Pengenalan
Sesungguhnya Muhammad Haji Salleh, profesor pengajian Melayu UKM, memang memiliki pengamatan yang begitu tajam terhadap isu-isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat, termasuk pencinta alam sekitar. Sajak yang termuat pada halaman 29 dan 30 antologi Dirgahayu Bahasaku ini kepentingan perancangan bandar yang lestari atau mesra alam. Maka, perancang bandar sebagai arkitek kota perlu bersifat bagai seniman berilmu tinggi yang peka terhadap segala penjagaan alam sekitar dan segala makhluk penghuni bumi, termasuk manusia pelbagai peringkat usia.
Perbincangan rangkap demi rangkap
hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal lambung gelombangnya,
alur sungai serta diam batu,
perasaan musim,
fiil langit dan sabar bumi
berhak membina kota.
Pada henat penyajak, tanggungjawab ahli perancang bandar patut diserahkan kepada individu yang berciri seniman. Maksudnya, seorang individu yang peka terhadap segala femonena ciptaan alam. Penggunaan unsur perorangan (personafikasi) seperti jiwa laut, diam batu, perasaan musim, fiil (perangai) langit dan sabar bumi menjelaskan fenomena yang harus diambil kira dalam melaksanakan tugas perancangan bandar.
kerana arkitek matang itu anak di taman,
perenung di perpustakaan,
orang muda pulang bertandang di lorong malam,
pemunggah barang pasar di subuh hari,
pengadil di bangku bijaksana,
dan datuk bandar yang bangga.
Seorang perancang bandar yang diharapkan oleh penyajak dibesarkan dalam suasana kehijauan alam walaupun sibuk mentelaah buku di perpustakaan. Perancang bandar itu juga harus memikirkan adunan keperluan golongan muda yang suka yang suka balik lewat malam, pekerja di pasar pada awal subuh, hakim mahkamah dan cita rasa datuk bandar. Pendek kata, keperluan pelbagai lapisan masyarakat diberi perhatian yang wajar.
dia harus sayangkan lagu burung,
pemancing di teduh pohon,
pemerhati tasik,
pengawas bintang,
dan bunga menjalar di beranda.
Seorang perancang bandar harus suka terhadap kicau dan siul burung, penggemar pancing, peminat air tasik, pengkaji bintang dan bunga menghiasi bangunan. Perancang bandar meraikan citra manusia pelbagai golongan.
pencipta kota ialah
pendekar muda dengan langkah berbagai-bagai,
kelakar tua yang mengampungkan cerita
orang bercinta yang perlukan bulan.
Seterusnya, perancang bandar hakikatnya seorang muda bersemangat waja yang tampil dengan pelbagai strategi sekali gus menghargai pesanan orang tua bahawa bandar yang dirancang memiliki jiwa alam sekitar.
dia pengukir ruang hidup,
penghias suasana sempurna,
membenarkan penemuan,
memungkinkan kemungkinan.
Seorang perancang bandar juga mereka bentuk keselesaan warga kota supaya beroleh kehidupan yang sejahtera. Maka, perancang bandar harus bersikap terbuka terhadap segala penemuan dan kemungkinan yang mungkin berbeza dengan pengalaman ikhtisas (profesional) mereka.
Contoh Tugasan
Soalan aras petikan
i. Tulis semula rangkap pertama sajak dalam laras bahasa biasa. (3 markah)
ii. Nyatakan dua ciri perancang bandar yang diinginkan oleh penyajak. (3 markah)
Soalan aras kbkk
iii. Jelaskan dua kesan baik jika tanggungjawab merancang bandar diserahkan kepada individu yang mencintai alam sekitar mengikut pendapat anda. (4 markah)
iv. Katakan anda ialah perancang bandar yang peka akan kepentingan memulihara alam sekitar.
Nyatakan tiga projek pembangunan bandar yang akan anda lakukan. (4 markah)
Soalan aras komsas
v. Nyatakan dua persoalan yang terdapat dalam sajak. (3 markah)
vi. Huraikan satu nilai murni yang terdapat dalam sajak. (3 markah)
No comments:
Post a Comment