Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meramalkan bahawa bahagian pendapatan isi rumah yang digunakan untuk membeli makanan akan meningkat antara lima hingga 10 peratus akibat penghapusan subsidi diesel super terhadap lori perdagangan. Persatuan Pengguna Islam Malaysia pula membayangkan bahawa peningkatan kos operasi pengangkutan itu menyebabkan harga barang terus naik. Dengan ketiadaan subsidi diesel, pengusaha lori perdagangan (komersial, bukan entiti awam) terpaksa membayar harga penuh RM1.80, iaitu tambahan sebanyak RM0.32 seliter setelah sekian lama menikmati harga subsidi pada RM1.48 seliter.
Persatuan Pengusaha Lori Tangki Bumiputra Malaysia, menerusi kenyataan Naib Presidennya, Samiron Safar, mengatakan mereka akan merundingkan kenaikan upah sewa lori sebanyak 18 peratus bagi menyerap kenaikan kos berkenaan. Kadar upah RM13.50 satu tan muatan sudah bertahan selama 20 tahun, dan pengusaha lori akan gulung tikar jika upah sewa tidak dinaikkan. Peningkatan minimum RM3 diperlukan bagi menampung kos pembelian diesel, upah pemandu dan penyenggaraan.
Berita kenaikan harga pastilah menyebabkan masyarakat pengguna akan mengeluh dan tertekan. Kos sara hidup yang terus meningkat mengakibatkan pendapatan benar mereka jatuh mendadak dalam jangka pendek. Komponen penggunaan, iaitu bahagian pendapatan yang dibelanjakan akan bertambah besar, manakala komponen tabungan, iaitu bahagian pendapatan yang tidak dibelanjakan akan mengecil.
Isi rumah yang menabung juga mengalami kerugian akibat penyusutan nilai wang, melainkan pulangan dividen yang diterima melebihi kadar inflasi yang diukur menerusi indeks harga pengguna. Harga rumah teres dua tingkat yang kini mencecah RM200k akan meningkat lebih tinggi. Tekanan inflasi tolakan kos ini akan bertambah buruk apabila berlaku tuntutan kenaikan upah bagi mendapatkan pampasan kemiskinan yang dialami secara tiba-tiba.
Bagi institusi kewangan, penyusutan tabungan mengakibatkan kebolehan memberikan pinjaman, membuat pelaburan dan mencipta kredit juga terjejas. Sektor industri dan perniagaan juga akan mengkaji semula strategi pengeluaran mereka supaya sejajar dengan perubahan permintaan pasaran yang mungkin berlaku. Sikap berhati-hati itu mungkin mengakibatkan pengurangan pekerja atau setidak-tidaknya pengurangan hari bekerja.
Nampak gayanya pengguna harus mengatur perbelanjaan supaya lebih berhemah. Keutamaan kepada perbelanjaan makan pakai, pendidikan dan pengangkutan mesti diteruskan. Keinginan untuk hidup lebih selesa dan keinginan melancong mungkin perlu ditunda buat sementara.
Konsep "biar papa asal bergaya" hendaklah ditolak ke tepi. Pemotongan terhadap perbelanjaan bukan asas seperti telefon bimbit, siaran televisyen berbayar dan bahan bacaan picisan (majalah hiburan) perlu dibuat. Ukurlah baju di badan sendiri, berjimat sementara ingat dan beringat sebelum kena...
No comments:
Post a Comment