilan jawapan daripada petikan, tiada ubah suai, tiada huraian
Soalan ii) Aras kbkk: ambilan jawapan luar petikan / idea sendiri, perlu huraian
Soalan iii) Aras komsas: pernyataan umum sahaja, tanpa huraian
Cadangan Jawapan
i) Pasar perasaan memperdagangkan kata-kata, hujah dan akal cetek.
ii) Jika masyarakat melayan hujah yang mengikut perasaan, mereka hanya membazirkan masa untuk pekerjaan yang sia-sia. Selain itu, kemajuan masyarakat akan terbantut kerana pemikiran mereka dipengaruhi oleh cakap-cakap yang berlandaskan emosi dan sentimen semata-mata.
iii) Persoalan pertama sajak ialah hujah yang berlandaskan perasaan tiada nilainya, dan kedua ialah kebijaksanaan yang tidak dipedulikan.

No comments:
Post a Comment