Institusi rumah tangga yang dibina daripada sebuah mahligai perkahwinan ialah asas pembentukan sesebuah masyarakat yang sejahtera. Dengan mencantumkan sejumlah perbezaan antara dua insan, pasangan suami isteri bakal mengemudi sebuah organisasi kecil tetapi sangat penting terhadap kelangsungan keturunan, kepercayaan, adat resam, budaya, jati diri dan perjuangan. Drama, intrig, komplot, konflik, sabotaj dan pelbagai bentuk cabaran yang silih berganti ialah asam garam kehidupan berumah tangga.
Keutuhan sesebuah keluarga bergantung kepada tahap ilmu dan mutu kepimpinan suami isteri yang bakal menjadi ibu dan bapa jika dikurniakan nikmat berkenaan. Orang yang tidak menghargai ilmu akan bertindak mengikut perasaan yang mudah pula dipengaruhi oleh hawa nafsu dan syaitan. Seterusnya, proses membuat keputusan tentang saraan hidup dan keperluan keluarga lebih baik berada di tangan kepimpinan yang memiliki pertimbangan yang halus lagi matang.
Dalam masyarakat Melayu, sebelum ijab kabul disempurnakan, proses merisik dan meminang terlebih dahulu dilaksanakan. Perbincangan tentang belanja hantaran dan tarikh langsung perlu dimuktamadkan oleh kedua-dua keluarga lelaki dan perempuan. Terdapat juga pasangan yang selamat diijabkabulkan, tetapi memilih tarikh yang berbeza untuk hari langsung.
Penetapan hari langsung tertakluk kepada kesediaan dan persiapan kedua-dua belah pihak. Si lelaki mungkin memerlukan masa untuk mencukupkan belanja hantaran yang sudah mencecah RM10k dan ke atas. Walaupun pinjaman mudah koperasi dan bank senang diperoleh, kaedah kahwin hutang seperti itu menjejaskan kewibawaan si lelaki dari segi kemampuan kewangan. Jika tabiat berhutang sudah dimulai, kelak seumur hidup terbelenggu dengan beban hutang keliling pinggang.
Tempoh bertenang diperlukan justeru segala persiapan majlis dan senarai jemputan dimuktamadkan tanpa tercicir perkara-perkara yang penting. Majlis keramaian perkahwinan bukanlah bertujuan menunjuk mewah atau riak, tetapi lebih kepada pengisytiharan sebuah keluarga baharu. Kenduri yang dianjurkan dapat mengeratkan kemesraan antara anggota keluarga dan handai taulan jauh dan dekat, di samping mengukuhkan semangat kejiranan di sesuatu kawasan.
Antara kriteria pemilihan tarikh langsung ialah:
1 kelapangan para jemputan untuk hadir memeriahkan majlis
2 kelengkapan khemah, kerusi meja dan hiasan
3 cuaca yang tidak menentu
4 sewaan atau tempahanpersalinan busana mempelai
5 persetujuan jurunikah (naib kadi) dan saksi, jika memilih tarikh yang sama
6 oleh-oleh untuk tetamu, sama ada bunga telur, gula-gula, kerepek atau jajan
No comments:
Post a Comment